Automotif

Voge DS800X Rally Kini Debut Di Malaysia Bersama DS625X

Share

Voge DS800X Rally dan DS625X kini rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi MForce Bike Holdings, sekali gus menambah pilihan dalam segmen motosikal adventure yang semakin berkembang.

Kedua-dua model ini ditawarkan dengan pendekatan berbeza untuk memenuhi keperluan penunggang yang mencari jentera serba boleh sama ada untuk touring harian mahupun ekspedisi yang lebih mencabar.

Voge DS625X ditawarkan pada harga RM35,888, manakala DS800X Rally pula dijual pada harga RM39,888. Walaupun jurang harga antara kedua-duanya tidak terlalu besar, karakter dan fokus penggunaan yang dibawakan cukup berbeza.

Voge DS800X Rally dan DS625X Ditawarkan Untuk Keperluan Berbeza

DS625X dibangunkan sebagai motosikal adventure touring kelas pertengahan yang lengkap untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh. Sebaliknya, DS800X Rally membawa imej lebih agresif dengan spesifikasi yang lebih dekat kepada penggunaan off-road serta eksplorasi laluan mencabar.

DS625X Sesuai Untuk Touring Harian dan Jarak Jauh

Voge DS625X menggunakan enjin dua silinder, 8 injap, DOHC dan liquid-cooled dengan kapasiti 581cc. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 47 kW pada 9,000 rpm serta tork maksimum 57 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan.

Dari sudut casis dan pengendalian, model ini hadir dengan fork hadapan upside-down telescopic serta monoshock belakang boleh laras. Ia menggunakan tayar bersaiz 110/80-19 di hadapan dan 150/70-17 di belakang, kombinasi yang sesuai untuk kegunaan atas jalan raya dan laluan ringan yang tidak berturap.

Kelengkapan Touring Yang Lengkap

Selain ruang simpanan yang praktikal, model ini turut menerima paparan LCD, USB Type-A, soket kuasa 12V dan sistem pemantauan tekanan tayar atau TPMS. Penunggang juga boleh memilih antara mod tunggangan Eco dan Sport mengikut keadaan perjalanan.

Sistem Traction Control System (TCS) boleh dinyahaktifkan apabila diperlukan, manakala sistem brek menggunakan komponen Nissin dengan cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang. Dual-channel ABS turut disediakan dan boleh dimatikan untuk situasi tertentu.

Voge DS800X Rally Tampil Lebih Besar dan Lebih Lasak

Bagi penunggang yang mencari pakej lebih premium, Voge DS800X Rally hadir dengan enjin dua silinder, 8 injap, DOHC dan liquid-cooled bersesaran 798cc.

Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 70 kW pada 9,000 rpm, manakala transmisi enam kelajuan digunakan untuk menghantar kuasa ke roda belakang melalui sistem final drive jenis rantai.

Berbanding DS625X, Voge DS800X Rally dibangunkan dengan fokus yang lebih jelas terhadap tunggangan adventure dan rally.

Rim Spoke dan Tangki Bahan Api Lebih Besar

Model ini menggunakan rim spoke dengan tayar hadapan bersaiz 90/90-R21 dan tayar belakang 150/70-R18. Setup seperti ini memberi kelebihan ketika meredah laluan tidak berturap selain membantu meningkatkan kestabilan di permukaan yang kurang sempurna.

Tangki bahan api berkapasiti 24 liter menjadikannya pilihan lebih sesuai untuk perjalanan jauh. Dengan kapasiti yang lebih besar berbanding DS625X, penunggang dapat mengurangkan kekerapan berhenti untuk mengisi minyak ketika melakukan ekspedisi jarak jauh.

Ground clearance dicatatkan pada 220 mm manakala berat kerb berada pada 213 kg, angka yang selari dengan motosikal adventure berspesifikasi tinggi dalam kelasnya.

Ciri Premium Pada Voge DS800X Rally

Voge DS800X Rally turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk paparan TFT berwarna, USB Type-A, USB Type-C, TPMS, dashcam hadapan, windshield boleh laras, spotlight dan handguard. Selain itu, crash bar turut dipasang sebagai perlindungan tambahan ketika menempuh laluan sukar.

Antara ciri yang menarik perhatian ialah kehadiran heated grips dan heated seat yang memberi keselesaan tambahan kepada penunggang ketika perjalanan jauh atau dalam cuaca lebih sejuk.

Dua Pilihan Adventure Mengikut Gaya Tunggangan

Untuk pilihan warna, DS625X ditawarkan dalam Sand Yellow dan Stealth Black. Sementara itu, Voge DS800X Rally hadir dalam pilihan Zenith White, Flash Yellow dan Onyx Black.

Secara keseluruhan, DS625X lebih sesuai untuk penunggang yang mahukan motosikal adventure lengkap, praktikal dan lebih mesra bajet. Voge DS800X Rally pula menawarkan pakej lebih besar dengan tangki 24 liter yang menjadikannya pilihan menarik untuk mereka yang gemar meneroka laluan lebih mencabar.

Baca juga: SYM Husky 200 Tampil Dengan Imej Lasak, Harga RM10,998

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Faez Akmal