Kabinet Thailand telah meluluskan peruntukan sebanyak AS$1.2 bilion (kira-kira 40 bilion baht) untuk membida penganjuran perlumbaan jalanan Formula 1 di ibu negara, Bangkok, bermula tahun 2028. Perkara ini diumumkan oleh jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub, dalam satu sidang media rasmi.
Sekiranya bidaan ini berjaya, Thailand dijangka menjadi tuan rumah perlumbaan F1 setiap tahun dari 2028 hingga 2032. Jirayu turut menyatakan bahawa negara itu bakal menyaksikan acara sukan bertaraf dunia yang sebelum ini dianggap mustahil untuk dianjurkan di Thailand.
Menurut Kementerian Pelancongan Thailand
Sorawong Thienthong, menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sahaja merupakan pelaburan besar. Malah, ia satu strategi penting untuk merancakkan sektor pelancongan – antara pemacu utama ekonomi Thailand.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, sebelum ini telah bertemu Ketua Eksekutif Formula One, Stefano Domenicali pada bulan Mac lalu. Dalam pertemuan itu, Thailand menyatakan hasrat mereka dan memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi penganjuran Grand Prix di litar jalanan sekitar bandar Bangkok.
Ads
Kalendar F1 Terkini
Ketika ini, kalendar perlumbaan F1 sudah pun padat dengan 24 perlumbaan tahunan di seluruh dunia, termasuk empat di rantau Asia-Pasifik. Di Asia Tenggara, hanya Singapura menjadi tuan rumah Grand Prix. Sekiranya berjaya, Thailand akan menyertai senarai elit ini.
Walaupun Thailand memiliki litar bertaraf FIA di Buriram yang kini menganjurkan kejohanan MotoGP. Cadangan ini difokuskan kepada penganjuran di litar jalanan di Bangkok, yang dijangka memberikan impak global dan tarikan pelancongan yang tinggi.
Ads
Sekiranya semuanya berjalan lancar, perlumbaan F1 di Bangkok bakal menjadi satu lagi pentas berprestij. Ia bakal mengangkat nama Thailand ke persada sukan permotoran antarabangsa.
Max Verstappen kembali menunjukkan kelas sebenar apabila berjaya merangkul kemenangan sulung musim 2025 di Grand Prix Jepun. Sekali gus mencatat kemenangan keempat berturut-turut di Litar Suzuka. Juara dunia empat kali itu menewaskan duo McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, dalam perlumbaan yang penuh aksi dan strategi yang mencabar.
Sorotan Perlumbaan GP Jepun
Bermula dari petak utama, Verstappen tidak membuang masa untuk mengukuhkan kedudukan di hadapan. Namun segalanya menjadi lebih mendebarkan semasa fasa hentian pit apabila hentian Red Bull sedikit perlahan.
Perkara tersebut memberi ruang kepada Norris untuk mencuba potongan di pintu keluar pit. Kedua-dua kereta bersaing sengit, dan Norris terpaksa mengambil laluan rumput untuk mengelak perlanggaran.
Kedua-duanya sempat meluahkan rasa tak puas hati menerusi radio pasukan, tetapi para steward memutuskan tiada siasatan lanjut diperlukan.
Selepas insiden itu, Verstappen mula membina jurang semula. Tetapi pecutan Piastri di 10 pusingan terakhir memberi tekanan berganda kepada Norris yang akhirnya terpaksa memecut untuk kekal di tempat kedua. Secara tak langsung juga mula merapatkan jurang dengan Verstappen di depan. Namun, Verstappen kekal tenang dan konsisten hingga ke garisan penamat untuk menang kali ke-64 dalam kerjaya F1-nya.
Penamat Grid Hadapan
Piastri, yang menyambut ulang tahun ke-24 pada hari perlumbaan, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas gagal membuat serangan akhir terhadap rakan sepasukannya. Di belakang mereka, Charles Leclerc mengekalkan konsistensi Ferrari dengan kedudukan keempat.
Manakala duo Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli, menamatkan saingan di tempat kelima dan keenam. Antonelli juga sempat mendahului perlumbaan seketika hasil strategi pit yang bijak.
Lewis Hamilton menyumbang mata tambahan buat Ferrari di tempat ketujuh. Diikuti pendatang baharu, Isack Hadjar, yang berjaya meraih mata pertamanya untuk Racing Bulls di tempat kelapan. Alex Albon (Williams) dan Ollie Bearman (Haas) melengkapkan kelompok 10 teratas.
10 Grid Terakhir
Di luar kelompok mata, Fernando Alonso menamatkan perlumbaan walaupun gagal meraih sebarang mata. Satu pencapaian kecil selepas dua pusingan pembukaan yang mengecewakan.
Yuki Tsunoda, yang buat pertama kali berlumba untuk Red Bull di tanah air sendiri, menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan turut dipilih sebagai Driver of the Day oleh peminat walaupun tidak meraih sebarang mata.
Barisan pelumba lain seperti Pierre Gasly, Carlos Sainz, dan Liam Lawson turut menamatkan perlumbaan.
Verstappen kini hanya satu mata di belakang Norris dalam kejuaraan dunia, dengan Piastri melonjak ke tangga ketiga mengatasi Russell.
Seterusnya, Formula 1 akan terus ke Bahrain untuk perlumbaan kedua dalam tiga minggu berturut-turut. Dengan momentum kemenangan di tangan, mampukah Verstappen terus mendominasi? Atau McLaren bakal membalas? Nantikan di Sakhir minggu depan!
Dunia automotif bukan hanya berkisar tentang teknologi kenderaan atau rekabentuk aerodinamik semata-mata, malah ia kini menelusuri dimensi kelestarian yang lebih luas.
Dalam menerajui gelombang perubahan ini, UMW Toyota Motor (UMWT) sekali lagi tampil proaktif melalui pelancaran rasmi Toyota Eco Youth (TEY) 2025.
TEY merupakan sebuah program ikonik yang memacu kesedaran dan tindakan dalam kalangan pelajar sekolah menengah terhadap isu-isu berkaitan alam sekitar.
Dengan sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE), TEY kini memasuki edisi ke-24, menjadikannya antara program pendidikan automotif dan alam sekitar yang paling konsisten dan berpengaruh di Malaysia.
Tahun ini, Toyota memperlihatkan komitmen lebih besar dengan menggandakan jumlah penyertaan sekolah serta menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM167,000.
30 Sekolah, RM167,000 dan Peluang Menjadi Ikon Hijau
Buat pertama kali, sebanyak 30 sekolah akan mengambil bahagian dalam program ini dua kali ganda berbanding edisi-edisi sebelumnya.
Setiap sekolah akan menerima geran permulaan RM3,000, menjadikan jumlah keseluruhan dana projek mencecah RM90,000.
Di samping itu, peserta akan bersaing dalam pelbagai kategori untuk merebut ganjaran wang tunai berjumlah RM77,000, termasuk:
Juara: RM30,000
Naib Juara: RM20,000
Tempat Ketiga: RM10,000
Pemenang Sub-Kategori (RM5,000 setiap satu):
Kempen Media Sosial Terbaik
Pembentangan Terbaik
Pameran Terbaik
Guru Penasihat Terbaik: RM2,000
Bukan sekadar pertandingan, TEY menjadi medan sebenar bagi pelajar menzahirkan inovasi dan semangat lestari melalui pendekatan praktikal yang mampu mengubah komuniti dan ekosistem setempat.
Belajar Sambil Menyumbang: Impak Dunia Nyata
TEY bukan hanya mendorong pelajar menghasilkan idea, malah membuktikan bahawa idea tersebut boleh ditransformasikan menjadi penyelesaian yang berfungsi dalam dunia nyata.
Misalnya, di Kuala Bikam, sekumpulan pelajar mencipta sistem pelupusan pintar bagi sisa pertanian yang meningkatkan kebersihan dan kesihatan komuniti setempat.
Di Pulau Pinang, program pembersihan berasaskan komuniti telah berjaya memulihkan sebahagian ekosistem marin yang tercemar.
Naib Johan Toyota Eco Youth 2024, The Purest Team dari SM Sung Siew, Sandakan, Sabah. Projek mereka memfokuskan kepada pemeliharaan ekosistem marin yang lebih sihat di Kampung Sim Sim dengan mengurangkan pencemaran laut. Usaha berterusan mereka dalam membersihkan sisa marin telah menunjukkan impak positif yang besar buat komuniti setempat.
Malah di Sarawak, peserta berjaya menggalakkan amalan pertanian lestari yang mengurangkan penggunaan bahan kimia serta menyumbang kepada keseimbangan alam sekitar jangka panjang.
Kesemua projek ini disatukan dengan pendekatan sistematik melalui Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota (Problem Solving Methodology – PSM).
Program ini mengajar peserta mengenal pasti akar permasalahan, merangka solusi mampan, dan melaksanakan projek dengan impak ketara dan terukur.
Presiden UMWT: “Kita Bina Pemimpin Masa Depan”
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., menyatakan keyakinan beliau terhadap potensi luar biasa yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar ini.
“Toyota Eco Youth bukan sekadar meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar—ia adalah tentang tindakan yang diambil. Dengan menggandakan jumlah penyertaan dan menyalurkan dana lebih besar, kami memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mencipta penyelesaian yang boleh menggerakkan Malaysia ke arah masa depan lebih lestari.”
Toyota dan Komitmen Global Terhadap Kelestarian
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), program TEY mengukuhkan lagi misi Toyota dalam merealisasikan matlamat sifar pelepasan karbon menjelang 2050, selaras dengan Pelan Tindakan Alam Sekitar Toyota.
Usaha ini tidak hanya memperlihatkan dedikasi Toyota terhadap teknologi bersih dalam automotif, malah mencorakkan landskap pendidikan alam sekitar dengan pendekatan jangka panjang.
Pendaftaran Kini Dibuka – Masa Depan Bermula Di Sini
Pendaftaran Toyota Eco Youth 2025 kini dibuka dan sekolah-sekolah yang berminat diseru untuk mengambil bahagian sebelum tarikh tutup 3 April 2025.
Majlis pelancaran rasmi, bengkel intensif serta upacara pembukaan akan diadakan pada 28 hingga 30 April 2025.
Toyota bukan sekadar pengeluar kenderaan, tetapi peneraju dalam mendidik masyarakat tentang tanggungjawab terhadap bumi.
TEY 2025 adalah bukti nyata bahawa perubahan besar bermula daripada pemikiran kecil yang diberi ruang untuk berkembang.
Dengan jumlah keseluruhan RM167,000 menanti, inilah masa untuk generasi muda membuktikan bahawa mereka adalah pemacu sebenar masa hadapan mobiliti hijau negara.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Beipanjiang Bridge Duge, yang dibuka pada tahun 2016, menjadi jambatan tertinggi di dunia dengan ketinggian luar biasa 565 meter.
Jambatan ini mencipta sejarah sebagai jambatan cable stayed pertama yang memegang gelaran ini.
Ikon Kejuruteraan yang Mengatasi Had Ketinggian
Beipanjiang Bridge Duge menjadi penanda aras baru dalam dunia kejuruteraan dengan menjadi jambatan pertama yang mempunyai ketinggian 500 meter.
Terletak di atas Sungai Beipanjiang yang bermaksud “Sungai Berliku Utara”,jambatan ini menghubungkan dua bahagian Guizhou yang terpisah oleh tebing batu kapur yang curam.
Kredit Foto : Website highestbridges
Geografi luar biasa kawasan ini telah mencipta bayangan sepanjang hari di beberapa bahagian sungai, menjadikannya pemandangan yang luar biasa untuk dinikmati.
Laluan Penghubung Utama di China Barat
Jambatan ini adalah sebahagian daripada Lebuhraya G56 Hangrui yang mempunyai jarak sejauh 2,935 kilometer dari Hangzhou dekat Shanghai hingga sempadan Burma berhampiran Tibet.
Kredit Foto : Website highestbridges
Lebuhraya ini membentuk laluan penting yang memudahkan akses antara Guizhou dan wilayah jiran Yunnan.
Kawasan ini yang dahulunya hampir mustahil dilalui oleh kenderaan biasa.
G56 tidak hanya menampilkan Beipanjiang Bridge Duge tetapi juga beberapa jambatan tinggi yang lain, termasuk jambatan gantung di Puli, Yunnan.
Sejarah Jambatan Sungai Beipanjiang
Kawasan Sungai Beipanjiang terkenal dengan koleksi jambatan yang luar biasa.
Ianya bermula dengan pembinaan Jambatan Kereta Api Tertinggi Dunia pada tahun 2001, dengan ketinggian 275 meter.
Dua tahun kemudian, Jambatan Beipanjiang Guanxing mencatat sejarah sebagai jambatan gantung pertama yang melebihi ketinggian Royal Gorge Bridge di Colorado, AS, selepas 74 tahun.
Sejak itu, kawasan ini terus menyaksikan pembinaan pelbagai jambatan ikonik, termasuk Jambatan Beipanjiang Hukun, Shuipan, Wang’an, Zhenfeng, dan Huajiang.
Namun, tiada yang menyaingi kehebatan Beipanjiang Bridge Duge, yang pada tahun 2016 menjadi puncak segala pencapaian kejuruteraan di kawasan ini.
Kredit Foto : Website highestbridges
Selain menjadi jambatan tertinggi di dunia, Duge turut memegang gelaran jambatan kereta api berkelajuan tinggi tertinggi dengan ketinggian 295 meter.
Mereka juga memiliki salah satu menara jambatan tertinggi di dunia setinggi 269 meter.
Simbol Keagungan dan Kemajuan
Beipanjiang Bridge Duge bukan sekadar jambatan, ia mampu menghubungkan kawasan yang terpisah oleh tebing curam.
Jambatan ini telah merubah aksesibiliti, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan memperkukuh kedudukan China sebagai pemimpin global dalam pembinaan infrastruktur.
Kredit Foto : Website highestbridges
Ketika matahari terbit di atas jambatan ini, ia mengingatkan dunia akan potensi luar biasa manusia untuk mencipta sesuatu yang menakjubkan, walaupun di tengah-tengah cabaran alam yang paling ekstrem.
Beipanjiang Bridge Duge kekal sebagai mercu tanda kehebatan kejuruteraan moden dan inspirasi kepada generasi akan datang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
KEHANGATAN VIOS CHALLENGE 2025 BAKAL MEMUNCAK
Aksi Toyota GAZOO Racing Malaysia VIOS Challenge kembali dengan Pusingan 3 yang bakal berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos...