Kegani Racing Academy mengumumkan musim ketiga SKILLDRVN One Make Race Series serta memperkenalkan SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES yang bakal bermula pada tahun 2026.
Siri perlumbaan ini menjanjikan pengalaman lebih mencabar dan mengasyikkan buat pelumba muda serta peminat sukan permotoran tempatan.
Lima Pusingan Mendebarkan di Sepang
SKILLDRVN One Make Race Series musim ketiga akan terdiri daripada lima pusingan yang dianjurkan bersama Malaysia Speed Festival (MSF) di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
Format perlumbaan ini menampilkan pelumba-pelumba muda yang berlumba menggunakan Suzuki Swift yang telah dimodifikasi bagi memastikan persaingan lebih kompetitif dan kos lebih berpatutan.
Spesifikasi Jentera Perlumbaan
Setiap jentera perlumbaan dilengkapi dengan enjin 1.6-liter yang telah ditala semula mengikut spesifikasi.
Jentera yang menggunakan transmisi manual lima kelajuan, serta beberapa komponen perlumbaan seperti roll cage 12 titik, tempat duduk perlumbaan yang diperakui FIA, harness keselamatan, suspensi coil-over khas, pad brek spesifikasi siri, dan rim aloi.
Peserta boleh memilih untuk membeli kereta perlumbaan secara penuh atau menyertai program “arrive-and-drive” yang ditawarkan.
Platform Ideal untuk Bakat Baharu
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, SKILLDRVN One Make Race Series telah menjadi platform penting bagi membentuk bakat baharu dalam sukan permotoran Malaysia.
Dengan bimbingan dan latihan intensif yang merangkumi kelas teori serta sesi latihan di litar, akademi ini membantu mempercepatkan pembelajaran dan mengurangkan kos latihan.
Ads
Menurut Kenny Lee, Ketua Pasukan dan Ketua Jurulatih Kegani Racing Academy,
“Format perlumbaan satu jenama ini memberi penekanan kepada kemahiran pemanduan serta pembangunan bakat baharu, sambil memastikan kos kekal berpatutan dan boleh diakses oleh lebih ramai pelumba. Selepas kejayaan dua musim sebelum ini, minat dari peserta baharu semakin meningkat pada tahun ini.”
Pelumba Wanita & Bakat Muda Menyerlah
Musim 2024 menyaksikan pelumba wanita, Loke Yin Yi, dinobatkan sebagai juara keseluruhan SKILLDRVN One Make Race Series.
Beliau membawa pulang hadiah bernilai RM8,500 dalam bentuk produk serta insentif perlumbaan.
Kejohanan ini juga telah menemukan bakat muda yang luar biasa, Kirill Syrapushchynski, seorang pelumba berusia 15 tahun yang muncul sebagai naib juara pada musim debutnya selepas beralih dari sukan karting.
SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES: Laluan ke Tahap Profesional
Bermula tahun 2026, Kegani Racing Academy akan melancarkan SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES sebagai kesinambungan kepada SKILLDRVN One Make Race Series.
Ads
Siri perlumbaan ini akan dihadkan kepada 10 pasukan perlumbaan profesional.
Setiap pasukan diwakili oleh seorang pelumba yang dipilih daripada kumpulan bakat terbaik dalam SKILLDRVN One Make Race Series.
Lebih menarik, format baharu ini membolehkan pelumba yang terpilih menandatangani kontrak perlumbaan dengan semua kos operasi ditanggung oleh pasukan.
Kereta perlumbaan dalam siri ini juga akan menerima livery penuh bagi memaksimumkan pendedahan jenama dan penjenamaan pasukan.
Terdapat dua pasukan yang telah mengesahkan penyertaan dalam musim pertama SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES.
Pasukan tersebut adalah BENDIX ULTIMATE RACING TEAM dan Team PROFIMAX MAX UP.
Ads
Sokongan Padu dari Rakan Penaja
Kegani Racing Academy turut mendapat sokongan daripada rakan penaja utama.
Antaranya BENDIX, TOTAL ENERGIES, PROFIMAX, ADVANTI RACING, GITI, KJ BRAKE, ZX1, ULTRA RACING, dan LIFESTYLE MOTORSPORTS.
Lee menegaskan bahawa peranan para penaja dalam Program Pembangunan Pemandu adalah amat penting.
“Sokongan yang diberikan bukan sahaja membantu mengurangkan kos penyertaan dalam sukan perlumbaan tetapi juga memastikan pelumba baharu memulakan perjalanan mereka dengan asas yang kukuh, termasuk dari segi peralatan, komponen, sokongan, keselamatan, dan perlindungan yang mencukupi.”
Cara Penyertaan & Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut berkaitan akademi anda boleh menghubungi Kenny Lee di talian 012-614 4141 atau Joshua Lee di 012-295 6638.
Acara tahunan terbesar Malaysia yang meraikan budaya kustom dan counter culture kini kembali! Art of Speed Malaysia 2025 (AOS 2025) akan berlangsung di lokasi keramat mereka di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 26 dan 27 Julai 2025.
Dengan ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi dan kawasan luar mencecah 320 ekar. AOS 2025 menjanjikan hujung minggu penuh aktiviti, gaya, dan komuniti.
Tetamu Antarabangsa & VIP
AOS 2025 menampilkan barisan nama besar dari Jepun, Australia, Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei.
Antara yang akan hadir termasuk Shige Suganuma dan Hiro “Wildman” Ishii dari MOONEYES, Brendon Vetuskey dari Hot Wheels. Serta pembina motosikal dan artis kustom terkemuka seperti Yuichi Yoshizawa (Custom Works Zon), Ben Forster (Benflathead), dan ramai lagi.
Jentera Kustom Kelas Dunia
AOS bawakan tiga motosikal kustom hebat dari Jepun dan Australia: BMW R18 “Ground 0” oleh Custom Works Zon, Knucklehead chopper oleh Luck MC, dan Flathead oleh Benflathead. Semua ini boleh dilihat secara eksklusif di AOS 2025.
Segmen Baharu & Kolaborasi Eksklusif
Tahun ini, AOS memperkenalkan World of Wheels (WOW) oleh MotorTakaful.com – Show & Shine eksklusif di Hall A, serta studio fotografi profesional di dalam dan luar dewan.
Terdapat 5 kolaborasi utama:
Art of Speed x Hot Wheels
Art of Speed x FK (rekaan kasut)
Art of Speed x High Cultured (streetwear)
Art of Speed x XOCKS
Art of Speed x MOONEYES – meraikan 10 tahun kolaborasi
Highlight Tambahan
Hot Wheels Collectors Convention Malaysia ke-3 di Dewan C, termasuk pelancaran kereta edisi “kiri & kanan”
Collectible Alley – lokasi baharu jualan barangan diecast dan koleksi
“BEETLE BATTLE” oleh Volkswagen Beetle Club Indonesia
Car Club Gathering dan parade kelab kereta sepanjang hujung minggu
ThunderCircus & Showcase Kenderaan
ThunderCircus “Brotherhood Rally” kembali untuk penggemar motosikal. Project Car Invitational Showcase oleh NoEqual.co pula akan memaparkan kereta ubah suai terbaik dari pelbagai genre.
Kulture Kartel & Gaya Hidup
Dewan D akan dihiasi vendor gaya hidup dan vintaj, pertandingan B-Boy peringkat SEA. Serta forum Kustom & Koffee Talk bersama tokoh industri.
Rangkaian Aktiviti Tambahan
Santai Scooterist
Perhimpunan kelab kereta klasik & moden
Roda Rumble 2025 bersama Retro Mania
Medan Selera & trak makanan
Payung Kopi dan Backdoor Soundsystem
Zon Uji Tunggang dari pelbagai jenama motosikal
SoundCircus Takeover 2025
Dimeriahkan oleh barisan artis tempatan seperti Noh Salleh, Ruffedge, Romantic Echoes dan ramai lagi. Berlangsung 26-27 Julai 2025 dari jam 2.00 petang hingga 7.00 malam di Dewan A.
Kembara Pasport & Hadiah Menarik
Tidak lagi membuat cabutan bertuah, tahun ini pengunjung perlu melengkapkan cabaran pasport dengan cop dari booth terpilih untuk peluang memenangi hadiah seperti tiket ke Jepun, Indonesia dan Thailand.
Tiket & Maklumat Lanjut
Tiket awal boleh dibeli di www.artofspeedmy.com dengan harga RM35 (Weekend Pass) dan RM40 (Sunday Pass). Tidak termasuk caj RM3. Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU masuk PERCUMA. Tiket valet VIP Parking juga tersedia pada RM30.
Yamaha Motor Company meneruskan sambutan ulang tahun ke-70 mereka di pentas dunia dua roda apabila pasukan rasmi pengeluar Jepun itu bakal tampil dengan livery istimewa sempena perlumbaan penutup musim Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) 2025 di Jerez, hujung minggu ini.
Warisan dan sejarah panjang Yamaha dizahirkan melalui jentera Pata Maxus Yamaha WorldSBK Official Team, GYTR GRT Yamaha WorldSBK Team dan Pata Yamaha Ten Kate Racing WorldSSP Team semuanya bakal turun dengan warna merah dan putih ikonik, diinspirasikan daripada rekaan YZF-R7 tahun 1999 yang cukup legend!
Livery Ikonik Jentera Yamaha
Warna khas ulang tahun ke-70 ini akan menghiasi jentera Yamaha R1 WorldSBK dan R9 WorldSSP khusus untuk perlumbaan Race 2 pada hari Ahad. Para pelumba juga akan mengenakan sut perlumbaan yang direka khas bagi meraikan detik bersejarah ini.
Reka bentuk tersebut pertama kali didedahkan dalam sesi fotografi eksklusif di Litar Jerez pada Khamis, memberikan para media peluang pertama melihat penampilan baharu ini sebelum aksi hujung minggu bermula.
Menurut Andrea Dosoli, Pengurus Bahagian Yamaha Motor Europe, penampilan khas ini bukan sekadar penghormatan terhadap sejarah, tetapi juga sebagai simbol kesinambungan semangat perlumbaan Yamaha.
“Kami amat berbangga dapat memainkan peranan dalam sambutan ulang tahun ke-70 Yamaha dengan memperkenalkan livery khas yang diinspirasikan daripada YZF-R7 1999 untuk perlumbaan WorldSBK dan WorldSSP pada Ahad ini. R7 ialah motosikal yang telah memukau peminat di seluruh dunia serta mencatat kejayaan besar dalam Kejuaraan Dunia Superbike. Melihat warna ini kembali ke litar pastinya mengundang nostalgia mendalam buat kami semua. Legasi Yamaha sendiri sudah cukup menggambarkan kehebatannya sebagai jenama ikonik, dan kami yakin warna ini akan membangkitkan kenangan indah di hati ramai peminat perlumbaan,” katanya.
Ulang tahun ke-70 Yamaha bukan sekadar sambutan, tetapi pengiktirafan terhadap tujuh dekad inovasi, keberanian dan pencapaian dalam dunia permotoran. Dari era dua lejang GP hingga ke teknologi moden superbike dan sportbike masa kini, Yamaha terus menjadi simbol kesempurnaan antara prestasi dan semangat perlumbaan.
Dengan warna klasik merah-putih yang kembali menghiasi jentera moden R1 dan R9, Yamaha bukan sahaja meraikan sejarah malah mereka menghidupkan semula semangat zaman kegemilangan yang telah membentuk identiti mereka selama tujuh dekad.
Subaru Corporation secara rasmi memperkenalkan model elektrik sepenuhnya terbaharu mereka Subaru Uncharted 2026 dalam satu acara berprestij di New York City.
Merupakan model ketiga dalam barisan kenderaan elektrik bateri global (BEV) Subaru selepas Solterra dan Trailseeker, Uncharted tampil sebagai SUV crossover kompak yang yang praktikal untuk kegunaan harian.
Rekaan Luaran yang Lasak dan Bergaya
Reka bentuk luaran menampilkan wajah depan yang bersih dan moden dengan bentuk badan padat.
Gaya ini bukan sahaja sporty, tetapi juga membawa elemen sofistikated yang sesuai dengan gaya hidup aktif masa kini.
Dimensinya lebih pendek 170 mm berbanding Subaru Solterra, memberikan kelebihan dari segi kemudahan parkir tanpa mengorbankan ruang kargo.
Kabinnya, Ruang Tenang dengan Sentuhan Berani
Di bahagian dalam, suasana kabin menyerlah dengan kemasan aksen oren eksklusif, garis mendatar yang garang pada papan pemuka, dan suasana yang lapang.
Ia bukan sahaja menyerlahkan karakter pemanduan yang dinamik, malah memberi keselesaan kepada semua penumpang.
Jarak Pemanduan Lebih 300 Batu
Subaru Uncharted menggunakan pek bateri litium-ion berkapasiti tinggi 74.7 kWh.
Untuk varian pacuan roda hadapan (FWD), jarak pemanduan dijangka melebihi 300 batu (kira-kira 482 km).
Manakala model pacuan semua roda (AWD) pula mampu mencapai lebih 280 batu (kira-kira 450 km) dan ini angka yang sangat kompetitif dalam segmen ini.
Sistem prapemanas bateri disediakan bagi mempercepatkan proses pengecasan dalam cuaca sejuk, dengan masa pengecasan 10% hingga 80% hanya mengambil kira-kira 30 minit menggunakan pengecas 150kW.
Model ini juga menggunakan port pengecasan standard Amerika Utara (NACS), menambah kemudahan kepada pengguna di rantau itu.
Prestasi Pemanduan Lebih Mengujakan
Untuk varian AWD, sistem pacuan elektrik dua motor menghasilkan kuasa sistem maksimum dianggarkan mencecah 338 hp.
Manakala varian FWD menjana sekitar 221 hp.
Kuasa ini disampaikan dengan kelancaran dan daya pecutan linear yang menjadi ciri utama BEV.
Sistem suspensi dan AWD khas dari Subaru memastikan kestabilan dan cengkaman optimum di pelbagai permukaan jalan.
Projek Bersama Subaru-Toyota
Uncharted merupakan hasil kolaborasi erat antara Subaru dan Toyota di bawah slogan “Let’s make ever-better cars together.”
Kedua-dua pengeluar memanfaatkan kepakaran teknologi masing-masing bagi menghasilkan sebuah produk yang bukan sahaja mesra alam, tetapi turut menepati DNA pemanduan menyeronokkan.
Sedia Mengorak Langkah ke Masa Depan
Dengan pengenalan Uncharted, Subaru mengukuhkan lagi komitmennya ke arah elektrifikasi penuh.
Model ini dijadualkan untuk memasuki pasaran A.S. pada tahun 2026, menjadi satu lagi langkah penting ke arah mobiliti masa depan yang mampan dan rendah karbon.
Yamaha EGO Gear Pro Skuter Baharu Lebih Praktikal Untuk Semua Golongan
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan EGO Gear Pro, model skuter automatik baharu yang...