RX-Z Members 6.0
Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang Program RX-Z Members 6.0 yang bakal berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus pada 13 dan 14 September ini.
Pihak polis akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR). Langkah ini diambil untuk memastikan semua peserta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sepanjang program tersebut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin, menjelaskan bahawa selain polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan terlibat dalam penguatkuasaan melalui Op Khas Motosikal.
Ini adalah langkah proaktif untuk memastikan program berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 151 pegawai dan anggota polis serta JPJ akan bertugas untuk mengawal aliran trafik. Dengan lebih 80,000 peminat motosikal dijangka membanjiri program ini, langkah pengawalan yang rapi amat penting bagi menjamin keselamatan semua pihak.
Sekatan Jalan Raya di Kawasan Hotspot
SJR akan dipertingkatkan di kawasan hotspot yang telah dikenal pasti, di mana tindakan saman serta penyitaan kenderaan akan diambil jika terdapat peserta yang melanggar peraturan.
Pihak berkuasa juga mempunyai kuasa untuk membatalkan permit penganjuran sekiranya terlalu banyak aduan diterima atau jika syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dipatuhi oleh penganjur.
Datuk Mohd. Khairi turut mengingatkan tentang pelbagai kesalahan yang dikesan pada penganjuran program terdahulu. Seperti ketiadaan lesen memandu, pengubahsuaian nombor pendaftaran dan ekzos, serta ketiadaan cukai jalan.
Statistik menunjukkan sebanyak 292 saman polis dan 311 saman JPJ telah dikeluarkan pada program tahun lalu. Selain mencatatkan empat kes kemalangan maut yang membabitkan peserta, tiga di Kemaman dan satu di Hulu Terengganu.
Pesanan Kepada Rider
“Saya mengalu-alukan kedatangan peminat sukan permotoran ke Terengganu. Tetapi ingin saya tegaskan agar mereka mematuhi undang-undang jalan raya dan berhati-hati dalam perjalanan,” kata beliau.
Peserta diingatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan program RX-Z Members 6.0 ini berlangsung dengan selamat dan meriah.
Dari Utusan
Baca Juga Ubah Suai Ekzos – Kompaun Sehingga RM500,000 – Punca Pencemaran Bunyi dan Udara
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.