
Red Bull KTM Factory Racing menutup pusingan ke-17 Kejuaraan Dunia FIM Motocross 2026 dengan keputusan positif apabila Simon Laengenfelder meraih tempat kedua keseluruhan dalam kategori MX2 di Grand Prix Turkiye.
Berlangsung di Afyon Motor Sports Center, perlumbaan kali ini menyaksikan pelumba berdepan permukaan hard-pack yang rata, pantas dan dipenuhi beberapa bahagian lompatan teknikal.
Laengenfelder menjadi antara nama paling menonjol buat KTM apabila memenangi Moto 1 sebelum menamatkan perlumbaan kedua di tempat ketiga. Keputusan 1-3 itu cukup untuk membawanya ke podium kedua keseluruhan.
Selepas melalui beberapa pusingan yang agak mencabar, Laengenfelder memulakan Moto 1 dengan baik sebelum mengejar pendahulu kejuaraan, Guillem Farres.
Pelumba Jerman itu melakukan serangan pada lap keenam daripada keseluruhan 17 lap sebelum mengambil alih kedudukan pertama.
Selepas berada di hadapan, Laengenfelder mula membuka jurang sehingga enam saat sebelum melintasi garisan penamat untuk kemenangan Moto kelimanya musim ini.
Dalam Moto 2 pula, dia kekal berada dalam kelompok tiga teratas untuk sebahagian besar perlumbaan.
Walaupun tidak berjaya mengejar Liam Everts di tempat kedua, keputusan P3 memastikan Laengenfelder mengutip trofi kelapannya musim ini dan kembali menaiki podium buat kali pertama sejak Grand Prix Flanders.
Dalam kelas utama MXGP, Andrea Adamo pula meneruskan musim rookie yang konsisten bersama KTM 450 SX-F.
Pelumba Itali itu menamatkan Moto 1 di tempat kelima sebelum meraih P6 dalam perlumbaan kedua, sekali gus meletakkannya di tempat keenam keseluruhan.
Adamo kini menghuni kedudukan kelima kejuaraan dan masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan keseluruhannya dalam baki perlumbaan musim ini.
Baca Juga: Toyota Memperkenalkan GR Kart, Mesra Untuk Setiap Peringkat Umur!
Nasib berbeza menimpa Sacha Coenen yang memasuki perlumbaan Ahad dalam keadaan kurang sihat akibat masalah perut.
Walaupun mengalami masalah di pintu permulaan Moto 1, pelumba Belgium itu berjaya mara pantas sehingga ke kelompok enam teratas.
Namun, dia terjatuh ketika melakukan lompatan triple panjang dan gagal menamatkan perlumbaan.
Coenen kembali mencuba dalam Moto 2 dan sempat mencatat holeshot ke-15 musim ini serta mendahului perlumbaan sehingga penghujung lap kedua.
Keadaan fizikal yang belum pulih sepenuhnya bagaimanapun memaksanya menarik diri sekali lagi.
Lucas Coenen pula terus tidak dapat beraksi akibat kecederaan pada bahagian pinggul kiri.
Pelumba itu juga disahkan tidak akan mengambil bahagian dalam pusingan ke-18 di China.
Ketika ini, persaingan dalam kelompok hadapan MX2 masih terbuka dengan Sacha Coenen berada di tempat ketiga kejuaraan manakala Laengenfelder menduduki tempat keempat.
Dalam kategori Eropah, KTM turut meraikan kejayaan apabila Ricardo Bauer dan Moriz Ernecker menamatkan saingan EMX125 masing-masing di tempat pertama dan kedua keseluruhan kejuaraan.
Bauer mencatat keputusan sempurna 1-1 di Afyon, manakala Ernecker meraih tempat kedua dalam Moto 2.
Sementara itu, Gyan Doensen menamatkan musim EMX250 di tempat keempat keseluruhan bersama Gabriel SS24 KTM 250 SX-F.
Selepas Turkiye, saingan FIM Motocross World Championship akan menuju ke Shanghai untuk Grand Prix China pada 12 hingga 13 September.
Pusingan itu menjadi perlumbaan kedua terakhir musim 2026 sebelum penutup tirai di Australia.
Buat Red Bull KTM, baki dua pusingan terakhir bakal menjadi penentu dalam usaha mempertahankan kedudukan terbaik dalam kedua-dua kategori MXGP dan MX2.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.