
BYD Sime Motors memperkenalkan 2026 BYD ATTO 3 Performance untuk pasaran Malaysia, sekali gus menjadi varian paling berkuasa dalam keluarga SUV elektrik berkenaan setakat ini.
Diperkenalkan bersempena sambutan Merdeka ke-69, hanya 69 unit ATTO 3 Performance ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan harga RM149,800.
Berbanding varian Ultra dan Premium, versi Performance menerima peningkatan cukup ketara pada bahagian sistem pacuan dengan kuasa gabungan 330 kW dan tork 560 Nm.
Ia turut menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD), membolehkan SUV elektrik ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.0 saat.
ATTO 3 Performance menggunakan bateri BYD Blade LFP berkapasiti 74.88 kWh, sama seperti varian Premium.
Bagaimanapun, konfigurasi sistem pacuannya jauh lebih berkuasa dengan output gabungan 330 kW dan tork 560 Nm.
Sebagai perbandingan, ATTO 3 Ultra menghasilkan 150 kW dan 310 Nm melalui pacuan roda hadapan, manakala Premium mempunyai kuasa 230 kW dan tork 380 Nm dengan pacuan roda belakang.
Prestasi 0-100 km/j juga dipertingkatkan kepada 4.0 saat, berbanding 5.5 saat untuk Premium dan 7.3 saat bagi Ultra.
Walaupun lebih berorientasikan prestasi, ATTO 3 Performance masih menawarkan jarak perjalanan sehingga 530 km berdasarkan kitaran NEDC.
Ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 220 kW, menjadikannya lebih sesuai bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga perjalanan jarak jauh.
Selain peningkatan prestasi, ATTO 3 Performance menerima beberapa kelengkapan tambahan bagi membezakannya daripada varian lain.
Antaranya ialah Windscreen Head-Up Display (W-HUD) serta peti sejuk terbina dalam kenderaan yang mempunyai fungsi penyejukan dan pemanasan.
Ini merupakan kali pertama ciri peti sejuk ditawarkan dalam rangkaian ATTO 3 di Malaysia.
Model ini turut mengekalkan skrin infotainmen tengah bersaiz 15.6 inci, panel instrumen digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W serta bumbung panoramik dengan fungsi gelongsor elektrik dan anti-pinch.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan turut dilengkapi fungsi pengudaraan.
Dari segi praktikaliti, ruang bagasi maksimum mencecah 1,360 liter, selain tambahan ruang penyimpanan hadapan atau frunk berkapasiti 101 liter.
Dari sudut keselamatan, ATTO 3 Performance menggunakan pakej Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang turut terdapat pada varian Premium.
Antara sistem yang ditawarkan termasuk:
Varian Performance juga dilengkapi tujuh beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan.
Sistem suspensinya menggunakan konfigurasi MacPherson Strut dengan dual-ball joint di hadapan serta sistem lima pautan di belakang.
Dengan pengenalan Performance, rangkaian 2026 BYD ATTO 3 di Malaysia kini terdiri daripada tiga pilihan.
ATTO 3 Ultra ditawarkan pada harga RM125,800, menggunakan bateri 60.48 kWh, menghasilkan 150 kW dan 310 Nm serta menawarkan jarak perjalanan sehingga 480 km NEDC.
ATTO 3 Premium pula berharga RM138,800, menggunakan bateri 74.88 kWh, kuasa 230 kW dan tork 380 Nm dengan jarak sehingga 600 km NEDC.
Sementara itu, ATTO 3 Performance menjadi pilihan paling berkuasa pada harga RM149,800 dengan sistem AWD, 330 kW, 560 Nm dan jarak 530 km NEDC.
Ketiga-tiga varian mempunyai panjang 4,455 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,615 mm serta jarak roda 2,720 mm.
Menurut BYD Sime Motors, pemilihan jumlah 69 unit adalah bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-69 pada tahun ini.
Sejak diperkenalkan di Malaysia, lebih 13,000 unit BYD ATTO 3 dilaporkan kini berada di atas jalan raya tempatan.
BYD Sime Motors kini disokong oleh rangkaian 44 pusat jualan dan pemasaran, 28 pusat servis serta 12 pusat badan dan cat di seluruh negara.
ATTO 3 Performance sudah boleh dilihat dan ditempah di bilik pameran BYD yang sah.
Bersempena pelancarannya, BYD Sime Motors turut menawarkan pakej khas bernilai sehingga RM10,000, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pelanggan boleh memilih antara pengecas dinding bersama pemasangan standard dan manfaat overtrade sehingga RM6,000, atau pakej servis standard selama enam tahun bersama manfaat overtrade sehingga RM5,000.
ATTO 3 Performance turut menerima pakej waranti yang sama seperti varian ATTO 3 lain, merangkumi waranti kenderaan enam tahun atau 150,000 km, waranti bateri voltan tinggi Blade selama lapan tahun atau 160,000 km, serta waranti unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000 km.
Turut diberikan ialah penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) serta kabel pengecas Type 2 dengan palam tiga pin.
Dengan tambahan sistem AWD dan prestasi 0-100 km/j dalam 4.0 saat, ATTO 3 Performance kini membuka pilihan kepada pembeli yang mahukan sebuah SUV elektrik praktikal untuk kegunaan harian tetapi dengan prestasi yang jauh lebih agresif berbanding dua varian ATTO 3 sedia ada.
Baca Juga : BYD Buka Bilik Pameran EV Terpakai “BYD Certified”
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.