
BMW Group Malaysia mengumumkan pelantikan Raymond Tan Chor Ann sebagai Pengarah Urusan baharu syarikat itu, berkuat kuasa mulai 1 September 2026.
Pelantikan tersebut turut mencatat sejarah apabila Raymond menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerajui BMW Group Malaysia sejak syarikat berkenaan ditubuhkan di negara ini.
Beliau akan mengambil alih jawatan daripada Benjamin Nagel, yang bakal dilantik sebagai Pengarah Urusan BMW Group Importer Markets TW, HK, MC, meliputi pasaran Taiwan, Hong Kong dan Macao.
Pelantikan Raymond dianggap sebagai satu kepulangan buat pemimpin automotif tempatan itu selepas membina pengalaman luas dalam beberapa pasaran dan fungsi strategik BMW Group di rantau Asia-Pasifik serta ibu pejabat syarikat di Munich, Jerman.
Dalam peranan baharunya, Raymond akan mengetuai keseluruhan operasi BMW Group Malaysia, termasuk memperkukuh kedudukan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad dalam pasaran tempatan.
Tumpuan utama beliau merangkumi usaha meningkatkan pengalaman pelanggan premium, memperluas penyelesaian mobiliti serta mengukuhkan kedudukan BMW Group sebagai antara pilihan utama dalam segmen kenderaan premium di Malaysia.
Strategi berkenaan akan terus berteraskan pendekatan Technology Openness dan Power of Choice yang menawarkan pelbagai pilihan rangkaian kuasa kepada pelanggan, termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid plug-in dan elektrik sepenuhnya.
Raymond bukanlah nama baharu dalam organisasi BMW Group Malaysia. Beliau merupakan sebahagian daripada pasukan perintis syarikat itu pada 2003 dan memulakan kerjayanya sebagai Pengurus Perancangan Produk dan Harga.
Melalui jawatan tersebut, beliau memainkan peranan dalam membentuk strategi produk serta kedudukan model-model BMW dalam pasaran Malaysia.
Beliau kemudiannya menyertai ibu pejabat BMW Group di Munich sebagai Pengurus Produk Serantau, dengan tanggungjawab merangkumi perancangan produk dan penyelarasan strategik bagi beberapa pasaran antarabangsa.
Raymond kemudian kembali ke Malaysia sebagai Ketua Pemasaran sebelum dilantik sebagai Ketua Jualan, yang menyaksikan beliau menguruskan operasi jualan nasional serta prestasi rangkaian pengedar BMW di seluruh negara.
Mengulas pelantikannya, Raymond berkata beliau teruja untuk kembali ke Malaysia dan memimpin syarikat jualan nasional BMW ketika pengeluar itu sedang bersedia memasuki era baharu menerusi pengenalan rangkaian model Neue Klasse.
Menurutnya, antara keutamaan utama ialah mengembangkan lagi perniagaan, meningkatkan tahap profesionalisme rangkaian peruncitan, memperkukuh kesetiaan pelanggan serta mengekalkan BMW Group sebagai jenama premium pilihan di Malaysia.
Neue Klasse bakal menjadi asas kepada generasi baharu kenderaan BMW yang memberi penekanan terhadap teknologi elektrik, digitalisasi, kecekapan dan pengalaman pemanduan masa hadapan.
Sementara itu, Benjamin Nagel akan meneruskan perjalanan kerjayanya bersama BMW Group dengan mengetuai pasaran pengimport Taiwan, Hong Kong dan Macao.
Nagel mempunyai pengalaman antarabangsa melebihi dua dekad dan pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di Jerman, India, Afrika Selatan, Malaysia serta rantau Asia-Pasifik.
Pengalaman beliau merangkumi bidang jualan, pengedaran, operasi peruncitan, pembangunan rangkaian pengedar serta strategi pasaran.
Sepanjang menerajui BMW Group Malaysia, Nagel memainkan peranan penting dalam membantu syarikat mengharungi perubahan pasaran automotif, khususnya dalam aspek elektrifikasi, digitalisasi, pengalaman pelanggan dan pembangunan rangkaian.
Menurut Nagel, pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Malaysia akan digunakan untuk menyokong pertumbuhan mampan dan memperkukuh kedudukan jenama premium BMW di Taiwan, Hong Kong dan Macao.
Naib Presiden Kanan Jualan BMW Group bagi rantau Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Ritu Chandy, berkata pengalaman antarabangsa Raymond serta pemahamannya terhadap pasaran tempatan akan menjadi aset penting kepada BMW Group Malaysia.
Beliau menyifatkan Raymond sebagai bakat Malaysia yang berpengalaman dalam pelbagai portfolio strategik BMW Group serta mempunyai rekod kepimpinan yang kukuh dalam beberapa pasaran utama.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Benjamin Nagel atas kepimpinan dan sumbangannya sepanjang menerajui operasi BMW Group Malaysia.
Baca Juga : Hampir RM1 Juta! BMW M2 CS Rasmi di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.