Automotif

Kereta Pacuan Roda Hadapan Pakai GT Wing Spoiler? Ini Penjelasan Dari Sudut Aerodinamik

Share

GT Wing Spoiler Pada FWD, Apa Sebenarnya Kelebihannya?

Kalau nampak Honda Civic, Volkswagen Golf GTI atau mana-mana kereta Front-Wheel Drive (pacuan roda hadapan) dengan GT Wing Spoiler besar di belakang, mesti ada yang akan tertanya-tanya,

“ Kereta pacuan roda hadapan buat apa pakai GT Wing Spoiler? ”

Nampak macam masuk akal. Tapi sebenarnya, fungsi spoiler atau wing bukan bergantung kepada roda mana yang menerima kuasa enjin.

Sama ada kereta pacuan roda hadapan, pacuan roda belakang atau pacuan semua roda, keempat-empat tayar masih perlukan grip yang baik untuk memastikan kereta kekal stabil.

Malah, untuk kereta pacuan roda hadapan yang digunakan secara agresif atau di litar, bahagian belakang kereta memainkan peranan yang cukup penting.

Kereta Pacuan Roda Hadapan Memang Cenderung Kepada Understeer

Secara asasnya, kebanyakan kereta pacuan roda hadapan mempunyai kecenderungan untuk mengalami understeer.

Mudah cakap, anda sudah pusing steering tetapi kereta mula tersasar keluar daripada selekoh kerana tayar hadapan sudah kehilangan grip.

Ini kerana tayar hadapan pada kereta pacuan roda hadapan perlu melakukan banyak kerja dengan serentak. Ia perlu memindahkan kuasa enjin ke jalan, membelok dan pada masa sama menerima beban yang tinggi ketika braking

.

Sebab itu untuk kereta pacuan roda hadapan berprestasi tinggi, jurutera biasanya cuba menjadikan chassis lebih neutral dan membantu bahagian belakang kereta untuk turut sama rotate ketika masuk selekoh.

Masalahnya, jika bahagian belakang terlalu ringan atau terlalu mudah bergerak, kereta boleh menjadi kurang stabil pada kelajuan tinggi.

Di sinilah GT Wing Spoiler mula memainkan peranannya.

GT Wing Spoiler Boleh Tambah Grip Di Bahagian Belakang Kereta

GT Wing Spoiler yang direka dengan betul boleh menghasilkan downforce.

Secara mudah, downforce ialah daya aerodinamik yang menekan kereta ke permukaan jalan apabila kelajuan meningkat.

Lebih laju kereta bergerak, lebih besar kesan aerodinamik yang boleh dihasilkan.

Kredit Foto : Pexel (Jan Reichelt)

Walaupun roda belakang kereta pacuan roda hadapan tidak menerima kuasa daripada enjin, tayar belakang masih perlukan grip untuk membantu memastikan kereta kekal stabil.

Tambahan downforce di bahagian belakang boleh membantu tayar belakang mengekalkan cengkaman ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi.

Sebab itu kalau anda tengok kereta touring car atau kereta pacuan roda hadapan yang dibina khusus untuk kegunaan track, bukan sesuatu yang pelik jika ia menggunakan GT Wing Spoiler bersaiz besar.

Ada Kaitan Dengan Weight Transfer

Satu lagi perkara penting ialah weight transfer.

Ketika anda brake, accelerate atau masuk corner, berat kereta tidak kekal sama pada setiap tayar.

Sebagai contoh, apabila anda brake, berat kereta akan berpindah ke bahagian hadapan. Bahagian belakang pula menjadi lebih ringan.

Perkara sama juga boleh berlaku apabila pemandu tiba-tiba melepaskan padel

ketika sedang mengambil selekoh.

Daripada situ, boleh berlakunya satu fenomena yang dipanggil lift-off oversteer.

Apa Itu Lift-Off Oversteer?

Bayangkan anda sedang masuk corner dengan agak laju.

Tiba-tiba anda angkat kaki daripada pedal.

Berat kereta terus berpindah ke hadapan, manakala tayar belakang kehilangan sebahagian load.

Jika grip belakang sudah berada hampir pada limit, bahagian belakang kereta boleh mula terbuang keluar.

Itulah yang dipanggil lift-off oversteer.

Fenomena ini boleh membantu kereta pacuan roda hadapan untuk rotate ketika memasuki selekoh, tetapi jika berlaku terlalu banyak atau terlalu mengejut, ia boleh menyebabkan kereta hilang kestabilan.

Pada kelajuan tinggi, GT Wing Spoiler boleh membantu dengan menghasilkan downforce pada bahagian belakang dan meningkatkan kestabilan rear axle.

Kredit Foto : Pexels (syed umair)

Tapi Bukan Semua GT Wing Spoiler Terus Jadi ‘Performance’

Ini bahagian yang ramai selalu terlepas pandang.

Hanya sebab sebuah kereta menggunakan GT Wing Spoiler besar, tidak bermaksud spoiler tersebut terus menghasilkan downforce yang berguna.

Rekaan, saiz, sudut, kedudukan serta aliran udara memainkan peranan besar terhadap keberkesanannya.

Ada GT Wing Spoiler yang memang direka untuk performance.

Ada juga yang fungsi utamanya lebih kepada penampilan.

Malah, jika bahagian belakang menghasilkan terlalu banyak downforce tanpa aero yang seimbang di bahagian hadapan, kereta boleh menjadi lebih mudah mengalami understeer.

Sebab itu kereta perlumbaan biasanya bukan sekadar dipasang GT Wing Spoiler di belakang.

Ia turut menggunakan komponen seperti splitter depan, diffuser dan underbody aero bagi memastikan aero balance kereta kekal seimbang.

Jadi, GT Wing Spoiler Pada Kereta Pacuan Roda Hadapan Memang Ada Fungsi?

Ya, memang boleh ada fungsi.

GT Wing Spoiler pada kereta pacuan roda hadapan bukan dipasang untuk ‘menekan roda yang menerima kuasa’.

Sebaliknya, ia digunakan untuk membantu menghasilkan downforce, meningkatkan rear stability dan menambah grip pada bahagian belakang ketika kereta bergerak pada kelajuan tinggi.

Sebab itu model berprestasi tinggi seperti Honda Civic Type R turut menggunakan rear wing walaupun ia sebuah kereta pacuan roda hadapan.

Jadi kalau nampak sebuah Civic dengan GT Wing Spoiler besar selepas ini, jangan terlalu cepat anggap ia sekadar aksesori kosmetik.

Mungkin ia memang dipasang untuk gaya.

Tetapi mungkin juga pemiliknya kerap turun ke track dan GT Wing Spoiler tersebut memang sebahagian daripada setup kereta.

Persoalan sebenar bukan sama ada kereta itu pacuan roda hadapan atau pacuan roda belakang.

Persoalannya ialah GT Wing Spoiler itu benar-benar berfungsi, atau sekadar nampak garang?

Baca Juga : PDRM Uji Proton e.MAS, Tiga Model Dinilai Untuk Kegunaan Operasi

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi