
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!

Prototaip Accord 0 Series ini benar-benar kelihatan ‘hidup’ dengan gaya yang jauh lebih berani dan dinamik berbanding model sedia ada.
Honda Accord yang dijual di pasaran global sejak tahun 2015 dianggap semakin kehilangan identiti sporty yang pernah dimilikinya.
Dengan pertambahan panjang dan dimensi yang lebih besar, ia kelihatan kurang menarik dari segi estetik.

Namun, dengan badan yang lebih pendek, warna hitam yang anggun, dan fender lebar yang direka khas untuk menampung trek roda yang lebih luas, prototaip Accord ini kelihatan lebih segar dan moden.
Penggunaan rim daripada Acura MDX Type S juga menambah elemen sport pada kereta ini.
Menjadikannya sebuah sedan paling bergaya yang pernah dilihat dalam sejarah Accord.
Antara elemen yang paling mencuri tumpuan pada prototaip ini adalah fender depan yang lebih menonjol.
Fender yang direka bentuk mengalir ke bahagian sisi kereta dan menghasilkan rupa hampir seperti kereta ‘muscle’.

Roda besar melengkapkan fender tersebut dengan baik, sementara jarak overhang belakang yang lebih kecil.
Ciri ini mampu memberikan proporsi lebih seimbang berbanding Accord versi pengeluaran.
Dengan rekaan ini, Honda berjaya menghidupkan kembali elemen sporty yang mungkin dirindui oleh peminat lama Accord.
Prototaip Accord ini memberikan bayangan tentang potensi reka bentuk masa depan bagi Honda.
Reka bentuk ini yang menggabungkan warisan lama dengan inovasi moden menjadikan sebuah kereta yang mampu mencuri perhatian orang ramai.
Walaupun model ini mungkin tidak akan dilancarkan secara rasmi, ia membuka ruang untuk perbincangan mengenai arah rekaan sedan sporty Honda pada masa akan datang.

Bagi peminat Accord, prototaip ini mengingatkan kita tentang era di mana sedan tidak sekadar untuk keselesaan, tetapi juga untuk keseronokan pemanduan.
Dengan sedikit penambahbaikan dan elemen reka bentuk yang tepat, tidak mustahil untuk Honda membawa semula legasi sedan sporty ke barisan model masa depan.
Prototaip Accord 0 Series ini membuktikan bahawa gaya dan prestasi boleh wujud seiring, menjadikan setiap pemanduan satu pengalaman yang mengujakan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!

Volvo secara rasmi memperkenalkan EX60, sebuah SUV elektrik saiz sederhana yang dibangunkan sebagai alternatif bateri sepenuhnya kepada XC60 yang popular.
Model ini menandakan langkah penting jenama dari Sweden itu dalam memperluaskan portfolio kenderaan elektriknya, sambil mengekalkan DNA reka bentuk dan keutamaan terhadap keselamatan serta kelestarian.
EX60 diletakkan di antara EX30 dan EX40 dalam segmen kompak, serta di bawah EX90 yang menjadi model perdana SUV elektrik Volvo.
Ia juga menjadi model pertama yang menggunakan platform elektrik generasi baharu SPA3, direka khusus untuk EV dan menyokong peningkatan perisian serta perkakasan secara berterusan.
Menariknya, tidak seperti beberapa model Volvo elektrik lain, EX60 akan dihasilkan di Sweden, negara asal jenama itu.
Untuk pasaran Australia, ia dijangka tiba sekitar penghujung 2026 atau awal 2027, bergantung kepada varian, dengan versi Performance disasarkan memasuki pasaran sekitar pertengahan 2027.
Namun, Volvo memaklumkan bahawa jumlah awal pengeluaran mungkin terhad.
Volvo EX60 ditawarkan dengan tiga pilihan trenkuasa dan tiga konfigurasi bateri, merangkumi pacuan roda belakang motor tunggal serta pacuan semua roda dwi-motor.
Kesemua varian menyokong pengecasan dua hala 22kW (bergantung pasaran) dan pengecasan pantas DC sehingga 370kW bagi sistem 800V.
Varian P6 menghasilkan 275kW dengan bateri 83kWh dan jarak sehingga 620km (WLTP). P10 AWD menawarkan 375kW, bateri 95kWh dan jarak 660km, manakala P12 AWD menjadi versi paling berkuasa dengan 500kW, bateri 117kWh dan jarak maksimum sehingga 810km.
Bagi mereka yang mahukan penampilan dan keupayaan lebih lasak, Volvo turut menawarkan EX60 dalam versi Cross Country.
Varian ini tampil dengan jarak trek lebih lebar, kelegaan tanah ditingkatkan 20mm serta suspensi udara yang boleh menaikkan kenderaan tambahan 20mm.
Pada kelajuan tinggi, sistem ini akan merendahkan badan bagi mengurangkan rintangan angin. Elemen visual eksklusif termasuk kemasan pelindung badan, skid plate keluli tahan karat dan warna khas Frost Green.
Dari segi saiz, EX60 sedikit lebih besar berbanding XC60. Panjangnya mencecah 4,803mm dengan jarak roda 2,970mm, menawarkan ruang kabin lebih luas.
Ruang bonet standard ialah 523 liter termasuk storan bawah lantai, dan boleh meningkat sehingga hampir 1,000 liter apabila barisan kedua dilipat.
Jika diukur sehingga bumbung, kapasiti mencecah lebih 1,600 liter. Tambahan ruang storan hadapan (frunk) turut disediakan dengan isipadu antara 58 hingga 85 liter.
Dari luar, EX60 jelas membawa identiti EV Volvo dengan lampu hadapan LED Thor’s Hammer, lampu belakang menegak berlapis serta bahu badan yang tegap.
Di dalam, pendekatan minimalis diteruskan dengan hampir tiada butang fizikal, digantikan skrin infotainmen besar orientasi melintang dan kluster instrumen digital nipis.
Ciri lain termasuk bumbung kaca panoramik, konsol tengah dua tingkat dan sistem audio premium Bowers & Wilkins.
EX60 merupakan model Volvo pertama menggunakan teknologi mega casting, di mana ratusan komponen kecil digantikan dengan tuangan aluminium berskala besar bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan jejak karbon.
Volvo mendakwa jejak karbon EX60 setara dengan EX30 yang lebih kecil.
Platform SPA3 dipadankan dengan Superset tech stack Volvo, menggunakan pemproses Qualcomm 8255 yang menyokong Google Gemini terbina dalam, membolehkan interaksi AI secara perbualan tanpa lengah.
Dengan gabungan jarak pemanduan jauh, prestasi tinggi, teknologi terkini dan fokus kelestarian, Volvo EX60 muncul sebagai antara SUV elektrik paling lengkap dalam segmen saiz sederhana.
Ia bukan sahaja menjadi pengganti elektrik kepada XC60, malah berpotensi menjadi penanda aras baharu bagi EV keluarga premium dari Eropah.
Baca Juga : Volvo Car Malaysia Buka “Registration for Interest” Untuk Volvo ES90 CKD
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

AmInvestment Bank melaporkan bahawa kira-kira 80 peratus pembeli kereta PROTON dan PERODUA memilih tempoh pinjaman sehingga sembilan tahun, menurut satu nota penyelidikan yang dikeluarkan oleh bank pelaburan tersebut.
Menurut nota penyelidikan itu, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan utama di kalangan demografi berpendapatan sederhana hingga rendah. Bagi segmen masyarakat ini, memiliki kenderaan bukan sekadar untuk kemewahan, tetapi lebih kepada keperluan asas.
“Yang paling penting bagi mereka adalah bayaran ansuran bulanan. Keadaan kewangan mereka sangat dipengaruhi oleh kadar faedah semasa,” kata penganalisis dari AmInvestment Bank.
Dia turut menekankan bahawa rakyat biasa sangat peka terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia, kerana ia berkait rapat dengan keadaan kewangan mereka. Pemantauan terhadap OPR adalah penting kerana ia berkaitan dengan kos pemilikan kereta.
AmInvestment Bank juga mencatatkan bahawa permohonan dan kelulusan pinjaman kereta pada masa ini masih kekal kukuh, terutamanya untuk model Myvi. Permintaan yang tinggi untuk model ini disebabkan oleh keperluan mendesak dan kebimbangan akan kenaikan OPR pada masa akan datang.
Firma penyelidikan itu juga melaporkan bahawa pembelian kenderaan terpakai masih kekal tinggi, walaupun beberapa pengeluar menghadapi masalah rantaian bekalan. Hal ini menyebabkan peningkatan permintaan dalam segmen kenderaan terpakai.
“Dalam masa yang sama, kami juga melihat minat yang tinggi terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV) di bilik pameran kereta. Pembeli telah mula mengambil kira potensi penjimatan bahan api berbanding kos elektrik,” jelas penganalisis AmInvestment Bank.
Menurut beliau, BEV semakin popular terutamanya di kalangan golongan T10 yang melihat kenderaan elektrik sebagai pilihan menarik untuk digunakan pada hujung minggu. Tambahan pula, pelbagai pengecualian cukai membuatkan pemilikan BEV menjadi lebih berbaloi, terutamanya di kalangan golongan elit.
Baca: Evolusi Identiti Visual, Sejarah Logo Proton
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

Acura Integra 2026 hadir dengan pembaharuan yang membuatkan hatchback mewah kompak ini lebih menarik daripada sebelumnya.
Antara yang paling ketara ialah paparan infotainmen baharu bersaiz 9.0 inci kini menjadi ciri standard untuk semua varian, menggantikan unit 7.0 inci sebelum ini.
Ia turut menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto serta dikatakan mempunyai pemproses lebih pantas untuk pengalaman yang lebih responsif dan lancar.
Bahagian dalaman juga menerima sentuhan baru dengan kemasan papan pemuka yang lebih segar.
Varian A-Spec ditingkatkan lagi dengan pencahayaan ambien tambahan dan pilihan upholsteri eksklusif.
Antaranya, kemasan Orchid kini diserikan dengan penyisip suede tiruan berwarna biru, manakala pilihan Ebony menampilkan jahitan kontras kuning pada tempat duduk, panel pintu, stereng dan tombol gear satu gabungan yang memancarkan aura sporty dan sofistikated.
Untuk penampilan luaran, A-Spec 2026 kini dilengkapi dengan bodykit lebih garang yang merangkumi spoiler sisi berkilat, skirt sisi lebih sporty dan rim aloi 18 inci berwarna hitam dengan rekaan baharu.
Paling menarik, pembeli kini boleh memilih gril depan yang sepadan dengan warna badan – khusus untuk warna Double Apex Blue Pearl dan Performance Red Pearl.
Jika tidak menggemari gaya ini, pilihan gril hitam standard masih tersedia sebagai aksesori kilang.
Tiga warna baharu turut diperkenalkan untuk tahun 2026 iaitu Double Apex Blue Pearl, Solar Silver Metallic dan Urban Gray Pearl.
Pembeli juga boleh mendapatkan gril sepadan bagi warna Urban Gray Pearl dan Platinum White Pearl melalui pilihan aksesori tambahan.
Di sebalik rupa luaran yang dipertingkatkan, Integra 2026 masih mengekalkan nadi yang sama enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder dengan kuasa 200 hp.
Pilihan transmisi kekal sama, sama ada CVT automatik atau transmisi manual 6-kelajuan.
Untuk CVT, paddle shifter turut disediakan bagi mereka yang mahu rasa kawalan manual walaupun dalam transmisi automatik.
Setakat ini, Acura masih belum mengumumkan harga rasmi untuk model 2026, tetapi dijangka tidak jauh berbeza daripada harga semasa.
Sebagai rujukan, model asas kini bermula sekitar USD34,196, manakala A-Spec dan A-Spec Technology masing-masing bermula sekitar USD36,195 dan USD39,195.
Dengan sentuhan teknologi terkini, pilihan kosmetik yang lebih luas serta kekal menawarkan pemanduan sporty berteraskan enjin turbo.
Acura Integra 2026 dilihat terus kukuh sebagai pilihan hatchback mewah yang penuh gaya dan personaliti.
Sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu lebih daripada sebuah Honda Civic, tetapi tetap dalam pakej praktikal dan menyeronokkan..
Baca Juga : Acura Integra Type S HRC Prototype, Bakal Setanding Honda Civic Type R FL5?
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!
© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd ❤️ Dikendali Oleh Astro Group

