Komitmen PROTON untuk Pelanggan di Malaysia Timur
PROTON terus memperkukuh komitmennya terhadap pelanggan di Malaysia Timur dengan menegaskan kesiapsiagaan selepas jualan bagi menyokong permintaan tinggi terhadap model All-New PROTON X50. Walaupun berdepan cuti panjang pada September lalu, model SUV popular itu kekal sebagai peneraju segmen dengan jualan sebanyak 2,994 unit, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV terlaris negara.
Bagi memastikan pelanggan di Sabah menerima sokongan selepas jualan yang pantas dan cekap, PROTON menumpukan usaha kepada pengukuhan pusat logistik utamanya di rantau ini Regional Parts Centre (RPC) yang terletak di Inanam, Kota Kinabalu.
Infrastruktur Logistik yang Efisien di Inanam
Pusat alat ganti serantau ini menjadi tulang belakang kepada operasi PROTON di Malaysia Timur. Dengan kawasan seluas kira-kira 28,000 kaki persegi, RPC ini mampu memproses 15 hingga 20 kontena sebulan, serta memuat turun sehingga enam kontena serentak.
Lebih penting, RPC ini mengekalkan stok minimum selama tiga hingga tiga setengah bulan, memastikan alat ganti penting sentiasa tersedia untuk kegunaan pengedar. Bagi permintaan mendesak, penghantaran boleh dilakukan dalam tempoh satu hari, manakala stok rutin disempurnakan dalam masa dua hari bagi memastikan gangguan operasi pengedar dapat diminimumkan.
Terletak secara strategik di hab komersial Kota Kinabalu, RPC ini turut mampu menerima import langsung jika perlu, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan bagi seluruh Sabah dan kawasan utara Sarawak.

Sumbangan Besar Sabah dalam Pertumbuhan PROTON
Menurut Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar,
“Sabah kekal sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi PROTON di Malaysia Timur. Pusat alat ganti kami di Kota Kinabalu kini mampu memenuhi sehingga 6,000 pesanan pengedar setiap bulan, menjamin khidmat yang cepat dan boleh dipercayai untuk pelanggan kami.”
Sepanjang tahun 2025, rantau Malaysia Timur menyumbang 20.6% daripada jumlah jualan PROTON di seluruh negara, menandakan kepentingannya terhadap prestasi keseluruhan syarikat. Model seperti Saga (15,438 unit), Persona (2,496 unit) dan X50 (1,649 unit) menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan tersebut.
Program PROTON Operational Excellence (POE)
Bagi mengekalkan standard perkhidmatan bertaraf tinggi, syarikat ini terus melaksanakan program PROTON Operational Excellence (POE) di seluruh Sabah. Program ini menilai tahap kecekapan operasi pengedar merangkumi proses servis, kemahiran teknikal, kawalan stok serta pengalaman pelanggan.
Prestasi pengedar disemak secara bulanan dan dikongsi secara telus bagi menggalakkan peningkatan berterusan serta persaingan sihat. Cawangan terbaik akan diberi pengiktirafan melalui Anugerah Pengedar 5-Bintang, manakala roadshow perkongsian ilmu suku tahunan diadakan bagi menyebarkan amalan terbaik di seluruh rangkaian.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap pemilik Proton yakin bahawa sokongan selepas jualan sentiasa boleh diakses dan berkesan. Pengukuhan pusat alat ganti serta rangkaian servis ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik di Malaysia Timur,” tambah Zhang.
Dengan langkah strategik ini, syarikat ini bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju segmen SUV tempatan, tetapi turut membina keyakinan jangka panjang dalam kalangan pelanggan di Sabah dan seluruh Malaysia Timur.
Baca Juga : Proton Perkukuh Sokongan Selepas Jualan untuk Proton X50 Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Ford Perkenal Servis Mudah Alih Terus ke Lokasi Pelanggan

Sime Darby Auto ConneXion Perkenal Servis Mudah Alih Ford di Malaysia
Sime Darby Auto ConneXion-Ford (SDAC-Ford), pengedar rasmi jenama Ford di Malaysia, memperkenalkan satu perkhidmatan baharu iaitu Ford Mobile Service (FMS).
Inisiatif ini membolehkan pelanggan mendapatkan servis penyenggaraan profesional dan kerja baik pulih ringan terus di lokasi pilihan mereka tanpa perlu ke pusat servis.

Servis Lebih Mudah, Cepat dan Profesional
Servis ini dilancarkan di pusat pengedar Ford di Ara Damansara dan menawarkan penyelesaian yang lebih fleksibel untuk pemilik kenderaan Ford.
Pelanggan boleh menempah khidmat juruteknik bertauliah bagi menjalankan servis di rumah atau pejabat mereka.
Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pertukaran minyak enjin, multi-point inspection, penggantian bateri, pengelap cermin dan penapis udara.

Jaminan Kualiti Melalui Alat Ganti Tulen
Semua perkhidmatan di bawah FMS menggunakan alat ganti tulen Ford serta peralatan yang diluluskan pengeluar.
Ini memastikan tahap mutu kerja, keselamatan dan prestasi yang sama seperti di pusat servis rasmi Ford, memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

Komitmen Terhadap Pengalaman Pemilikan Lebih Baik
“Ford Mobile Service ialah satu langkah penting dalam usaha kami menambah baik pengalaman pemilikan. Kami mahu pelanggan kami merasai tahap keyakinan dan profesionalisme yang sama seperti di pusat servis, tetapi dengan keselesaan di lokasi pilihan mereka,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan SDAC-Ford.

Jadual Operasi dan Kadar Caj
FMS beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dengan empat slot perkhidmatan antara jam 9:00 pagi hingga 3:30 petang.
Pada hari Sabtu pula, terdapat dua slot dari 9:00 pagi hingga 11:00 pagi.
Caj panggilan dikenakan bagi lokasi dalam lingkungan 20 kilometer dari Ford Ara Damansara, manakala caj tambahan dikenakan untuk jarak yang lebih jauh.
Tempahan Mudah Melalui Aplikasi SDM OneGo
Pelanggan boleh membuat tempahan bermula Jun ini melalui aplikasi SDM OneGo yang boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play Store.
Aplikasi ini memudahkan pelanggan memilih masa, lokasi serta mengurus tempahan.
Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan Ford Ara Damansara di 03-7621 5111.

Promosi Pengenalan Istimewa
Sempena pelancaran FMS, SDAC-Ford menawarkan diskaun yuran tempahan standard untuk tempoh terhad.
Ini merupakan satu insentif untuk pelanggan mencuba sendiri kemudahan dan kecekapan yang ditawarkan melalui perkhidmatan ini.
Peluasan FMS ke Seluruh Negara
Buat masa ini, FMS hanya ditawarkan melalui pengedar Ford di Ara Damansara.
Namun, SDAC-Ford merancang untuk meluaskan pelaksanaan perkhidmatan ini secara berperingkat ke seluruh rangkaian pengedarnya di Malaysia.
Komitmen Berterusan Terhadap Pelanggan
Ford Mobile Service secara tidak langsung dapat menjimatkan masa pengguna.
Servis ini juga menetapkan penanda aras baharu dalam sektor servis selepas jualan di Malaysia dan satu alternatif yang patut dicontohi.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Sime Darby Auto ConneXion-Ford Terus Memacu Dominasi Trak Pikap di Malaysia
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Taktik Licik Marc Marquez di GP Thailand Untuk Elak Penalti

Marc Marquez sekali lagi mencuri perhatian di MotoGP, tetapi kali ini bukan hanya kerana kepantasan luar biasanya, tetapi taktik yang mengejutkan di GP Thailand.
Di awal perlumbaan, Marquez dilihat menguasai perlumbaan dengan selesa, meninggalkan pelumba lain lebih dari satu saat di belakangnya.
Namun, tiba-tiba dia memperlahankan jentera dan memberi laluan kepada adiknya, Alex Marquez. Seolah-olah sengaja membiarkannya mendahului. Taktik ini menimbulkan tanda tanya – adakah Marc membantu adiknya atau ada sebab lain di sebaliknya?
Rupa-rupanya, keputusan itu dibuat bukan kerana strategi yang dirancang lebih awal. Tetapi sebagai usaha untuk mengelak daripada dikenakan penalti akibat tekanan tayar yang tidak berada dalam julat yang ditetapkan.

Kenapa Marc Biarkan Alex Mendahului?
Dalam era MotoGP yang semakin dikawal ketat, tekanan tayar depan menjadi satu faktor yang sangat penting. Peraturan yang diperkenalkan pertengahan tahun 2023 mewajibkan setiap pelumba mengekalkan tekanan tayar minimum untuk sekurang-kurangnya 60% daripada jarak perlumbaan. Dalam kes GP Thailand, ini bersamaan dengan 15 daripada 26 pusingan perlumbaan.
Pada awal perlumbaan, Marquez menyedari tekanan tayarnya terlalu rendah. Dia cuba mengubah corak tunggangannya. Menekan brek dengan lebih keras untuk menaikkan suhu dan tekanan tayar.
Namun, ia tidak cukup untuk memastikan tayarnya berada dalam julat yang dibenarkan. Dengan baki hanya tiga pusingan sebelum boleh dianggap ‘lulus’ dari segi tekanan tayar. Dia membuat keputusan berani – memperlahankan jentera dan membiarkan Alex mendahului untuk menggunakan udara panas dari ekzos jentera di hadapannya bagi meningkatkan tekanan tayarnya sendiri.

Taktik Genius atau Keperluan?
Marquez bukan sekadar memperlahankan motosikal dan membiarkan Alex pergi. Dia mengawal jarak dengan sangat strategik – tidak terlalu jauh, tetapi cukup untuk mendapatkan manfaat dari slipstream adiknya.
Malah, dia mengubah cara menunggang dengan melepaskan sedikit pendikit sebelum titik membrek, membolehkannya menekan brek dengan lebih kuat untuk meningkatkan suhu dan tekanan tayar depan.
Setelah tekanan tayarnya berada dalam julat yang dibenarkan, Marquez tidak membuang masa. Dengan hanya beberapa pusingan berbaki, dia kembali ke hadapan dan menunjukkan kelajuan sebenar, memintas Alex dengan mudah sebelum menamatkan perlumbaan dengan penuh dominasi.

Apa Kata Pesaingnya?
Alex Marquez pada mulanya keliru dengan tindakan abangnya – menyangka mungkin ada masalah mekanikal atau isyarat bendera merah yang menyebabkan Marc memperlahankan motosikalnya.
Namun, sebaik menyedari taktik itu, dia tahu bahawa kemenangan akan tetap menjadi milik Marc.
Sementara itu, juara dunia Francesco Bagnaia mengakui bahawa Marquez sebenarnya ‘bermain’ dengan pelumba lain sepanjang perlumbaan.
Menurutnya, Marquez jauh lebih pantas berbanding yang lain dan kemenangan sudah pun dalam genggamannya sejak awal.

Kesimpulan
Tindakan Marc Marquez di GP Thailand ini membuktikan betapa pintarnya dia dalam memahami peraturan dan menggunakannya untuk kelebihan sendiri.
Walaupun kelihatan seperti membantu adiknya, hakikatnya dia hanya mencari cara untuk mengelak penalti dan mengekalkan momentumnya dalam perlumbaan.
Keputusan ini bukan sahaja menunjukkan pengalaman dan kepakarannya, tetapi juga memberikan peringatan kepada pesaing bahawa Marquez masih pelumba yang sukar ditandingi.
Dari The Race
Baca Juga KTM 990 RC R – Gabungan MotoGP dan Jalanan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Lotus Kembali Hangatkan Landskap Automotif Dengan Pembukaan Lotus Store

Lotus Cars terus meneguhkan kehadirannya di Malaysia dengan langkah terbaru mereka, pembukaan rasmi Lotus Store pertama di Pavilion Damansara Heights. Langkah ini datang setelah kejayaan pelancaran SUV elektrik Lotus Eletre sepuluh bulan lalu, yang telah mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Sejak itu, 50 unit telah diserahkan kepada pembeli, dengan 200 unit lagi dalam proses penghantaran. Lotus Store ini membawa konsep seni bina terkini Lotus, mencerminkan imej korporat global mereka. Ia tidak hanya memamerkan model Eletre dan Emira, tetapi juga menawarkan barangan dan pakaian eksklusif dari Lotus, serta ruang santai dan rehat untuk pengunjung.
Tetapi yang paling menarik, Lotus Store ini menyediakan ruang khusus untuk Konfigurator Lotus, di mana pelanggan boleh menyesuaikan kenderaan mereka mengikut citarasa peribadi. Dari bahagian luaran hingga ke ciri-ciri keselamatan tambahan, Konfigurator Lotus membolehkan pelanggan menala setiap aspek kenderaan mereka.

Dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, Lotus Store ini terletak di tingkat 1, Lot 1.47.02 Pavilion Damansara Heights. Pembukaan Lotus Store ini juga merupakan mukadimah kepada pelancaran ruang pameran utama Lotus Cars Malaysia di Glenmarie, Shah Alam, yang dijangka akan siap pada suku kedua 2024.
Lotus Cars Malaysia juga merancang untuk memperluaskan kehadiran mereka di wilayah Utara dan Selatan, sambil menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan mudah alih untuk pelanggan mereka. Pengurus Besar Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal, menjelaskan bahawa langkah ini bukan sahaja untuk memastikan pemilik kenderaan Lotus sedia ada terus berpuas hati, tetapi juga untuk memperkenalkan identiti baru Lotus kepada pelanggan yang berpotensi.
“Kami memahami kepentingan membangunkan kenderaan premium tanpa mengabaikan keseronokan pemanduan yang menjadi intipati Lotus. Proses pengenalan semula ini penting bagi kami,” katanya.

Lotus Karz Sdn Bhd, yang merupakan pengimport, pengedar, dan pengendali perkhidmatan selepas jualan Lotus di Malaysia, adalah wakil sah jenama Lotus. Syarikat ini dimiliki sepenuhnya oleh KARRUS Automotive, sebuah syarikat yang terkenal dalam import kenderaan mewah baharu, terpakai, dan klasik.
Dengan pembukaan Lotus Store di Pavilion Damansara Heights dan pelancaran ruang pameran utama di Glenmarie, Lotus Cars Malaysia menjanjikan pengalaman yang lebih baik kepada para peminat kereta mewah di negara ini. Dengan inovasi terkini dan komitmen kepada kepuasan pelanggan, Lotus Cars terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran automotif Malaysia.
Baca: Lotus Emeya 2024. 5 Minit Pengecasan, 150km Jarak Perjalanan, 0-100km/j Hanya 2.8 Saat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





