Automotif

Porsche Selongkar Sejarah 356 SL 1952!

Share

Porsche Selongkar Sejarah 356 SL 1952, Jentera Yang Membuka Bab Awal Dunia Perlumbaan

Nama Porsche hari ini cukup sinonim dengan dunia perlumbaan, namun perjalanan panjang jenama dari Stuttgart itu mempunyai titik permulaan yang jauh lebih sederhana. Antara model yang memainkan peranan penting ialah Porsche 356 SL, jentera yang menjadi sebahagian daripada permulaan penglibatan Porsche dalam motorsport dengan sokongan kilang.

Pada 1951, 356 SL mencatat kemenangan kelas pertama Porsche di Le Mans, sekali gus meletakkan asas kepada legasi perlumbaan yang berkembang sehingga hari ini. Namun selepas lebih tujuh dekad, masih terdapat bahagian daripada sejarah awal model berkenaan yang belum diketahui sepenuhnya.

Terbaharu, Porsche Heritage and Museum menerusi episod baharu Raceborn Moments kembali menyelongkar sejarah sebuah Porsche 356 SL keluaran 1952 yang berada dalam koleksi syarikat.

Menariknya, kereta berkenaan tidak pernah meninggalkan pemilikan Porsche sejak ia dihasilkan. Walaupun begitu, sejarah dan identiti tepat jentera tersebut masih mempunyai beberapa persoalan yang perlu dirungkai menerusi dokumen serta rekod lama.

Porsche Newsroom

Bermula Dengan Projek “514”

Kisah 356 SL boleh dijejak kembali ke 1950 apabila Racing Director, Paul von Guilleaume mengemukakan idea kepada Ferry Porsche untuk menyertai perlumbaan antarabangsa.

Ketika itu, rancangan tersebut belum dapat dilaksanakan kerana pengeluaran Porsche di Stuttgart baru sahaja bermula dan kenderaan pertama yang dihasilkan sudah diperuntukkan kepada pengedar.

Bagi pembangunan 356 SL kemudian, Porsche menggunakan baki badan aluminium daripada era Gmünd. Sebahagian badan tersebut dihasilkan oleh Tatra di Vienna sebelum diubah suai di Stuttgart untuk kegunaan motorsport.

Dokumen dalaman Porsche merujuk usaha berkenaan sebagai Projek “514”. Walaupun nombor 514 pada asalnya merujuk kepada jenis enjin, ia turut digunakan dalam pelbagai rekod berkaitan keseluruhan projek 356 SL.

Baca Juga: Harley-Davidson Breakout Custom Bawa Jack NBC Raih Gelaran Creators Custom Clash 2026

Porsche Newsroom

Hanya Sembilan Unit Dihasilkan

Pada 1951, sebanyak lima unit Porsche 356 SL dibina. Setahun kemudian, empat lagi dihasilkan menggunakan empat badan aluminium tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan pengeluaran hanya sembilan unit.

Salah sebuah daripada model keluaran 1952 kekal bersama Porsche dan digunakan untuk aktiviti perlumbaan serta ujian selama beberapa tahun. Kereta inilah yang kini berada dalam koleksi syarikat dan menjadi fokus penyelidikan terbaharu Porsche Heritage and Museum.

Namun, hakikat bahawa kereta tersebut sentiasa berada dalam pemilikan Porsche tidak bermakna identitinya mudah dikenal pasti.

Arkib lama menggunakan beberapa sistem penomboran termasuk nombor casis serta nombor badan daripada proses pengeluaran Tatra di Vienna. Nombor badan tersebut menjadi antara petunjuk penting untuk menjejaki setiap kereta melalui pelbagai dokumen lama.

Porsche Newsroom

Membina Semula Sejarah Melalui Arkib

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, Porsche meneliti pelbagai bahan termasuk buku nota jurutera perlumbaan Wilhelm Hild yang merekodkan kenderaan serta aktiviti perlumbaan, rekod kewangan, dokumen pendaftaran motorsport dan catatan Karl Rabe, antara jurutera awal Porsche yang memainkan peranan penting dalam pembangunan 356.

Pasukan arkib turut membandingkan dokumen, gambar serta hasil penyelidikan pakar luar dengan bahan rujukan sedia ada dan sumber milik persendirian. Kaedah ini membolehkan identiti sesebuah 356 SL dikenal pasti dengan lebih tepat berdasarkan bukti yang saling berkaitan.

Menurut Porsche, episod Raceborn Moments tersebut bukan sekadar menceritakan sejarah sebuah kereta, malah menunjukkan bagaimana Porsche Heritage and Museum menggunakan arkib korporat untuk membina semula sejarah kenderaan berdasarkan dokumen, gambar dan rekod yang masih tersimpan.

Porsche Newsroom

Enam Porsche 356 SL Masih Diketahui Wujud

Daripada sembilan unit 356 SL yang pernah dihasilkan, enam diketahui masih wujud sehingga hari ini. Tiga berada di Amerika Syarikat, manakala masing-masing sebuah berada di Mexico dan Belgium.

Sebuah lagi ialah 356 SL keluaran 1952 yang kekal dalam koleksi Porsche. Ia juga merupakan satu-satunya daripada sembilan unit asal yang kekal berada di bawah pemilikan syarikat secara berterusan sejak dihasilkan.

Biarpun kelihatan seperti satu lagi model klasik dalam koleksi Porsche, 356 SL membawa nilai sejarah yang jauh lebih besar. Ia menjadi saksi kepada era ketika perjalanan Porsche dalam dunia motorsport baru bermula, sebelum jenama itu membina rekod perlumbaan yang dikenali di seluruh dunia hari ini.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Zack Danny