Automotif

Dua Nissan Z Kutip Mata di SUGO!

Share

Dua Nissan Z Kutip Mata di SUGO, #24 Realize Corporation Z Bangkit Dari Belakang

Pusingan keenam siri SUPER GT 2026 di Sportsland SUGO menyaksikan Nissan membawa pulang mata menerusi dua jentera Nissan Z NISMO GT500 selepas perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan tidak menentu.

Perlumbaan kali ini dipengaruhi perubahan cuaca, beberapa fasa Safety Car serta pertarungan sengit pada penghujung perlumbaan. Jentera #24 Realize Corporation Z yang dipandu Teppei Natori dan Atsushi Miyake mencatat kebangkitan apabila bermula dari belakang grid sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Sementara itu, #23 MOTUL Niterra Z bersama Mitsunori Takaboshi dan Daiki Sasaki menamatkan saingan di kedudukan kelapan.

Daiki Sasaki diturunkan sebagai pemandu simpanan selepas Katsumasa Chiyo mengalami kecederaan di litar pada Jumaat. Dalam masa sama, #12 TRS IMPUL with SDG Z yang dipandu Kazuki Hiramine dan Bertrand Baguette turut berada dalam kelompok memburu podium sebelum masalah gearbox memaksa mereka menarik diri.

NISSAN Global Newsroom

Perlumbaan Bermula Dalam Keadaan Trek Lembap

Hari perlumbaan pada 20 September bermula dengan cuaca tidak menentu susulan taufan yang menghampiri kawasan berkenaan. Hujan berselang-seli menyebabkan sebahagian permukaan litar kekal lembap, sekali gus menyaksikan perlumbaan dimulakan di belakang Safety Car.

Selepas empat pusingan, perlumbaan sebenar bermula dan Bertrand Baguette pantas membawa #12 Z naik ke tempat ketujuh menjelang pusingan ke-17.

Kemunculan Safety Car kedua pada pusingan ke-26 merapatkan semula kelompok pelumba dan membuka ruang kepada strategi pit stop. #12 dan #24 memasuki pit pada pusingan ke-32 untuk pertukaran pemandu, bahan api dan tayar, manakala #23 melakukan perkara sama satu pusingan kemudian.

Selepas kitaran pit stop selesai, Kazuki Hiramine berada di tempat keempat dan mula memberikan tekanan untuk kedudukan podium. Namun, harapan #12 Z berakhir pada pusingan ke-57 selepas mengalami masalah gearbox.

Baca Juga: Nissan PIXO Diperkenalkan, EV Bandar Kompak!

NISSAN Global Newsroom

Nissan Raih Mata Berganda Dalam GT500

Selepas 84 pusingan, #24 Realize Corporation Z akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, manakala #23 MOTUL Niterra Z menduduki tempat kelapan.

Keputusan itu membolehkan kedua-dua Nissan Z NISMO GT500 mengutip mata kejuaraan meskipun berdepan sesi kelayakan yang sukar. Nissan dan NISMO kini memberi tumpuan kepada pusingan seterusnya di Autopolis dengan tiga pusingan masih berbaki dalam kejuaraan 2026.

GT300: #56 GT-R Naik Dari P19 Ke Podium

Aksi lebih memberangsangkan turut dicatat dalam kelas GT300 menerusi #56 Realize Nissan Mechanic Challenge GT-R yang dipandu Joao Paulo de Oliveira dan Iori Kimura.

Bermula dari tempat ke-19, pasangan itu menggunakan strategi tanpa pertukaran tayar untuk melonjak ke kedudukan kedua walaupun membawa success weight

sebanyak 98 kg.

Podium tersebut membolehkan pasukan #56 melebarkan pendahuluan kejuaraan kepada 21 mata. Sementara itu, #11 GAINER TANAX Z yang dipandu Ryuichiro Tomita dan Kazuki Oki turut mengutip mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Secara keseluruhan, perlumbaan SUGO mungkin tidak memberikan kemenangan kepada Nissan, namun kebangkitan #24 Z dari belakang grid serta podium GT300 memastikan jenama itu kekal membawa pulang keputusan penting ketika musim 2026 memasuki fasa akhirnya.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Zack Danny