Automotif

Hampir 100,000 Tiket F1 GP Bahrain Di Sepang Sudah Terjual

Share

F1 GP Bahrain : Hampir 100,000 Tiket Sudah Terjual

Sambutan terhadap Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ternyata luar biasa apabila hampir 100,000 tiket dilaporkan sudah terjual menjelang perlumbaan hujung minggu ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif, angka berkenaan merupakan rekod jualan tiket tertinggi pernah dicatatkan sepanjang sejarah penganjuran perlumbaan di SIC.

Hanya sekitar 3,000 tiket masih berbaki

Daripada keseluruhan kapasiti yang disediakan, hanya kira-kira 3,000 tiket masih belum terjual melibatkan tempat duduk grandstand

dan hillstand.

Baki tiket berkenaan masih boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman rasmi Bahrain GP.

Azhan Shafriman berkata jumlah jualan kali ini merupakan sesuatu yang belum pernah dicapai SIC sepanjang sejarah penganjuran acara Formula 1 di Sepang.

SIC sudah 100 peratus bersedia

Dalam perkembangan sama, tahap kesiapsiagaan SIC kini dilaporkan sudah mencapai 100 peratus dengan hampir keseluruhan kargo logistik bagi perlumbaan berkenaan telah tiba.

Apa yang lebih mencabar, pihak SIC hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan untuk membuat persiapan bagi perlumbaan kali ini.

Tempoh tersebut jauh lebih singkat berbanding sekitar enam hingga tujuh bulan yang biasanya diperlukan bagi persediaan penganjuran perlumbaan Formula 1 sebelum ini.

Selain aspek operasi dan logistik, keadaan jerebu di sekitar Sepang turut menjadi antara perkara yang dipantau menjelang perlumbaan.

SIC kini bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memantau kualiti udara dan keadaan semasa.

Operasi pembenihan awan turut dilaksanakan di sekitar kawasan SIC bagi menggalakkan hujan sekali gus membantu mengurangkan tahap jerebu.

Menurut Azhan Shafriman, Formula 1 mempunyai nilai ambang tertentu berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang boleh digunakan dalam menentukan sama ada perlumbaan perlu ditangguhkan atau dibatalkan sekiranya keadaan tidak selamat.

Formula 1 kembali ke Sepang

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dari Jumaat hingga Ahad ini hasil persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perlumbaan GP Bahrain sebelum ini dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat sebelum ia dipindahkan ke Sepang bagi memastikan perlumbaan berkenaan kekal dalam kalendar F1 musim 2026.

Sepang mempunyai sejarah panjang bersama Formula 1 apabila pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 sehingga 2017.

Sambutan hampir 100,000 penonton kali ini menunjukkan minat terhadap Formula 1 di Malaysia masih berada pada tahap tinggi, walaupun hampir sedekad sudah berlalu sejak perlumbaan F1 terakhir berlangsung di Sepang.

Sumber: Bernama / Astro AWANI

Baca Juga : F1 GP Bahrain: Motosikal Orang Awam Tidak Dibenarkan Masuk SIC

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi