Automotif

Honda City Hatchback Baharu Dibuka Untuk Tempahan

Share

Honda City Hatchback Baharu Dibuka Untuk Tempahan, Kini Lebih Sporty dan Lengkap Dengan Kamera 360 Darjah

Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi City Hatchback baharu bermula 1 Oktober 2026, menyusuli pelancaran City Sedan yang diperkenalkan baru-baru ini. Model hatchback segmen-B itu menerima beberapa kemas kini melibatkan reka bentuk, sistem ketersambungan dan teknologi keselamatan.

Honda Malaysia terus memperkukuh barisan keluarga City dengan membuka tempahan bagi Honda City Hatchback baharu, sebelum model berkenaan dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan.

Kemas kini kali ini memberi penekanan kepada gaya lebih sporty dan moden, selain penambahan beberapa ciri yang menjadikan City Hatchback lebih lengkap untuk kegunaan harian.

Honda City Hatchback Baharu :Penampilan Lebih Tajam dan Sporty

Antara perubahan paling ketara adalah pada bahagian hadapan yang kini menerima reka bentuk lebih tajam dan kemas untuk semua varian.

Ia turut dilengkapi Connected Headlights baharu, sekali gus memberikan identiti visual yang lebih moden kepada City Hatchback.

Bagi varian RS pula, penampilannya dipertingkatkan menerusi rim aloi dua tona bersaiz 16 inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear.

Walaupun Honda Malaysia masih belum mendedahkan keseluruhan spesifikasi model ini, perubahan tersebut memberi gambaran bahawa City Hatchback baharu akan membawa reka bentuk yang hampir sama dengan City Sedan terkini.

Skrin 10 Inci Baharu, Kabin Lebih Moden

Bahagian dalaman turut menerima beberapa perubahan.

Papan pemuka kini menampilkan 3D Pattern Mid Garnish dengan Ambient Light, yang memberikan suasana kabin lebih moden terutama pada waktu malam.

Sistem infotainmen pula dinaik taraf kepada Display Audio bersaiz 10 inci dengan reka bentuk terapung, menawarkan paparan lebih besar serta akses yang lebih mudah kepada fungsi multimedia dan ketersambungan.

City Hatchback masih mengekalkan antara ciri paling sinonim dengan model berkenaan iaitu ULTRA Seats.

ULTRA merupakan singkatan kepada Utility, Long, Tall dan Refresh, dengan empat konfigurasi tempat duduk yang membolehkan ruang kabin disusun mengikut jenis barangan atau keperluan pengguna.

Ciri itu menjadi antara kelebihan utama City Hatchback kerana menawarkan fleksibiliti ruang yang jarang ditemui dalam segmen hatchback kompak.

Varian e Kekal Dengan 253 Nm

Untuk pilihan tertinggi, Honda City Hatchback baharu masih ditawarkan dengan sistem hibrid 1.5L e.

Sistem itu menghasilkan 109 PS

dengan tork maksimum 253 Nm, angka tork yang tinggi untuk sebuah hatchback dalam kelasnya.

Honda Malaysia turut menawarkan waranti bateri dan komponen hibrid sehingga 10 tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat waranti Honda.

Langkah itu dibuat bagi memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pelanggan terhadap ketahanan sistem hibrid Honda untuk pemilikan jangka panjang.

Kamera 360 Darjah, Blind Spot dan Cross Traffic Monitoring

Aspek keselamatan turut menerima perhatian besar menerusi penambahan beberapa teknologi bantuan pemanduan.

City Hatchback baharu kini dilengkapi 360° Multi-View Camera System, yang memberikan pandangan sekeliling kenderaan untuk membantu pemandu ketika meletakkan kereta atau bergerak dalam ruang sempit.

Ia turut menerima Blind Spot Information bagi membantu mengesan kenderaan yang berada di kawasan titik buta.

Satu lagi ciri yang diperkenalkan ialah Cross Traffic Monitoring, yang membantu mengesan kenderaan yang menghampiri dari arah sisi ketika pemandu mengundurkan kereta.

Gabungan ciri tersebut menjadikan City Hatchback baharu lebih lengkap dari segi keselamatan aktif dan bantuan pemanduan.

Waranti Sehingga 8 Tahun Tanpa Had Perbatuan

Selain kemas kini pada kenderaan, pelanggan turut menikmati pakej waranti terbaharu Honda Malaysia.

Berkuat kuasa sejak 1 September 2026, pelanggan yang membeli model Honda baharu sama ada petrol atau hibrid layak menerima waranti sehingga lapan tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Pakej ini memberikan perlindungan pemilikan lebih panjang berbanding sebelum ini dan merangkumi rangkaian model baharu Honda Malaysia.

Harga Akan Diumumkan Ketika Pelancaran

Buat masa ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan harga rasmi, senarai penuh varian atau keseluruhan spesifikasi City Hatchback baharu.

Maklumat lengkap dijangka diumumkan ketika pelancaran rasmi model tersebut tidak lama lagi.

Pelanggan yang berminat sudah boleh membuat tempahan menerusi platform pra-tempahan Honda Malaysia atau mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara.

Dengan reka bentuk yang dikemas kini, skrin infotainmen lebih besar, sistem kamera 360 darjah serta penambahan Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitoring, City Hatchback baharu kini tampil sebagai pilihan yang lebih lengkap dalam pasaran hatchback segmen-B tempatan.

Baca Juga : 8 Tahun “Warranty” & “Unlimited Mileage”, Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi