Ads

Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 Juara Keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap 2026

Faidzil Alang, Nurazmi dan Ariff Hanafiah Juara MSF Merdeka 111-Lap 2026

Pelumba berpengalaman, Faidzil Alang, sekali lagi muncul juara keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap Race 2026 di PETRONAS Sepang International Circuit, sekali gus mencatat kemenangan dua tahun berturut-turut dalam perlumbaan endurance berprestij itu. Faidzil mula di petak pertama dan mencatat masa terpantas perlumbaan, 2 minit 27.462 saat.

Bersama dua lagi pelumba, Muhamad Nurazmi dan Ariff Hanafiah, trio berkenaan mengemudi jentera #148 Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 untuk melengkapkan kesemua 111 pusingan di litar sepanjang 5.534 kilometer itu.

Mereka bukan sahaja muncul juara keseluruhan, malah turut menjuarai kategori Super Series Limited.

Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 Juara Keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap 2026

Papaya Autohaus berjaya menamatkan perlumbaan hampir 30 minit lebih awal daripada tempoh maksimum perlumbaan yang dijadualkan.

Tempat kedua keseluruhan pula menjadi milik gandingan Syahrizal Jamaluddin dan Muhammad Hasif yang memandu Toyota GR Yaris, ketinggalan 1 minit 44.184 saat di belakang pemenang.

Sementara itu, trio Kenny Lee, Loke Yin Yi dan Daniel Storkensen daripada Kegani Racing Academy menamatkan perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan menggunakan Toyota Levin. Mereka turut muncul juara kategori Super Compatto.

Menurut Faidzil, kemenangan berkenaan merupakan hasil kerjasama seluruh pasukan serta pengalaman panjang mereka bersama Mercedes-Benz A45.

Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 Juara Keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap 2026

“Kemenangan ini adalah hasil usaha berpasukan. Kami sudah lama berlumba menggunakan A45 dan selepas memperoleh beberapa keputusan yang baik sebelum ini, kami mempunyai data mencukupi untuk mendapatkan talaan kereta yang tepat.

“Kami melakukan empat hentian pit sepanjang perlumbaan. Disebabkan kami tahu perlu melakukan lebih banyak hentian berbanding beberapa pasukan lain, fokus kami hanyalah untuk mengekalkan rentak yang kompetitif dan konsisten,” katanya.

Tambah Faidzil, aspek disiplin turut memainkan peranan penting dalam memastikan jentera mampu bertahan sehingga ke garisan penamat.

“Kami agak yakin kereta ini mampu membawa kami hingga ke garisan penamat, tetapi untuk melakukannya, ketiga-tiga pemandu perlu berdisiplin, memandu dengan berhati-hati dan menjaga kereta.

“Memang satu perasaan yang sangat baik apabila dapat kembali ke podium tertinggi dan memenangi perlumbaan keseluruhan buat kali kedua,” katanya.

Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 Juara Keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap 2026

Kegani Bangkit Selepas Hilang 11 Minit

Bagi Kegani Racing Academy, kejayaan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga keseluruhan dan memenangi kelas Super Compatto menjadi pencapaian lebih bermakna selepas pasukan itu berdepan masalah teknikal di pertengahan perlumbaan.

Ads

Pasukan berkenaan pernah jatuh sehingga kedudukan kelima selepas kehilangan kira-kira 11 minit bagi menggantikan hos klac yang rosak.

Ketua pasukan yang juga pelumba utama, Kenny Lee berkata, MSF Merdeka Race sentiasa menjadi acara istimewa buat pasukannya.

Kegani memilih strategi memaksimumkan tempoh pemanduan di atas litar dengan hanya melakukan tiga hentian pit.

Namun ketika berada dalam kedudukan selesa, masalah hos klac memaksa pasukan melakukan pembaikan kecemasan.

“Krew mengambil masa 11 minit untuk membawa kami kembali ke trek dan selepas itu saya terus meningkatkan rentak. Kami akhirnya kembali merampas pendahuluan kelas ketika berbaki lapan pusingan,” ujar Kenny.

Hampir 200 Jentera Sertai Edisi Kesembilan

Edisi 2026 merupakan penganjuran kali kesembilan MSF Merdeka 111-Lap Race, acara yang secara tradisinya dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Hampir 200 jentera dan 300 peserta mengambil bahagian dalam keseluruhan acara yang melibatkan perlumbaan empat roda menerusi MSF SuperTurismo serta dua roda dalam MotoMSF.

Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 Juara Keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap 2026

Sebanyak 63 kereta mengambil tempat di grid utama MSF Merdeka 111-Lap Race yang dibahagikan kepada lapan kelas iaitu Super Series Limited, EXN GT86 x BRZ Racing Cup, Super Compatto, Standard Production, Standard Production MAX, Super Production, SWX dan K-Series Battle.

Selain perlumbaan 111 pusingan, sebanyak 61 kereta turut menyertai Merdeka 75 Cup, perlumbaan endurance selama 75 minit yang merangkumi kategori Saga Cup, MyVi Cup, CamPro Cup dan Tuner Production.

Ads

Sebanyak 13 kereta pula mengambil bahagian dalam Skilldrvn One Make Race Series.

Dhiraj Tan, Sankaran Shamugam Menang MotoMSF 33-Lap

Saingan dua roda menyaksikan Dhiraj Tan dan Sankaran Shamugam muncul juara keseluruhan MotoMSF Merdeka 33-Lap Endurance Race.

Mereka menamatkan perlumbaan dalam keadaan cuaca panas dengan kelebihan lebih seminit di hadapan pencabar terdekat.

Menariknya, kemenangan tersebut diraih menggunakan jentera Supersport 600cc, sekali gus membuktikan kepentingan strategi, perancangan serta kerja berpasukan dalam perlumbaan endurance motosikal.

Juara tahun lalu, Mohd Fahmi Abdul Wahaf, yang kali ini bergandingan bersama Mohd Radzi Omar menggunakan jentera Ducati, menamatkan saingan di tempat kedua, ketinggalan 1 minit 08 saat.

Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik Ng Wei Shyang dan Ke Huanni yang masing-masing menunggang Honda CBR600RR.

Perlumbaan itu turut menyaksikan penyertaan bekas pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup dan CEV Moto3, Amirul Hafiq Azmi, yang kembali berlumba selepas memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan.

MSF Mahu Terus Jadi Platform Bakat Baharu

Prinsipal MSF, Adian Yein Khalid, berkata penganjuran tahun ini sekali lagi mendapat sokongan kukuh daripada pasukan, pelumba, rakan kerjasama dan penaja.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan, pelumba, rakan kerjasama dan penaja yang terus menjadikan acara ini antara perlumbaan paling dinantikan setiap tahun.

Ads

“MSF Merdeka 111-Lap Race merupakan salah satu tunjang utama perlumbaan akar umbi di Malaysia. Tahun ini acara ini berjaya menarik lebih ramai pelumba serantau dan antarabangsa.

“Melangkah ke hadapan, kami percaya ia juga mampu menjadi platform kukuh untuk menguji dan melahirkan bakat baharu,” katanya.

MSF Merdeka Race dianjurkan oleh Kelab Sukan Motor MSF Malaysia, sebuah kelab rasmi berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan ahli gabungan Motorsports Association of Malaysia (MAM).

MSF

Keputusan MSF Merdeka 111-Lap Race 2026

Keseluruhan

  1. Faidzil Alang / Muhamad Nurazmi / Ariff Hanafiah
  2. Syahrizal Jamaluddin / Muhammad Hasif
  3. Kenny Lee / Loke Yin Yi / Daniel Storkensen

Super Series Limited

  1. Faidzil Alang / Muhamad Nurazmi / Ariff Hanafiah
  2. Syahrizal Jamaluddin / Muhammad Hasif
  3. Lim Chi Hong / Mohd Faisal Naim

EXN GT86 x BRZ Racing Cup

  1. Daniel Harris Jaeggi / Lew Xuan Yan
  2. Ethan Ong / Pepito S. Lo / Andre Makkina Tan
  3. Chang Choon Ming / Tan Eng Ping / Tan Hong Xin

Super Compatto

  1. Kenny Lee / Loke Yin Yi / Daniel Storkensen
  2. Foo Yung Chieh / Freddie Ang
  3. Lim Ee Cheok / Ng Wui Leng

Standard Production

  1. Lim Jian Hong / Lim Zheng Chuen / Xie Boyu Jonathan
  2. Soh Chee Siang / Lee Chee Wan / Lester Lian
  3. Luke Anton Netto / Mark Gerard Netto / Richard Mark Waller

Standard Production MAX

  1. Khair Nur Adi / Khair Nur Adli / Mohamad Anaqi
  2. Chang Tze Seng / Tay Jin Yang
  3. Marcus Ong Jin Yeong / Ong Gee Yeong

Super Production

  1. Soon Chew Poh / Ling Guang You / Wong Mun Seong
  2. Justin Yap / Alvin Toh / David Kang / Ong Jin Long
  3. Brandon Choong / Wong Kok Yong / Kang Chin Wan

K-Series Battle

  1. Dante Clement / Joshua Thiran / Ng Zhang Jack
  2. Nah Jie Ying / Carmina Wong / Lim Jun Cheng
  3. William Yong / Mohd Faizal Naim / Wan Fadli Shah

SWX

  1. Kendrew Wong / Calix Yip
  2. Tham Li Ming / Teo Zhengyi / Mohd Irwan / David
  3. Shawn Tan / Ji Min Lin / B. Kishen

Keputusan MotoMSF Merdeka 33-Lap Endurance

  1. Dhiraj Tan / Sankaran Shamugam
  2. Mohd Fahmi Abdul Wahaf / Mohd Radzi Omar
  3. Ng Wei Shyang / Ke Huanni

Baca Juga : Kenapa Brek Cakera Motosikal Mempunyai Lubang?

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok. 

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

Mitsubishi Pajero Generasi Baharu Kembali

Mitsubishi Pajero 2027 Kembali, Kini Berasaskan Triton Dengan Enjin Diesel 2.4 Liter Mitsubishi akhirnya membuka tirai generasi kelima Pajero, menandakan kepulangan semula model ikonik itu...