Automotif

Fairlady Z NISMO Baharu Tampil Dengan Transmisi Manual 6-Kelajuan dan Brek GT-R

Share

Nissan Fairlady Z Baharu Dilancar, Versi NISMO Kini Ditawarkan Dengan Transmisi Manual 6-Kelajuan

Nissan memperkenalkan Fairlady Z versi terkini untuk pasaran Jepun, bersama varian berprestasi tinggi Fairlady Z NISMO yang menerima beberapa perubahan besar daripada aspek rekaan dan casis.

Paling menarik perhatian ialah keputusan Nissan menawarkan transmisi manual enam kelajuan pada Fairlady Z NISMO, sesuatu yang sememangnya dinantikan peminat model ini.

Walaupun tidak menerima perubahan menyeluruh, Nissan memberikan beberapa sentuhan baharu pada bahagian luar Fairlady Z.

Antaranya ialah kemunculan semula lencana Z pada bahagian hadapan, sebagai simbolik kepada generasi terdahulu seperti S30 hingga Z32.

Bampar hadapan turut direka semula dengan bahagian muncung yang sedikit dipanjangkan bagi menyerlahkan lagi bentuk klasik long-hood, short-deck yang menjadi identiti model Z sejak dahulu.

Pada masa sama, kedudukan saluran udara dan sensor turut disusun semula bagi membantu mengurangkan daya angkat bahagian hadapan serta memperbaiki rintangan aerodinamik.

Rekaan rim baharu pula mengambil inspirasi daripada rim jenis aero-disc pada generasi ketiga Z31. Ia menggunakan binaan forged aluminium yang ringan tetapi mempunyai tahap rigidity tinggi.

Warna Baharu Inspirasi Fairlady Z Klasik

Nissan turut memperkenalkan warna baharu Unryu Green / Super Black two-tone, yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada generasi S30.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 pilihan warna ditawarkan, terdiri daripada lima pilihan two-tone dan lima warna monotone.

Bahagian kabin turut menerima pilihan warna tan baharu yang sekali lagi mengambil inspirasi daripada Fairlady Z S30.

Baca Juga: MSF Merdeka Race 2026 Bawa Cabaran 111 Pusingan Sejauh 615 KM

Suspensi Lebih Selesa dan Stabil

Aspek pemanduan turut diberi perhatian menerusi penggunaan large-diameter monotube shock absorber baharu.

Menurut Nissan, luas permukaan tekanan pada damper meningkat sebanyak 26.6 peratus berbanding model terdahulu.

Perubahan ini membolehkan sistem suspensi mengawal pergerakan badan dengan lebih baik ketika melalui permukaan jalan tidak rata, sekali gus menghasilkan pemanduan yang lebih stabil terutama pada kelajuan tinggi.

Panel meter digital bersaiz 12.3 inci pula kini menerima animasi pembukaan baharu yang memaparkan siluet setiap generasi Z bermula daripada S30 sehingga RZ34.

Fairlady Z NISMO Akhirnya Dapat Gearbox Manual

Berita paling menarik sudah tentu datang daripada Fairlady Z NISMO.

Nissan kini menawarkan transmisi manual enam kelajuan short-throw yang dibangunkan khusus untuk memberikan pertukaran gear lebih pantas dan terus.

Throttle response serta ignition timing turut ditala secara khusus untuk versi manual supaya tindak balas enjin menjadi lebih linear sebaik sahaja pedal pendikit ditekan.

Dua mod pemanduan disediakan iaitu Standard dan Sport.

Standard lebih sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh, manakala Sport menawarkan tindak balas accelerator lebih agresif bersama bunyi enjin yang lebih ketara pada rpm tinggi.

Sistem Vehicle Dynamics Control turut menerima mod khas NISMO Traction, yang ditala untuk memberikan tindak balas lebih tepat terhadap input steering dan accelerator.

Brek GT-R Turut Digunakan

Peningkatan Fairlady Z NISMO bukan sekadar tertumpu pada transmisi.

Bahagian brek hadapan kini menggunakan two-piece drilled rotor yang pernah digunakan pada Nissan GT-R.

Rekaan tersebut membantu meningkatkan pelepasan haba ketika membrek, selain mengurangkan unsprung weight.

Suspensi turut ditala semula bagi menyesuaikan karakter casis dengan pengurangan berat berkenaan, sekali gus meningkatkan road-holding serta tindak balas ketika memasuki selekoh.

Nissan turut menggunakan steering rack dengan tahap geseran lebih rendah bagi menghasilkan pergerakan stereng yang lebih lancar dan tepat.

Untuk membezakannya daripada model biasa, NISMO ditawarkan dengan pilihan warna eksklusif NISMO Stealth Gray / Super Black, selain kabin yang menggunakan kombinasi kemasan kulit dan Alcantara.

Pengecas Qi2 dan Sistem Keselamatan Dipertingkatkan

Kedua-dua Fairlady Z dan Fairlady Z NISMO kini menerima wireless charger yang menyokong standard Qi2

.

Sistem magnet digunakan untuk memastikan telefon kekal pada kedudukannya ketika kereta bergerak, manakala kipas penyejuk terbina dalam membantu memastikan prestasi pengecasan kekal stabil.

Tangki bahan api juga menerima ruang tambahan bagi memastikan bekalan petrol lebih konsisten ketika kereta melalui selekoh dengan daya lateral tinggi.

Sistem emergency braking turut dipertingkatkan dengan keupayaan pengesanan penunggang basikal.

Dengan pembaharuan kali ini, Nissan jelas tidak cuba mengubah karakter asas Fairlady Z secara drastik. Sebaliknya, pengeluar dari Jepun itu memilih untuk memperhalusi aspek yang penting kepada sebuah sports car iaitu respons, kawalan dan hubungan antara kereta dengan pemandu.

Dan untuk peminat pemanduan tiga pedal, kehadiran transmisi manual pada Fairlady Z NISMO mungkin menjadi pembaharuan paling menarik untuk model Z kali ini.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Izzat Danial A Shabri