Automotif

Yamaha YZF-R2 Dilancar di India, Spesifikasi Dia Memang Padu!

Share

Yamaha YZF-R2 Rasmi Dilancarkan di India, Enjin 204 cc Jana 26.5 PS

Yamaha secara rasmi memperkenalkan YZF-R2 untuk pasaran India, sekali gus menambah pilihan baharu dalam keluarga motosikal sport jenama berkenaan.

Model yang dihasilkan di India itu hadir dengan enjin baharu berkapasiti 204 cc, selain membawa beberapa kelengkapan elektronik dan komponen yang agak lengkap dalam segmennya termasuk quick shifter dua hala, kawalan traksi, tiga mod tunggangan, fork USD serta paparan TFT berwarna bersaiz 5 inci.

Untuk pasaran India, Yamaha YZF-R2 ditawarkan pada harga ₹253,000.

Yamaha YZF-R2 Hadir dengan Enjin 204 cc, 26.5 PS

Yamaha YZF-R2 dikuasakan enjin 204 cc, empat lejang, DOHC dan empat injap dengan sistem penyejukan cecair serta suntikan bahan api.

Enjin berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 26.5 PS atau 19.5 kW pada 10,000 rpm, manakala tork maksimum pula ialah 19.1 Nm pada 8,000 rpm serta kuasa dihantar menerusi transmisi manual enam kelajuan.

Antara teknologi penting pada YZF-R2 ialah penggunaan Electronically Controlled Throttle Body atau sistem pendikit yang dikawal secara elektronik.

Menurut Yamaha, sistem berkenaan direka untuk memberikan kawalan pendikit yang lebih tepat termasuk meningkatkan kebolehgunaan enjin pada putaran rendah, mengekalkan tarikan pada putaran lebih tinggi serta memberikan rasa brek enjin yang lebih semula jadi.

Penggunaan sistem pendikit elektronik juga membolehkan Yamaha menawarkan beberapa fungsi bantuan penunggang yang lebih canggih pada model berkenaan.

Yamaha YZF-R2 Mmempunyai Tiga Mod Tunggangan

YZF-R2 menyediakan tiga mod tunggangan yang boleh dipilih mengikut keadaan dan gaya tunggangan.

Ia terdiri daripada:

  • Street
  • Sport
  • Rain

Setiap mod membolehkan karakter tindak balas enjin dan sistem bantuan elektronik disesuaikan mengikut keadaan tunggangan.

Mod Street direka sebagai tetapan penggunaan biasa, manakala Sport menawarkan karakter yang lebih sesuai untuk tunggangan lebih agresif.

Rain pula disediakan untuk keadaan permukaan jalan yang mempunyai tahap cengkaman lebih rendah seperti ketika hujan.

Traction Control Sebagai Kelengkapan Standard

Satu lagi ciri elektronik yang disediakan ialah Traction Control System atau TCS.

Sistem ini berfungsi membantu mengurangkan kemungkinan tayar kehilangan cengkaman ketika kuasa disalurkan ke roda.

Ia merupakan antara ciri yang meningkatkan tahap kawalan motosikal khususnya ketika penunggang berdepan keadaan permukaan jalan yang berubah-ubah.

Quick Shifter Naik dan Turun Gear

Antara ciri yang menjadi tarikan utama YZF-R2 ialah Up and Down Quick Shifter.

Sistem tersebut membolehkan proses menaikkan dan menurunkan gear dilakukan dengan lebih pantas serrta Yamaha turut menyifatkan quick shifter dua hala berkenaan sebagai ciri pertama seumpamanya dalam segmen YZF-R2.

Kehadiran sistem ini memberikan YZF-R2 karakter yang lebih hampir kepada sebuah motosikal sport berprestasi tinggi, terutamanya ketika digunakan dalam tunggangan lebih agresif.

Assist & Slipper Clutch

Selain quick shifter, Yamaha turut melengkapkan YZF-R2 dengan sistem Assist & Slipper Clutch.

Fungsi assist membantu mengurangkan daya yang diperlukan ketika mengendalikan tuil klac.

Fungsi slipper pula membantu mengurangkan kemungkinan roda belakang melompat atau hilang kestabilan ketika penunggang melakukan penurunan gear secara agresif.

Gabungan kedua-dua teknologi tersebut bertujuan meningkatkan tahap kawalan selain memberikan operasi pertukaran gear yang lebih lancar.

Tuned Induction Sound

Yamaha turut memberikan perhatian terhadap aspek pengalaman tunggangan menerusi ciri Tuned Induction Sound.

Sistem itu direka supaya bunyi kemasukan udara enjin dapat didengar dengan lebih jelas ketika pendikit dibuka.

Pendekatan berkenaan memberikan karakter bunyi yang lebih tersendiri kepada YZF-R2, terutama ketika enjin diperah pada putaran lebih tinggi.

Bagi struktur utama, YZF-R2 menggunakan Steel Tube Diamond Frame.

Yamaha membangunkan rangka keluli berkenaan untuk mencapai keseimbangan, kestabilan serta kelincahan ketika motosikal dikendalikan.

Dalam helaian spesifikasinya, Yamaha menyenaraikan jenis rangka sebagai Backbone (Steel Tube Diamond Frame).

Fork USD 37 mm

Bahagian hadapan YZF-R2 menggunakan sistem suspensi jenis Telescopic Upside Down Fork atau USD Fork.

Diameter tiub dalaman fork tersebut ialah 37 mm

.

Penggunaan fork USD direka untuk memberikan kombinasi kestabilan, kawalan serta tindak balas yang baik ketika motosikal melalui selekoh atau membrek.

Di belakang pula, Yamaha menggunakan sistem suspensi Linked-Type Monocross.

Gabungan fork USD di hadapan dan Monocross di belakang meletakkan YZF-R2 sebagai sebuah motosikal sport yang bukan sekadar bergantung kepada penampilan, tetapi turut diberikan perhatian dari sudut pengendalian.

Sistem brek YZF-R2 terdiri daripada cakera hadapan berdiameter 282 mm, manakala roda belakang menggunakan cakera 220 mm.

Ia turut dilengkapi sistem ABS dua saluran.

Sistem tersebut mengawal kedua-dua roda bagi membantu mengurangkan risiko roda terkunci ketika brek digunakan dengan kuat atau ketika permukaan jalan mempunyai tahap cengkaman rendah.

YZF-R2 menggunakan tayar hadapan bersaiz 100/80-17M/C 52S jenis tanpa tiub.

Bahagian belakang pula dipadankan dengan tayar lebih lebar bersaiz 140/70R17M/C 66H, juga daripada jenis tanpa tiub.

Saiz tayar tersebut dipadankan dengan karakter YZF-R2 sebagai sebuah motosikal sport ringan yang memberi tumpuan terhadap keseimbangan antara kestabilan dan kelincahan.

Berat Serendah 149 kg

Satu lagi angka yang menarik pada YZF-R2 ialah beratnya.

Yamaha menyenaraikan berat motosikal ini pada sekitar 149 kg hingga 150 kg, bergantung kepada versi.

Berdasarkan maklumat yang diberikan Yamaha, angka 150 kg melibatkan varian R2M dan R2 QS.

Yamaha turut mendakwa YZF-R2 sebagai antara model paling ringan dalam segmennya.

Berat yang rendah ini memainkan peranan penting dalam karakter pengendalian, terutama bagi sebuah motosikal sport bersesaran sekitar 200 cc.

Paparan TFT Berwarna 5 Inci

Untuk bahagian kokpit, Yamaha melengkapkan YZF-R2 dengan paparan TFT berwarna bersaiz 5 inci.

Paparan berkenaan direka bagi memberikan maklumat tunggangan dalam susun atur yang jelas dan mudah dibaca oleh penunggang.

Penggunaan skrin TFT juga memberikan sentuhan lebih moden berbanding paparan LCD konvensional yang masih digunakan pada sebahagian motosikal dalam kategori ini.

Yamaha Y-Connect

YZF-R2 turut menyokong sistem sambungan Yamaha Y-Connect.

Melaluinya, telefon pintar boleh disambungkan kepada motosikal bagi membolehkan akses kepada fungsi sambungan yang disediakan Yamaha.

Kehadiran Y-Connect melengkapkan lagi pakej teknologi YZF-R2, terutama bagi pengguna yang mahukan integrasi antara motosikal dan telefon pintar.

Footpeg Boleh Laras

Yamaha turut menyediakan footpeg boleh laras pada YZF-R2.

Ciri tersebut membolehkan posisi kaki disesuaikan bagi mendapatkan kedudukan tunggangan yang lebih sesuai mengikut keperluan penunggang.

Selain aspek ergonomik, pelarasan kedudukan footpeg juga boleh membantu penunggang mendapatkan posisi badan yang lebih sesuai ketika menunggang secara lebih agresif.

Spesifikasi Yamaha YZF-R2

Enjin: 204 cc, empat lejang, DOHC, empat injap, penyejukan cecair
Sistem bahan api: Suntikan bahan api
Gerek x lejang: 66.0 x 59.6 mm
Nisbah mampatan: 11.5:1
Kuasa maksimum: 26.5 PS (19.5 kW) pada 10,000 rpm
Tork maksimum: 19.1 Nm pada 8,000 rpm
Transmisi: Manual enam kelajuan, constant mesh
Jenis klac: Wet multiple-disc
Sistem penghidup: Elektrik
Keserasian E20: Ya

Rangka: Backbone / Steel Tube Diamond Frame
Suspensi hadapan: Telescopic USD Fork
Diameter fork: 37 mm
Suspensi belakang: Linked-Type Monocross
Brek hadapan: Cakera 282 mm
Brek belakang: Cakera 220 mm
ABS: Dua saluran

Tayar hadapan: 100/80-17M/C 52S tanpa tiub
Tayar belakang: 140/70R17M/C 66H tanpa tiub

Panjang: 1,980 mm
Lebar: 700 mm
Tinggi: 1,140 mm
Jarak roda: 1,340 mm
Tinggi pelana: 810 mm
Kelegaan tanah: 170 mm tanpa beban / 145 mm dengan beban
Berat: 149 kg / 150 kg bergantung kepada versi
Kapasiti tangki: 12 liter

Paparan meter: TFT berwarna 5 inci
Sambungan: Yamaha Y-Connect
Mod tunggangan: Street, Sport dan Rain
Traction Control: Ya
Quick Shifter: Naik dan turun gear
Assist & Slipper Clutch: Ya
Pendikit elektronik: Ya
Footpeg boleh laras: Ya

Baca Juga : Yamaha XSR155 Rasmi Masuk Malaysia, Harga Bermula RM12,998!

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi