
Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) mengumumkan lebih 24,000 unit Ford Ranger generasi baharu kini berada di jalan raya Malaysia sejak model berkenaan diperkenalkan pada 2022.
Pencapaian itu sekali gus mencerminkan penerimaan terhadap trak pikap Ford berkenaan dalam kalangan pengguna sama ada untuk kegunaan kerja, keluarga mahupun aktiviti rekreasi.
Selain memperluaskan rangkaian produknya, Auto ConneXion-Ford turut memberi tumpuan kepada pemilik Ford melalui pelbagai aktiviti bersama komuniti pemilik Ford di Malaysia.
Antara program terbaharu ialah Ford Nation, yang berlangsung di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada awal Ogos lalu. Acara berkenaan menghimpunkan pemilik dan peminat Ford bersama ahli keluarga menerusi pelbagai aktiviti santai.
Program itu turut menampilkan persembahan muzik secara langsung oleh Muzza & the Velvettones serta Joy Victor, selain cabutan bertuah, pertandingan dan anugerah termasuk Coolest Looking Ranger serta Longest Ford Owner.
Auto ConneXion-Ford turut meneruskan program Ford Ranger Getaways yang memberi peluang kepada pemilik Ranger merasai sendiri keupayaan trak pikap berkenaan dalam situasi luar jalan raya.
Program terbaharu itu melibatkan 20 pemilik Ranger yang memulakan perjalanan dari Seremban sebelum memulakan konvoi ke StarFresh Agro Park di Negeri Sembilan.
Baca Juga : Ford Everest Platinum V6 3.0L Dilancarkan di Malaysia, SUV 7 Tempat Duduk Dengan Kuasa 600 Nm
Peserta diberikan latihan oleh jurulatih bertauliah melalui laluan off-road khas bagi membolehkan mereka memahami penggunaan ciri bantuan pemanduan dan sistem kawalan luar jalan raya yang tersedia pada Ranger.
Selain sesi pemanduan, program berkenaan turut merangkumi aktiviti berkumpulan, permainan, makan malam serta persembahan secara langsung.
Ford Ranger Getaways diperkenalkan pada 2022 dan dianjurkan setiap suku tahun sebagai antara platform Ford untuk membina hubungan lebih rapat dengan komuniti pemiliknya.
Pada Julai lalu, Auto ConneXion-Ford turut memperluaskan pilihan Ranger dan Everest di Malaysia bagi memenuhi keperluan penggunaan yang berbeza.
Antara model yang ditawarkan termasuk Ford Ranger Sport 2.0L, Ranger Sport 3.0L, Ranger Platinum 3.0L dan Ranger XL.
Bagi mereka yang mahukan SUV tujuh tempat duduk pula, pilihan merangkumi Everest Sport 2.0L, Everest Platinum 2.0L serta Everest Platinum 3.0L.
Dalam usaha mempertingkatkan sokongan selepas jualan, Auto ConneXion-Ford turut membuka gudang alat ganti baharu di Kota Kinabalu pada Julai 2026.
Kemudahan tersebut bertujuan meningkatkan ketersediaan alat ganti serta membantu memendekkan tempoh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan pelanggan.
Pada masa ini, Ford disokong oleh 33 pengedar sah di seluruh negara, termasuk sembilan pusat jualan dan servis di Sabah serta Sarawak.
Ia merangkumi tujuh pusat pengedar serta dua pusat servis khusus, selain sokongan servis yang turut diperluaskan kepada pelanggan di Kapit dan Mukah, Sarawak.
Bersempena pengenalan barisan model terbaharu dan sambutan Bulan Kebangsaan, Auto ConneXion-Ford turut menawarkan beberapa ganjaran kepada pelanggan sehingga 31 Ogos 2026.
Pembelian Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L akan menerima kamera papan pemuka Ford Front HD1080p secara percuma.
Sementara itu, pembeli Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L akan menerima pelan Basic Extended Service Plan (ESP) selama dua tahun secara percuma, tertakluk kepada terma dan syarat.
Semua varian Ford Ranger turut disertakan dengan waranti standard selama lima tahun.
Baca Juga : Transmisi 10 Kelajuan Jadi Tarikan Utama Ford Ranger XL Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.