
GWM Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap pasaran tempatan menerusi penyertaan di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026 dengan mengetengahkan model pemasangan tempatan, perancangan CKD baharu serta teknologi elektrifikasi dan hidrogen.
Acara anjuran Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) itu menghimpunkan wakil kerajaan, pengeluar automotif, penyedia teknologi, pembekal serta pemain industri bagi membincangkan perkembangan dan peluang kerjasama dalam sektor automotif, teknologi dan pembuatan negara.
Bagi GWM, penyertaan kali ini turut menjadi platform untuk memperlihatkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam strategi serantaunya, khususnya menerusi pemasangan tempatan dan eksport ke pasaran ASEAN.
Sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2022, GWM terus memperkukuh kedudukannya menerusi pelancaran model baharu, pengenalan teknologi elektrifikasi dan perluasan inisiatif pemasangan tempatan..
Pada separuh pertama 2026, syarikat merekodkan penghantaran sebanyak 3,166 unit kenderaan, meningkat 42.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Prestasi itu turut meletakkan GWM dalam kelompok 11 jenama automotif terlaris di Malaysia.
Antara model yang menyumbang kepada prestasi tersebut ialah GWM HAVAL H6 HEV dan GWM WEY G9 Hi4 PHEV.
Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao berkata, syarikat telah membina asas yang lebih kukuh sepanjang empat tahun berada di Malaysia, disokong oleh peningkatan penerimaan pelanggan terhadap produk dan teknologinya.
Menurut beliau, Malaysia kini bukan sekadar sebuah pasaran penting, malah semakin memainkan peranan dalam strategi GWM di peringkat ASEAN.
Fokus seterusnya adalah untuk memperluaskan pemasangan tempatan, meneroka peluang serantau serta mengukuhkan kerjasama dengan pemain industri tempatan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.
Antara tarikan utama di ruang pameran GWM ialah tiga model yang mewakili hala tuju program pemasangan tempatan syarikat di Malaysia.
GWM WEY G9 Hi4 PHEV menjadi model utama yang diketengahkan. MPV mewah itu kini dipasang secara tempatan dan turut dieksport dari Malaysia ke Thailand.
Langkah tersebut menjadikan Malaysia sebagai salah satu pangkalan penting dalam rangkaian pembuatan dan eksport serantau GWM.
Menurut syarikat, WEY G9 turut menjadi MPV mewah paling laris di Malaysia dalam kalangan jenama OEM yang diedarkan secara rasmi.
Turut dipamerkan ialah GWM ORA 5 HEV dan GWM HAVAL H7 Hi4 PHEV yang dirancang untuk menjalani pemasangan tempatan di Malaysia.
ORA 5 HEV membawa sistem hibrid dalam sebuah model dengan reka bentuk tersendiri dan teknologi pintar, manakala HAVAL H7 Hi4 PHEV pula menawarkan sistem hibrid plug-in bersama pacuan empat roda.
Ini bermakna GWM kini mempunyai satu model CKD sedia ada, selain dua lagi model yang bakal menyertai program pemasangan tempatan.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, perkembangan itu menunjukkan komitmen syarikat untuk terus mengembangkan operasi CKD serta ekosistem pembekal tempatan.
Pada masa sama, peranan Malaysia sebagai pangkalan eksport WEY G9 ke Thailand turut membuka ruang lebih luas kepada integrasi operasi GWM di rantau ASEAN.
Selain kenderaan, GWM turut membawa teknologi hibrid proprietarinya, Hi2 dan Hi4 ke GATE 2026.
Kedua-dua sistem berkenaan dibangunkan bagi menawarkan keseimbangan antara kecekapan bahan api, prestasi serta keupayaan pemanduan mengikut jenis kenderaan dan keperluan pasaran.
Pendekatan ini juga menunjukkan strategi GWM yang tidak bergantung kepada satu jenis rangkaian kuasa sahaja, sebaliknya merangkumi beberapa penyelesaian elektrifikasi.
GWM turut memperkenalkan teknologi hidrogen yang dibangunkan oleh FTXT, syarikat dalam kumpulannya yang memberi tumpuan kepada penyelesaian tenaga hidrogen dan sel bahan api.
Teknologi tersebut dipamerkan bagi memberi gambaran mengenai pembangunan yang sedang dijalankan GWM dalam sektor tenaga alternatif, termasuk potensi penggunaannya dalam bidang pengangkutan dan aplikasi tenaga pada masa hadapan.
Pameran itu juga membuka ruang kepada perbincangan antara GWM, kerajaan serta pemain industri mengenai potensi teknologi hidrogen dan sumber tenaga baharu dalam pembangunan sektor automotif Malaysia.
Penyertaan GWM di GATE 2026 menunjukkan dua fokus utama syarikat di Malaysia ketika ini, iaitu memperluaskan operasi pemasangan tempatan dan eksport serantau, selain meneroka teknologi rangkaian kuasa baharu.
Dalam tempoh seterusnya, GWM merancang untuk terus memperluaskan portfolio produknya di Malaysia, meningkatkan keupayaan pemasangan tempatan serta memperkukuh perkhidmatan selepas jualan dan pengalaman pelanggan.
Pada masa sama, kerjasama dengan agensi kerajaan, pembekal dan rakan teknologi akan terus dipertingkatkan bagi menyokong pembangunan ekosistem automotif tempatan.
Baca Juga : MOMOS Cagiva Mito 125 Fauzy’s Edition, Ikon 2T Rare di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.