Belum reda dengan pelancaran model 700MT. Kini CFMOTO Malaysia kembali membuat kejutan di Courtyard Kuala Lumpur dengan pengenalan CFMOTO 250NK Lite. Walaupun namanya “Lite”, motosikal ini langsung tidak ringan dari segi gaya dan prestasi.
Harga Mesra Poket
CFMOTO 250NK Lite ditawarkan pada harga permulaan RM9,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Sangat sesuai untuk yang mencari tunggangan harian yang bergaya tanpa perlu tanggung komitmen yang tinggi. Tambahan pula, empat pilihan warna menanti – Zephyr Blue, Bordeaux Red, Nebula White dan Nebula Black.
Enjin Lincah, Tunggangan Laju Tapi Stabil
Di bawah badan kompaknya, tersimpan enjin satu silinder 249cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair. Enjin ni mampu hasilkan 20.5kW kuasa maksimum pada 9,750rpm dan 22Nm tork pada 7,500rpm. Cukup untuk pecutan pantas dan responsif dalam bandar atau jalan terbuka.
Gandingan piston 72mm dan lejang 61.2mm bersama nisbah mampatan 11.3:1 memastikan keseimbangan antara kuasa dan kecekapan bahan api. Sistem suntikan bahan api EFI juga kekal.
Transmisi 6-Kelajuan
250NK Lite dilengkapi transmisi 6-kelajuan dengan pacuan rantai dan suis elektrik. Suspensi depan jenis teleskopik 37mm manakala monoshock belakang memberikan keselesaan semasa melibas selekoh atau melalui jalan tidak rata.
Jarak pergerakan suspensi 120mm di depan dan 46mm di belakang cukup untuk redah jalan Malaysia yang tak menentu.
Saiz Kompak, Mudah Kendali
Dimensi motosikal ini – 1,990mm panjang, 780mm lebar dan 1,070mm tinggi – menjadikannya cukup selesa untuk pelbagai jenis penunggang. Berat basah 158kg dan tempat duduk setinggi 795mm menjadikan ia mudah dikawal, terutamanya dalam trafik sesak. Tangki minyak 12.5 liter pula cukup besar untuk kegunaan harian tanpa risau isi minyak selalu.
Ciri Keselamatan & Teknologi Terkini
Brek cakera 292mm di depan dengan angkup empat piston, dan cakera 220mm di belakang dengan angkup satu piston, lengkap dengan sistem ABS dua saluran. Tayar pula bersaiz 110/70-R17 di depan dan 140/60-R17 di belakang. Dipadankan dengan rim aloi aluminium ringan.
Untuk pencahayaan, semuanya LED – dari lampu utama ke signal – memastikan anda bukan saja nampak, tetapi nampak bergaya. Ada juga meter LCD moden, suis kecemasan di pemegang kanan, serta port pengecas USB Type-A dan Type-C.
Sistem kunci masih jenis mekanikal serta hadir dengan penapis minyak dan bateri 12V9Ah.
Jaminan & Sokongan
Setiap pembelian 250NK Lite datang dengan jaminan 2 tahun tanpa had jarak, serta akses kepada pembelian alat ganti tulen secara atas talian. Ini satu bonus besar bagi pemilik yang pentingkan penjagaan jangka panjang.
CFMOTO – Dari China ke Dunia
Sejak ditubuhkan pada 1989, CFMOTO kini berada di barisan hadapan dalam dunia motosikal, ATV dan kenderaan sukan kuasa. Dengan lebih 3,000 pengedar di seluruh dunia dan lebih 540 paten, CFMOTO komited untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan reka bentuk menarik dan teknologi terkini.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun dan pasukan R&D antarabangsa, CFMOTO terus menolak sempadan untuk memberikan produk yang bukan saja berfungsi, tapi juga seronok ditunggang.
Dari MForce Bike Holdings
Baca Juga CFMOTO 800MT-X Dilancar di Malaysia dengan Harga RM48,888
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.