BMW Motorrad Group Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa teruja untuk mempersembahkan barisan motosikal kami yang terbaharu di Malaysia Autoshow 2024.
Setiap motosikal melambangkan inovasi, yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih.”
BMW CE 02 Baharu
BMW Group Malaysia menegaskan komitmennya terhadap visi pengelektrifikasian bagi segmen Mobiliti Bandar dengan penawaran BMW CE 02. Jentera yang diberi jolokan “eParkourer” ini membawakan pacuan elektrik, reka bentuk dan juga solusi inovatif yang mengagumkan.
BMW CE 02 baharu tampil dengan teknologi dan rekaan futuristik yang mampu menambat hati para belia di Malaysia. Fokus untuk landskap urban, e-motosikal bertaraf premium ini hadir dengan roda bersaiz besar yang menjanjikan daya tahan serta pengalaman menunggang merentasi pelbagai permukaan jalan.
Roda hadapan BMW CE 02 dipadan oleh fork teleskopik hidraulik, manakala single-side swingarm serta komponen sistem suspensi di belakang. Tayar kenderaan dimuatkan pada roda aloi ringan yang mempunyai rekaan roda cakera kontemporari dan brek cakera.
Dimensi, Prestasi CE 02
Dengan fokus ke atas pengalaman tunggangan dinamik, e-motosikal premium ini hanya mempunyai berat 132 kg sahaj. Dari segi dimensi, ia berukuran panjang 1970 mm dan tinggi 1140 mm dari perisai anginnya.
BMW CE 02 membawakan output kuasa maksimum sebanyak 11 kW (15 hp) dan 55 Nm tork. Ia membolehkan pecutan 0 ke 50 km/j dalam tempoh sekitar 3 saat. Dirumus untuk persekitaran urban dan tunggangan bebas emisi, BMW CE 02 mampu mencecah kelajuan tertinggi 95 km/j.
Bateri, Jarak Perjalanan & lain-lain…
Dilengkapi dengan bateri ion litium 6 kWj, penunggang dapat menikmati jarak operasi maksimum sejauh 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas 900 W.
Tambahan lagi, keupayaan pengecasan pantas sehingga 1500W juga mampu mengurangkan waktu pengecasan kepada sekitar 1 jam 40 minit dari status bateri 20% hingga 80%. Manakala dari 0% hingga 100% akan mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikan pengalaman para penunggang lebih fleksibel.
Mod Tunggangan, Kosmetik CE 02
BMW CE 02 baharu menampilkan skrin paparan berwarna TFT 3.5 inci, dengan padanan aplikasi BMW Motorrad Connect. Aplikasi ini membekalkan kemudahan navigasi, status kenderaan serta statistik berguna untuk menaik taraf pengalaman menunggang.
E-motosikal premium ini turut didatangkan dengan tiga mod tunggangan secara standard, iaitu “Flow”, “Surf” dan “Flash”. Mod “Flow” mengoptimumkan tunggangan santai dalam landskap urban. Manakala mod “Surf” membekalkan pengalaman tunggangan serba dinamik untuk kesibukan kawasan bandar. Bagi mereka yang menginginkan ciri tunggangan yang lebih sporty, mod “Flash” adalah sempurna untuk anda.
Melengkapi perincian ini, BMW CE 02 baharu turut hadir dengan soket USB, fungsi tunggangan tanpa kunci, bantuan mengundur dan mod sangga (cradle) menerusi aplikasi BMW Motorrad Connect.
Ads
Ia membolehkan penunggang mengakses paparan tambahan melalui pad kekunci pada bar hendal dan ia merangkumi pendakap telefon bimbit secara standard, justeru memudahkan pengintegrasian teknologi semasa perjalanan.
F 900 GS – Sao Paolo Yellow
BMW F 900 GS Baharu
Memperkenalkan F 900 GS baharu dengan keupayaan “offroad”, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Ia hadir dengan aneka fungsi dan teknologi serba inovatif yang disesuaikan untuk pasaran tempatan.
Memberi nafas baharu kepada kehandalannya, motosikal ini tampil dengan kegunaan offroad yang ditambah baik, pengurangan berat yang signifikan, iaitu sebanyak 14 kg yang menjadikan jumlah beratnya 219 kg.
F 900 GS baharu memuatkan teknologi pencahayaan yang canggih untuk menjamin daya lihat pada waktu siang dan malam yang lebih baik.
Kapasiti bahan api adalah sebanyak 14.5 liter dan tip ekzos dari Akrapovič. F 900 GS kini membawakan Enduro Pro Paket, yang meliputi fork teleskopik titanium terbalik yang boleh dilaras sepenuhnya dan pelbagai lagi perician untuk membantu penunggang.
Selain pembaharuan dari sudut dinamisme, BMW F 900 GS turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang, ia termasuk pelindung enjin dan tangan, heated throttle dan menawarkan ciri kawalan dan ergonomik yang lebih sesuai.
Paparan instrumen TFT bersaiz 6.5 inci yang diperbaharui dengan pilihan Connect menawarkan ciri hubungan, navigasi dan sistem pengurusan panggilan telefon pintar. Para peminat juga pasti teruja dengan reka bentuk pelananya yang lebih ramping dan tirus, memastikan kestabilan dan juga keselesaan ketika menunggang secara offroad.
R 1300 GS – White with Blue
BMW R 1300 GS Baharu
Tunggangan BMW GS yang paling ikonik kini ditambah baik dengan pengurangan berat yang signifikan sebanyak 12 kg berbanding pendahulunya. Dengan menggabungkan ekzos baharu dan reka bentuk yang lebih ramping, BMW R 1300 GS memberikan pengendalian yang lebih lancar dan responsif untuk penunggang.
Model ini juga menampilkan enjin boxer 1300 cc baharu yang meningkatkan kuasa dan tork, memberikan prestasi yang lebih hebat dalam semua keadaan.
Ads
BMW R 1300 GS baharu menampilkan ciri pencahayaan yang canggih, termasuk pencahayaan waktu siang dan lampu hadapan LED matriks. Motosikal ini juga membawakan lampu hadapan LED tambahan yang meningkatkan daya lihat di luar jalan raya. Sementara Headlight Pro yang dinamik melaras dan mencahayakan laluan penunggang semasa membelok.
BMW R 1300 GS baharu hadir dalam warna Triple Black, Racing Blue Metallic dan Option 719 Tramuntana, setiap satu mencerminkan tema boxer GS yang ikonik dengan bentuk yang segak.
Prestasi R 1300 GS
Direka semula agar bersifat lebih kompak, jantung BMW R 1300 GS baharu ialah enjin boxer dua silinder yang ikonik. Hadir dengan nilai sesaran 1,300 cc, ia mampu menjana output berjumlah 107 kW (145 hp) dengan tork 149 Nm.
Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) juga turut menerima kemas kini dan ia lebih responsif berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.
Model ini juga turut meningkatkan bilangan mod tunggangan yang ditawarkan. Kini hadir dengan empat pilihan berbanding tiga untuk memenuhi keperluan penunggang yang pelbagai.
Mod “Rain” dan “Road” menawarkan pengalaman tunggangan berciri boleh suai yang sempurna bagi pelbagai kondisi jalan raya. Mod “Eco” pula memaksimumkan penggunaan bahan api, membolehkan jentera ini ditunggang pada jarak maksimum dengan satu tangki penuh.
Sementara mod “Enduro” memperkayakan pengalaman menunggang off road dengan tetapan khas yang dirumus untuk laluan yang mencabar. Memudahkan penunggang untuk mengembara dengan lebih yakin.
Untuk perincian keselamatan, ia termasuk dengan ABS Pro untuk sistem brek yang lancar serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) untuk meningkatkan stabiliti. Motosikal ini menawarkan pengalaman tunggangan yang selamat dan mengujakan di atas semua jenis laluan.
Ads
S 1000 XR – Biru
BMW S 1000 XR Baharu
Untuk penunggang yang mencari prestasi tinggi dan pengembaraan jalan raya, BMW S 1000 XR baharu menawarkan pengalaman yang tiada tandingan. Dengan teknologi canggih, termasuk sistem suspensi dinamik dan mod tunggangan yang boleh disesuaikan. Jentera ini memastikan perjalanan yang selesa dan terkawal walaupun pada kelajuan tinggi.
BMW S 1000 XR baharu menampilkan teknologi pencahayaan yang canggih, hadir dengan indikator membelok LED, unit lampu belakang, serta lampu hadapan.
Lampu Tambahan LED yang baharu turut menambahbaik aspek pencahayaan. Sementara Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light) meningkatkan tahap kebolehlihatan motosikal ini pada waktu siang. Penawaran warna yang standard bagi BMW S 1000 XR baharu meliputi Gravity Blue Metallic dan Blackstorm Metallic.
Prestasi S 1000 XR
S 1000 XR baharu dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan output 170 hp dan 114 Nm tork. Kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Model ini juga membawakan empat mod tunggangan untuk kemudahan penunggang: Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan fungsi DTC Wheelie generasi baru.
Selain itu, model baharu juga menawarkan Shift Assist Pro yang membolehkan gear ditukar dengan lancar tanpa penglibatan klac, meningkatkan lagi aspek kawalan dan juga prestasi. Turut memperkayakan ciri-ciri kemudahannya ialah aneka aksesori standard seperti Tunggangan Tanpa Kunci dan sistem pengantara pengecasan USB.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi barisan jentera yang terbaharu ini ialah:
BMW CE 02 Baharu
RM 38,500.00
BMW F 900 GS Baharu
RM 88,500.00
BMW S 1000 XR Baharu
RM 129,500.00
BMW 1300 GS Baharu
RM 138,500.00
dengan tawaran warna Option 719 Tramuntana
RM 149,500.00
Kehadiran barisan motosikal baharu ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BMW dalam memajukan industri ini. Namun untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tidak dapat dilupakan bagi peminat motosikal di Malaysia.
Tidak lama dahulu, trend motosikal sukan seolah-olah semakin ringan dan berkuasa setiap tahun. Namun, ada hadnya, dan had itu datang dalam bentuk kos. Bahan ringan seperti gentian karbon memang membantu mengurangkan berat. Tetapi bukan sahaja mahal, malah tidak begitu tahan lasak.
Tambahan pula, elektronik moden dan peraturan pelepasan karbon telah menjadikan tugas ini lebih mencabar. Berat keseluruhan motosikal kini semakin meningkat berbanding sedekad lalu.
Walaupun begitu, masih ada beberapa pengecualian menarik, terutamanya edisi terhad spesifikasi perlumbaan yang tidak perlu mematuhi peraturan karbon pelepasan. Bagi yang mahukan sesuatu yang lebih berpatutan, supersport klasik yang tidak banyak berubah dari generasi ke generasi masih menjadi pilihan.
Aprilia RS 660 Extrema
Kuasa: 100 hp
Harga: RM64,000 (anggaran)
Berat: 180 kg (basah)
Enjin: 659cc, Parallel-Twin, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
RS 660 Extrema masih tersedia buat masa ini tetapi bakal digantikan dengan RS 660 Factory tidak lama lagi. Dengan berat di bawah 180 kg dalam keadaan basah, ia adalah antara supersport moden paling ringan. Selain kemasan grafik unik, ekzos SC-Project membantu mengurangkan lagi beratnya, menjadikannya pilihan menarik untuk penunggang jalanan.
Honda CBR600RR
Kuasa: 119 hp
Harga: RM58,000 (anggaran)
Berat: 190 kg
Enjin: 599cc, Inline-4, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
CBR600RR baharu menerima pelbagai penambahbaikan teknologi, tetapi peningkatan ini juga menambah berat keseluruhannya. Di sesetengah pasaran, model lama yang lebih ringan masih ditawarkan, menjadikannya lebih menarik untuk mereka yang mahukan pengalaman lebih klasik.
Ducati Panigale V2
Kuasa: 120 hp
Harga: RM76,000 (anggaran)
Berat: 179 kg (tanpa bahan api)
Enjin: 890cc, L-Twin, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
Walaupun Panigale V2 nampak seperti ketinggalan bagi sesetengah pihak. Ia sebenarnya membawa perubahan besar bagi peminat Ducati. Dengan berat lebih ringan dan harga lebih rendah berbanding generasi sebelumnya, ia menjadi pilihan terbaik dalam kategori motosikal sukan kelas pertengahan.
Suzuki GSX-R600
Kuasa: 125 hp
Harga: RM55,000 (anggaran)
Berat: 187 kg
Enjin: 599cc, Inline-4, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
GSX-R600 tidak menerima kemas kini besar sejak 2011, tetapi itu juga menjadi kelebihannya. Dengan harga yang kompetitif dan prestasi litar yang masih relevan, ia tetap menjadi pilihan utama bagi pelumba amatur.
KTM RC 8C
Kuasa: 133 hp
Harga: RM190,000 (anggaran)
Berat: 142 kg (kering)
Enjin: 889cc, Parallel-Twin, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
RC 8C adalah jentera lumba tulen yang direka untuk kegunaan trek sahaja. Dengan berat hanya 142 kg dalam keadaan kering dan enjin berkuasa tinggi, ia menjadi pilihan bagi mereka yang serius dalam dunia perlumbaan.
Suzuki GSX-R750
Kuasa: 148 hp
Harga: RM63,000 (anggaran)
Berat: 190 kg
Enjin: 749cc, Inline-4, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
GSX-R750 masih bertahan dalam pasaran walaupun kelas 750cc hampir pupus. Dengan nisbah kuasa-berat yang mengagumkan, ia tetap menjadi pilihan yang sukar ditandingi di litar perlumbaan.
MV Agusta F3 Competizione
Kuasa: 160 hp* (dengan kit perlumbaan)
Harga: TBA
Berat: 178 kg (tanpa bahan api)
Enjin: 798cc, Inline-3, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
MV Agusta terkenal dengan edisi khas mereka, dan F3 Competizione tidak terkecuali. Dengan tambahan suspensi Öhlins dan gentian karbon. Ia menjadi antara supersport paling eksklusif di pasaran.
BMW M 1000 RR
Kuasa: 205 hp
Harga: TBA
Berat: 183 kg (kering)
Enjin: 999cc, Inline-4, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
Dengan karbon fiber dan bateri lebih ringan, BMW M 1000 RR membawa konsep ‘menambah ringan’ ke tahap seterusnya. Ia adalah motosikal berkuasa 200 hp yang mampu menyaingi jentera V4 Itali di litar.
Ducati Panigale V4 R
Kuasa: 237 hp* (dengan ekzos perlumbaan)
Harga: RM208,000 (anggaran)
Berat: 179 kg (tanpa bahan api)
Enjin: 998cc, V4, penyejukan cecair
Transmisi: 6-kelajuan
Panigale V4 R adalah jentera perlumbaan yang sah digunakan di jalanan. Dengan pilihan ekzos perlumbaan, ia boleh mencapai kuasa maksimum 237 hp, menjadikannya antara superbike paling ekstrem yang pernah dihasilkan Ducati.
Ducati sekali lagi membuktikan keunggulannya dengan pengenalan Panigale V4 Tricolore Italia. Sebuah model edisi khas yang menampilkan teknologi canggih dan juga membawa semangat permotoran Itali.
Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, hanya 163 unit akan dikeluarkan, menjadikannya sebuah koleksi eksklusif yang bernilai tinggi. Setiap satu motosikal ini turut mendapat sentuhan istimewa dengan tandatangan asli juara dunia MotoGP dua kali. Francesco Bagnaia – terletak pada penutup tangki.
Inspirasi Daripada Kejayaan Bersejarah
Pada 2 Jun 2024, bersempena Hari Republik Itali, Ducati Lenovo Team telah berlumba dalam Grand Prix Itali. Jentera yang dihiasi warna biru muda khas – warna ikonik pasukan sukan kebangsaan Itali.
Perlumbaan itu menyaksikan kejayaan berganda dengan dua pelumba Itali mendominasi podium. Mencipta detik bersejarah bagi sukan permotoran negara tersebut. Panigale V4 Tricolore Italia dicipta bagi memperingati detik istimewa ini. Mengambil inspirasi daripada jentera Desmosedici GP24 yang mencipta kemenangan di Mugello.
Komponen Premium untuk Prestasi Maksimum
Tidak hanya tampil dengan livery eksklusif, model ini turut dilengkapi dengan komponen berprestasi tinggi yang diambil terus daripada perlumbaan Superbike Dunia (WorldSBK).
Antara yang paling menonjol ialah brek Brembo T-Drive bersirip dengan cakera berdiameter 338.5 mm serta angkup monoblok GP4 Sport Production.
Reka bentuk angkup ini menampilkan sirip penyejukan yang membantu mengawal suhu semasa membrek, menjadikannya ideal untuk penggunaan trek yang ekstrem.
Bukan itu sahaja, rim gentian karbon lima jejari yang digunakan bukan sahaja lebih ringan. Malah membantu mengurangkan inersia sebanyak 12% di hadapan dan 19% di belakang berbanding rim forged yang digunakan pada Panigale V4 S.
Hasilnya, motosikal ini lebih lincah ketika mengambil selekoh dan lebih stabil ketika memecut keluar dari selekoh.
Kelengkapan Eksklusif dan Identiti Unik
Panigale V4 Tricolore Italia juga menampilkan beberapa perincian eksklusif yang menambahkan nilai istimewa sebagai motosikal edisi terhad.
Setiap unit dilengkapi dengan kepala stereng aluminium yang diukir dengan nombor siri unik, serta paparan dashboard khas dengan animasi tersuai.
Lebih menarik, silkscreen litar Mugello turut dicetak sebagai penghormatan kepada kejayaan Ducati di Itali.Satu lagi sentuhan eksklusif ialah kunci pencucuhan yang diperbuat daripada aluminium dengan nombor siri terukir padanya. Menambah lagi elemen koleksi kepada jentera ini.
Ini semua menjadikan Panigale V4 Tricolore Italia bukan sekadar motosikal, tetapi satu simbol kejayaan dan kebanggaan sukan permotoran Itali.
Kejohanan Dunia MotoGP™ 2023 telah menyaksikan kemenangan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) selepas Jorge Martin (Prima Pramac Racing) terlibat dalam kemalangan dengan Marc Marquez (Repsol Honda Team) di Pusingan 4.
Pecco muncul juara dalam pertarungan hebat untuk tempat pertama, diikuti oleh Fabio Di Giannantonio (Gresini Racing MotoGP™) dan Johann Zarco (Prima Pramac Racing) di belakangnya.
Walau bagaimanapun, Di Giannantonio kemudiannya menerima hukuman selepas tamat perlumbaan terakhir itu atas sebab tekanan tayar yang rendah, menurunkannya ke P4 dengan Zarco dinaikkan ke P2 dan Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) mendapat podium ketiga.
Dalam perlumbaan terakhir untuk tahun 2023, Bagnaia melakukan permulaan yang cemerlang untuk menguasai perlumbaan, diikuti oleh Martin yang mampu merebut P2 pada awalnya. Pecco di P1, Martin di P2 – itulah kedudukan selepas litar pembukaan, dengan pasukan Red Bull KTM Factory Racing iaitu Brad Binder dan Jack Miller di P3 dan P4.
Kredit Foto: MotoGP
Di Pusingan 4, Martin memulakan strategi menyerang dalam litar terhadap Marc Marquez, juara dunia sebanyak lapan kali itu sehingga terdapat sentuhan antara kedua-dua mereka. Martin kemudiannya terhumban ke kawasan kerikil manakala Marquez terlempar ke tepi litar dalam kemalangan yang serius.
Perlumbaan terakhir Marquez bersama Honda berakhir dengan kekecewaan besar, sementara harapan gelaran dunia untuk Martin juga terhakis. Pengakhiran yang menyedihkan bagi bintang Prima Pramac.
Dengan Martin keluar, tidak kira apa yang Bagnaia lakukan, dia akan menjadi Juara Dunia MotoGP™ 2023. ‘MARTIN OUT’ dipaparkan di papan pitnya manakala kedua-dua penunggang KTM, Binder dan Miller kini berada di tempat pertama dan kedua, dengan Zarco dan Viñales mengejar Pecco.
Namun, dengan 12 litar lagi, Binder membuat kesilapan besar. Seperti dalam Tissot Sprint, Binder terlalu membuka ruang di Pusingan 11, menjatuhkannya dari P1 ke P6. Miller kini memimpin Pecco dengan jarak lebih daripada satu saat.
Kredit Foto: MotoGP
Walaupun juara telah ditentukan, perlumbaan masih tidak berakhir. Binder hanya 1.5 saat dari kedudukan hadapan dan Fabio Di Giannantonio (Gresini Racing MotoGP™) menyelit di belakang roda KTM. Tak lama kemudian, pelumba Itali itu berjaya menempa tempat ke-3 pada lima lap terakhir.
Raul Fernandez (CryptoDATA RNF MotoGP™ Team) mendapat hasil terbaik musim dengan P5 yang cemerlang. Alex Marquez di P6 dengan Franco Morbidelli (Monster Energy Yamaha MotoGP™) menamatkan kerjaya Yamaha dengan P7 yang kukuh, manakala Aleix Espargaro (Aprilia Racing), Luca Marini pada penampilan terakhirnya dengan Mooney VR46 Racing Team dan Viñales menutup sepuluh teratas.
Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP™) yang kurang sihat berada di P11, dengan Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu), Lorenzo Savadori (CryptoDATA RNF MotoGP™ Team) dan Pol Espargaro (GASGAS Factory Racing Tech3) masing-masing berjaya menamatkan perlumbaan.
Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Racing Team), Augusto Fernandez (GASGAS Factory Racing Tech3) dan Alex Rins (LCR Honda Castrol) merupakan pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan.
Dan dengan itu, 2023 tamat dengan dramatik. Bagnaia kini adalah Juara Dunia sebanyak tiga kali manakala Martin bersedia untuk kembali lebih kuat pada tahun 2024. Musim yang luar biasa. Sekarang, fokus penuh beralih kepada Ujian Valencia pada hari Selasa.
1 of 12
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download seeNI sekarang!
Italjet Dragster 700 Twin Dari Motor Valley Itali
Dunia motosikal sekali lagi digegarkan dengan kemunculan model baharu dari Itali iaitu Italjet Dragster 700 Twin.
Dibina di...