MODENAS Z15GT Raih Anugerah Malaysia Good Design Award 2026, Rekaan Inspirasi Malaysia Diiktiraf
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila model kapcai sportinya, MODENAS Z15GT, menerima pengiktirafan Malaysia Good Design Award (MGDA) 2026.
Pengiktirafan berprestij itu sekali gus membuktikan keupayaan pengeluar motosikal nasional berkenaan dalam menghasilkan produk yang bukan sahaja mempunyai identiti rekaan tersendiri, malah menggabungkan teknologi moden, fungsi praktikal dan keperluan penunggang tempatan.
Anugerah tersebut disampaikan pada 14 November lalu sempena Kuala Lumpur Design Summit 2026 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Dianjurkan oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), MGDA merupakan antara pengiktirafan reka bentuk berprestij di negara ini yang menilai kecemerlangan produk berdasarkan aspek kreativiti, inovasi, fungsi dan kualiti.

Rekaan Z15GT Diilhamkan Ikan Arowana Emas Malaysia
MODENAS Z15GT menerima pengiktirafan dalam kategori Public Areas and Transportation Products, hasil gabungan reka bentuk yang menonjol, fungsi praktikal serta penggunaan teknologi motosikal moden.
Antara keunikan model ini ialah identiti rekaannya yang mengambil inspirasi daripada ikan Arowana Emas Malaysia, selain menerapkan falsafah reka bentuk Sugomi yang sinonim dengan motosikal Kawasaki.

Gabungan kedua-dua elemen tersebut menghasilkan penampilan sporty, agresif dan berkarakter, sekali gus memberikan Z15GT identiti tersendiri dalam segmen motosikal kapcai.
Walaupun mengetengahkan rekaan yang lebih garang, MODENAS tetap memberikan perhatian terhadap aspek keselesaan, kepraktisan dan kecekapan bagi memastikan motosikal itu sesuai digunakan untuk perjalanan harian.
Gabungan Prestasi, Keselamatan dan Teknologi
Selain reka bentuk luaran, MODENAS Z15GT turut dilengkapi teknologi yang memenuhi keperluan penunggang masa kini.
Antara ciri utamanya termasuk penggunaan enjin dengan teknologi Double Overhead Camshaft (DOHC) serta sistem brek antikunci (ABS) yang membantu meningkatkan kawalan ketika membrek.
Model ini turut menawarkan pelbagai ciri moden yang memberikan tumpuan terhadap pengalaman penunggangan, sejajar dengan usaha MODENAS menghasilkan motosikal yang mengimbangi prestasi, keselamatan dan kemudahan penggunaan.
Pendekatan tersebut menjadi antara faktor penting yang membolehkan Z15GT menerima pengiktirafan dalam kategori produk pengangkutan.

Malaysia Good Design Award Diwujudkan Sejak 1997
Untuk rekod, Malaysia Good Design Award mula diperkenalkan pada 1997 sebagai platform pengiktirafan terhadap produk yang menunjukkan kecemerlangan reka bentuk dalam pelbagai sektor industri.
Anugerah tersebut turut bertujuan menggalakkan inovasi, meningkatkan daya saing industri serta memperkukuh pembangunan produk tempatan.
Bagi MODENAS, kejayaan Z15GT menerima pengiktirafan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pembangunan produk syarikat sejak ditubuhkan pada 1995.
MODENAS yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan DRB-HICOM mula dikenali menerusi pelancaran model Kriss 110 pada November 1996, sebelum memperkenalkan beberapa motosikal popular seperti Jaguh, Karisma, Dinamik, Elegan dan GT128.
Ketika ini, DRB-HICOM memegang 70 peratus kepentingan ekuiti dalam MODENAS, manakala baki 30 peratus dimiliki Kawasaki Heavy Industries (KHI) dari Jepun.
Baca Juga : Kawasaki Ninja H2 Carbon 2026 Kini di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


