BMW Guna Semula Bateri EV Terpakai, Bekalkan Elektrik 24 Jam Kepada 20 Rumah di Kawasan Pedalaman Pahang
Bateri kenderaan elektrik (EV) yang sudah tidak digunakan tidak semestinya perlu dilupuskan. Sebaliknya, komponen berkenaan masih mempunyai potensi untuk dimanfaatkan sebagai sistem penyimpanan tenaga bagi kegunaan harian.
Membuktikan perkara itu, BMW Group Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) berjaya memasang sistem penyimpanan tenaga berkuasa solar menggunakan bateri EV BMW terpakai di Kampung Saweh, Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.
Inisiatif berkenaan membolehkan 20 isi rumah masyarakat Orang Asli suku Semai menikmati bekalan elektrik secara berterusan selama 24 jam sehari, sekali gus mengubah kehidupan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada penjana elektrik petrol dan diesel.
Projek itu merupakan aplikasi dunia sebenar kedua menerusi inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya, yang memberi tumpuan kepada penggunaan semula bateri EV bagi tujuan penyimpanan tenaga.

Sebelum Ini Hanya Nikmati Elektrik Empat Jam Sehari
Sebelum sistem baharu dipasang, penduduk Kampung Saweh terpaksa bergantung kepada penjana elektrik yang menggunakan petrol atau diesel untuk mendapatkan bekalan tenaga.
Bagaimanapun, penggunaan penjana berkenaan hanya sekitar empat jam pada waktu malam dan kebanyakannya digunakan bagi menghidupkan lampu serta kipas.
Lebih membebankan, setiap isi rumah perlu mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM10 sehari bagi menampung kos bahan api penjana tersebut.
Kini, dengan pemasangan sistem penyimpanan tenaga menggunakan bateri EV BMW, penduduk dapat menikmati bekalan elektrik sepanjang hari pada kos yang jauh lebih rendah, selain mengurangkan pelepasan gas daripada penggunaan penjana konvensional.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan berkata, pengumpulan semula bateri selepas tamat tempoh penggunaan kenderaan sudah lama menjadi sebahagian daripada amalan syarikat itu.
Namun, menerusi RE:GENERATE, BMW mahu memperluaskan potensi bateri berkenaan untuk dimanfaatkan dalam aplikasi lain.
Menurutnya, bateri yang sebelum ini digunakan untuk menggerakkan kenderaan BMW di jalan raya Malaysia kini mampu membekalkan tenaga elektrik kepada 20 kediaman yang tidak pernah menikmati kemudahan tersebut secara berterusan.
Kerjasama dengan UM juga membolehkan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat luar bandar.

30 Modul Bateri BMW Digunakan
Sistem berkenaan dibangunkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD dari UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).
Kerja pemasangan dilaksanakan selama lima hari, bermula 23 hingga 27 Oktober 2026, sebelum sistem itu mula beroperasi ketika lawatan pasukan penyelidik ke kampung berkenaan.
Secara keseluruhan, pemasangan tersebut menggunakan 30 modul bateri BMW terpakai yang digabungkan dengan sistem inverter berkapasiti 8kW.
Sistem penyimpanan tenaga berpusat itu membekalkan elektrik kepada kesemua 20 kediaman, dengan setiap isi rumah diperuntukkan penggunaan tenaga sebanyak 3kWh sehari.

Menariknya, konfigurasi berpusat membolehkan kapasiti tenaga yang tidak digunakan oleh sesebuah rumah dimanfaatkan oleh kediaman lain mengikut keperluan semasa.
Pendekatan ini membantu sistem memenuhi permintaan tenaga yang lebih tinggi tanpa memerlukan pemasangan kapasiti bateri secara berlebihan.
Bateri tersebut turut ditempatkan dalam sebuah struktur yang dibina menggunakan kayu dan buluh daripada kawasan persekitaran kampung.
Sementara itu, tenaga untuk mengecas bateri dibekalkan melalui panel solar terpakai yang sebelum ini digunakan di ladang solar komersial.
Walaupun panel berkenaan telah dikeluarkan daripada operasi asal, ia masih mempunyai jangka hayat yang membolehkan penggunaannya diteruskan.
Bukan Hanya Sekadar Lampu, Penduduk Kini Berpeluang Menggunakan Peti Sejuk
Antara aspek utama yang diberi perhatian dalam pembangunan sistem itu ialah keupayaan membekalkan elektrik kepada peti sejuk.
Sebelum ini, keluarga yang bergantung kepada aktiviti memburu atau mengumpul hasil hutan tidak mempunyai kemudahan sesuai untuk menyimpan makanan yang mudah rosak.
Keadaan tersebut menyebabkan hasil seperti daging perlu dimakan atau diagihkan kepada jiran dengan segera sebelum rosak.
Dengan bekalan elektrik yang lebih stabil, penduduk kini berpeluang menggunakan peti sejuk untuk menyimpan bekalan makanan dalam tempoh lebih lama.
Sistem itu juga telah direka untuk menampung penggunaan peti sejuk apabila penduduk mula memiliki peralatan berkenaan.
Buat masa ini, televisyen merupakan antara peralatan yang menggunakan tenaga elektrik paling tinggi di kebanyakan rumah di kampung tersebut.

Bateri EV Terpakai ini Dijangka Mampu Digunakan Sekurang-kurangnya Lima Tahun Lagi
Berdasarkan reka bentuk semasa, sistem bateri EV BMW yang digunakan di Kampung Saweh dijangka mampu berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun lagi.
Tempoh tersebut adalah setanding atau lebih panjang berbanding bateri asid plumbum baharu yang lazim digunakan dalam projek pembekalan elektrik luar bandar.
Penggunaan bateri EV terpakai juga menawarkan kelebihan dari segi kos serta pengurangan pelepasan karbon melalui pendekatan ekonomi kitaran.
Dr. Tan berkata, projek berkenaan menggabungkan penggunaan bahan binaan semula jadi, bateri EV yang digunakan semula serta panel solar terpakai untuk menghasilkan sistem elektrifikasi luar bandar yang lebih lestari.
Menurutnya, pelaksanaan di Kampung Saweh memberi peluang kepada pasukan penyelidik untuk menguji dan menambah baik teknologi berkenaan dalam keadaan sebenar, termasuk mengambil kira kebolehpercayaan bekalan tenaga, persekitaran setempat dan keperluan penduduk.
Beliau turut menyifatkan sumbangan bateri EV terpakai oleh BMW Group Malaysia sebagai langkah yang membuka peluang untuk pembangunan penyelesaian serupa di komuniti luar bandar lain.

Secara keseluruhannya, inisiatif BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya membuktikan bateri EV terpakai masih mempunyai nilai serta potensi besar untuk dimanfaatkan dalam sektor tenaga.
Lebih penting, teknologi tersebut bukan sahaja memanjangkan jangka hayat penggunaan bateri, malah mampu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat yang sebelum ini berdepan kekangan mendapatkan bekalan elektrik.
Baca Juga : BMW Motorrad Malaysia Tawar Pakej Servis dan Waranti Lima Tahun
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


