MINI, jenama automotif kompak premium yang sofistikated di Malaysia, meraikan pengenalan Keluarga MINI Baharu dengan acara yang penuh gaya. Empat model baharu yang menggabungkan bahasa rekaan terkini jenama itu, “Karisma Keserdehanaan”, diperkenalkan, termasuk dua model serba elektrik yang menandakan langkah besar ke arah mobiliti bandar tanpa emisi.
Langkah Berani ke Masa Hadapan
Florian Kuenstner, Naib Presiden MINI Rantau Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah, dan Afrika, menyatakan, “MINI adalah lagenda automotif yang telah memberi inspirasi selama lebih 60 tahun. Kisah BIG LOVE mencerminkan dedikasi kami terhadap keunikan dan reka bentuk minimalis.”
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, menambah, “Kami amat teruja untuk memperkenalkan Keluarga MINI Baharu di Malaysia! Dengan rekaan semula ini, MINI terus memberi inspirasi dengan reka bentuk ikonik dan keseronokan pemanduan di bandar, sambil berani meneroka masa hadapan elektrik. Ini dapat dilihat melalui pengenalan model serba elektrik seperti MINI Cooper SE dan MINI Countryman SE ALL4.”
Model prestasi tinggi dari MINI – John Cooper Works
Model Baharu yang Mengujakan
Pada acara ini, MINI Cooper SE Baharu membuat kemunculan sulung di Malaysia. Model serba elektrik ini meneruskan kejayaan MINI Cooper yang ikonik. Bersamanya, tiga model baharu turut diperkenalkan: MINI Countryman SE ALL4 Elektrik Baharu, MINI John Cooper Works (JCW) Countryman ALL4 Baharu, dan MINI Cooper S Baharu.
Pesona Klasik Dimodenkan
Kemuncak acara adalah MINI Cooper SE Baharu yang menampilkan rekaan asli. Gril hadapan oktagon dengan kontur berliku menjadi tumpuan, menempatkan sensor radar terkecil dalam kalangan model BMW Group. Lampu hadapan LED dengan tiga corak cahaya tersendiri menambah sentuhan moden.
Bahagian dalam MINI Cooper SE Baharu menekankan keperluan asas dengan komponen yang sedikit tetapi berkualiti tinggi. Stereng sport tiga jejari dan paparan OLED bulat 240mm dengan antara muka sentuhan memberikan pengalaman pemanduan yang canggih.
Ads
Mod MINI Experience dengan grafik cahaya khusus dan sistem bunyi Harman Kardon meningkatkan suasana dalaman.
Countryman Elektrik – Jarak gerak 461km
Prestasi dan Dinamik Pemanduan
MINI Cooper SE Baharu menghasilkan 218 hp dan tork 330 Nm, membolehkan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat. Bateri 54.2 kWj memberikan jarak antara 387 hingga 402 kilometer dengan sekali cas.
Pengecasan AC pada 11 kW dan pengecasan DC hingga 95 kW menjadikan cas bateri dari 10% hingga 80% dalam masa kurang dari 30 minit.
MINI – jenama kereta yang terawal menggunakan infotainment berbentuk bulat
Keselamatan dan Bantuan Pemanduan
MINI Cooper SE Baharu dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan masa nyata seperti Bantuan Pemanduan dan Bantuan Parkir Plus, memastikan keselamatan maksimum. Bantuan Pemanduan Plus menawarkan kawalan pengendalian aktif dengan fungsi Berhenti & Jalan, Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong, serta Bantuan Had Kelajuan Manual dan Automatik.
Ads
Sistem Operasi 9 MINI Baharu dengan antara muka pengguna estetik menggabungkan elemen fungsi dan emosi dalam gaya MINI yang tersendiri. Bantuan Peribadi Pintar MINI menawarkan bantuan suara pertama MINI, membolehkan kawalan navigasi, hiburan telefon, dan pelbagai fungsi kenderaan lain.
Rekaan dalaman boleh ditempah khas mengikut citarasa pelanggan
Harga jualan bagi empat model tersebut adalah seperti tertera:
MINI Cooper SE Baharu adalah RM 193,888.00
MINI Cooper S Baharu RM 279,888.00
MINI Countryman SE ALL4 Baharu RM 258,888.00
MINI JCW Countryman ALL4 Baharu RM 389,888.00
Semua model dilindungi oleh waranti standard dua tahun, dengan waranti lanjutan dan perkhidmatan tambahan tersedia. MINI Cooper SE Baharu dan MINI Countryman SE ALL4 Baharu juga mempunyai Waranti Bateri selama lapan tahun / 160,000 km.
Ads
Untuk maklumat lanjut mengenai Keluarga MINI baharu, layari: [MINI Malaysia](https://www.mini.my/en_MY/home.html).
Honda Type R adalah salah satu ikon dalam dunia kereta prestasi, terutama dalam segmen hatchback dan sedan berprestasi tinggi. Jenama ini terkenal dengan keupayaan untuk menggabungkan kejuruteraan yang canggih dengan pengalaman pemanduan yang luar biasa. Menjadikannya kegemaran di kalangan peminat kereta di seluruh dunia.
Honda Civic Type R adalah model paling terkenal dalam rangkaian Type R. Model ini merupakan manifestasi sempurna falsafah Honda yang mementingkan pengendalian, prestasi enjin, dan reka bentuk yang agresif.
Civic Type R terbaru dilengkapi dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang menghasilkan kira-kira 306 kuasa kuda dan tork 400 Nm.
Ini membolehkan Civic Type R mencapai kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.7 saat, satu prestasi yang luar biasa untuk kereta dalam kelasnya.
Apa yang membuatkan Civic Type R menonjol adalah pengendaliannya. Suspensi yang disesuaikan, sistem brek Brembo, dan aerodinamik yang dioptimumkan. Semuanya berfungsi bersama untuk memberikan pemanduan yang sangat responsif dan dinamik, sama ada di jalan raya biasa atau di litar lumba.
Penggunaan teknologi seperti sistem kawalan kestabilan dan mod pemanduan yang boleh dipilih turut meningkatkan prestasi keseluruhan kereta ini.
Setiap model Type R direka dengan DNA perlumbaan yang jelas. Bermula dengan Honda NSX Type R pada tahun 1992.
Honda memanfaatkan pengalaman mereka dalam dunia perlumbaan, terutamanya dalam Formula 1, untuk membawa teknologi dan inovasi ke dalam model Type R.
Dalam segmen hatchback berprestasi tinggi, Civic Type R sering dibandingkan dengan model seperti Volkswagen Golf R, Ford Focus RS, dan Renault Megane RS.
Namun, Civic Type R selalu mendapat pujian kerana keseimbangannya antara kuasa, pengendalian, dan harga yang kompetitif.
Ia memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan tanpa perlu mengorbankan kemudahan harian seperti ruang kabin yang luas dan keselesaan.
Di Malaysia, Honda Civic Type R telah menjadi simbol status di kalangan peminat automotif. Meskipun harganya lebih tinggi berbanding model Civic biasa, peminat setia menghargai teknologi dan prestasi yang ditawarkan.
Dengan jalan raya dan lebuh raya yang semakin baik, Civic Type R adalah pilihan ideal bagi mereka yang mencari kereta dengan kuasa, kelajuan, dan pengendalian cemerlang.
Honda Type R, terutamanya Civic Type R, telah membuktikan dirinya sebagai salah satu kereta berprestasi tinggi yang paling dihormati di dunia.
Dengan enjin yang kuat, pengendalian yang mantap, dan warisan perlumbaan yang mendalam. Type R adalah pilihan sempurna untuk mereka yang mahukan lebih daripada sekadar pemanduan biasa.
Bagi penggemar automotif di Malaysia. Civic Type R menawarkan pengalaman memandu yang sukar ditandingi, menjadikannya salah satu model yang paling didambakan dalam segmen kereta prestasi.
Koleksi supercar merupakan sebuah topik yang amat teruja untuk dikongsikan lebih lagi jika ia dikumpul oleh selebriti yang kita kagumi. Sesetengah selebriti mengumpul perhiasan mahal, yang lain pakaian pereka fesyen terkemuka, manakala beberapa memilih untuk melabur dalam kenderaan berprestasi tinggi.
Supercar adalah tahap di mana kelajuan dan gaya bertemu, menjadikannya simbol status dan kejayaan yang paling menyerlah. Dari selebriti yang hanya mengumpul kenderaan berwarna hitam kepada bintang yang memiliki sebuah Pagani 1-1, kita akan melihat beberapa koleksi supercar selebriti yang paling memukau pada tahun 2024.
Ronaldo mempunyai koleksi supercar yang anda akan jangkakan dari seseorang yang bernilai $849 juta (RM4.06 bilion). Garaj pemain bola sepak ini merupakan pameran mewah dan berprestasi, dengan pelbagai kenderaan mewah yang laju dan mengagumkan.
Antara jenama kegemarannya termasuk Bugatti, Lamborghini, Ferrari, dan Rolls-Royce. Pengeluar-pengeluar ini tidak menjual produk mereka dengan murah, dan garaj-nya bernilai kira-kira $25 juta (RM120 juta).
Menurut khabar angin, Ronaldo dikatakan memiliki satu-satunya Bugatti La Voiture Noire yang pernah dibuat. Supercar ini adalah kemuncak kemewahan dan eksklusiviti, direka sebagai tanda penghormatan kepada Type 57 SC Atlantic.
Walaupun luarannya elegan dan tidak ditelan zaman, di bawah panel hud terdapat enjin W16 berkuasa 8.0 liter yang menakjubkan. Ia mampu menghasilkan 1,479 kuasa kuda dan 1,600 Nm tork dengan kelajuan maksimum 420km/j. 0 ke 100 hanya 2.4 saat sahaja.
Ini tetap menjadi salah satu kereta termahal yang pernah dijual. Harga bagi model 1 dari 1 ini dianggarkan $18.7 juta (RM89.4 juta).
Tahun ini, Ronaldo menambah SUV pertama Ferrari ke dalam koleksinya. Kereta biru gelap ini mempunyai interior kulit tan, dan apabila Ronaldo berkongsi pembelian tersebut di Instagram, dia berposing dengan pakaian treking Gucci yang sepadan.
Dikatakan sebagai salah satu SUV yang paling diminati di pasaran, Purosangue mempunyai enjin V-12 6.5 liter dan mampu mencapai 0-97 km/jam dalam masa 3.2 saat. Sebuah Purosangue berharga RM5 juta.
Ronaldo adalah salah satu dari hanya 10 orang yang beruntung, berjaya mendapatkan sebuah Bugatti Centodieci. Reka bentuk kereta ini diilhamkan daripada Bugatti Chiron, dan dibuat sebagai penghormatan kepada Bugatti EB 110 yang ikonik.
Centodieci berwarna putih mutiara Ronaldo boleh mencapai 100 km/j dalam 2.4 saat dan mempunyai kelajuan tertinggi 386 km/j. Ronaldo sangat menyukai Bugatti ini sehingga dia menghantarnya ke Pulau Mallorca, Sepanyol ketika dia bercuti bersama keluarganya ke pulau itu.
Ronaldo pernah dilihat membawa Ferrari-nya yang seperti kapal angkasa untuk mengelilingi Portugal pada Mac 2024. Daytona mempunyai enjin Ferrari yang paling berkuasa, iaitu enjin V-12 6.5 liter natural-aspirated.
Ia memecut dari 0-97 km/jam dalam hanya 2.85 saat dan mempunyai 829 kuasa kuda dan 697 Nm tork. Ia cukup unik, dengan hanya 599 model sahaja dihasilkan, semua telah terjual.
Dengan nilai bersih $450 juta (RM2.1 billion), juara tinju yang bersara ini suka membuat pembelian yang mewah. Jet peribadinya berharga $50 juta (RM240 juta) dan ramai membandingkannya dengan istana, manakala satu daripada jam tangan dalam koleksinya bernilai $1.4 juta (RM6.69 juta).
Kemudian, ada koleksi supercar-nya yang luar biasa, yang menampilkan beberapa model yang menakjubkan.
Koenigsegg CCXR Trevita adalah salah sebuah kereta terpantas di planet ini pada suatu ketika, mampu mencapai 399 km/jam (248 mph). Mayweather suatu ketika dulu pernah viral kerana mengisi garajnya dengan supercar berwarna hitam sahaja, namun membuat pengecualian untuk model yang luar biasa ini.
Pengeluar supercar Sweden itu bermatlamat untuk mengubah badan karbon serat hitam tradisional menjadi warna putih berkilauan ‘berkilauan, putih- perak’. Apabila matahari menyinari kereta ini, ia bersinar seolah-olah diliputi oleh jutaan berlian kecil.
Syarikat itu ingin membuat tiga tetapi prosesnya begitu rumit, hanya ada dua yang wujud. Dua barang koleksi ini masing-masing mempunyai enjin V8 4.7 liter yang menghasilkan 1,018 kuasa kuda.
Seorang paparazi pernah bertanya kepada Mayweather bagaimana keadaan Bugatti barunya, dan dia menjawab seperti hanya seorang jutawan sejati yang boleh. “Yang mana? Saya mempunyai banyak,” katanya.
Salah satu modelnya adalah Bugatti Veyron, dianggap sebagai salah satu supercar yang paling luar biasa yang pernah dihasilkan. Hanya menukar minyak hitam pada raksasa ini akan menelan belanja RM119,000 ($25,000).
Ia mempunyai enjin W16 berkuasa 8.0 liter di bawah hudnya, menghasilkan kuasa 1,001 kuasa kuda yang luar biasa. Kuasa enjinnya yang padu bersama dengan aerodinamiknya bermakna Veyron dapat mencapai kelajuan 402 km/jam (250 mph) dan mencapai 0-97 km/jam dalam hanya 2.5 saat.
Apabila berita mengenai Mayweather telah menjual Veyronnya dengan harga yang lebih tinggi daripada harga belinya tersebar luas, Bugatti telah menyenarai hitam bintang sukan itu.
Tidak menghairankan ‘Money’ Mayweather memadankan Urusnya dengan rekaan dalaman hijau. Kenderaan ini mempunyai prestasi kuasa yang tinggi, iaitu enjin V8 turbo 4.0 liter. Ia boleh menghasilkan 650 kuasa kuda dan 850 Nm tork.
Ini menjadikan model SUV paling praktikal dan berkuasa pernah dihasilkan Lamborghini. Urus adalah salah satu SUV terpantas di dunia, mampu mencapaii 0-97 km/jam dalam 3.6 saat.
Mayweather adalah peminat pengeluar Itali, dengan sebuah Murciélago, Aventador, dan sebuah Huracán dalam koleksinya juga.
Sebagai peminat Mercedes-Benz yang lama, Mayweather mempunyai sebuah Maybach S600, beberapa G-Wagens, dan sebuah SLS AMG di dalam simpanannya. Namun, SLR McLaren-nya adalah salah satu yang paling dikagumi.
Hanya ada 150 yang dihasilkan daripada kolaborasi unik ini antara McLaren dan pengeluar Jerman itu, 25 daripadanya adalah edisi istimewa tambahan. Tentu saja, Mayweather harus mendapatkan salah satu model-model khas ini, yang menonjol dengan hud oren terang.
Dengan enjin V8 super-berkapasiti 5.4 liter, ia boleh mencapai kelajuan tertinggi 336 km/jam (209 mph) dan memecut dari 0-97 km/jam dalam 3.6 saat.
Untuk memenuhi syarat untuk membeli Aperta, pelanggan harus memiliki sebuah Ferrari LaFerrari dahulu, dan untungnya Mayweather memilikinya. Dia membelanja dirinya dua buah, satu putih dan satu merah Rosso klasik.
LaFerrari Aperta dikuasakan oleh enjin V12 6.3 liter dipasangkan dengan motor elektrik, menghasilkan 949 kuasa kuda. Ia mempunyai kelajuan tertinggi 349 km/jam (217 mph) dan dapat memacu dari 0-97 km/jam dalam 2.8 saat sahaja.
Harga sebenar bagi memiliki La Ferrari Aperta dikatakan berbeza mengikut senarai pembeli yang dipilih oleh Ferrari, namun anggaran sebuah model Aperta dikatakan $2 juta atau RM9.56 juta.
Lewis Hamilton mempunyai akses kepada beberapa kereta paling luar biasa di dunia, sama ada di litar atau di luar litar. Hamilton jelas mempunyai keutamaan untuk Ferrari; sesuai dengan penukaran beliau dari Mercedes ke pasukan F1 Scuderia Ferrari untuk musim 2025.
Sebenarnya, beberapa Ferrari dalam koleksinya hanya boleh dibeli oleh pengumpul Ferrari yang diluluskan. Selain Ferrari 599, LaFerrari, dan LaFerrari Aperta, beliau mempunyai beberapa supercar yang membanggakan di dalam garaj-nya.
Kereta ini dibuat khas untuk Hamilton, itulah yang dimaksudkan dengan singkatan ‘LH’. Zonda adalah hasil kemewahan dan prestasi, direka mengikut keutamaan unik pemandu F1.
Dengan enjin V12 natural-aspirated, ia memberikan 760 kuasa kuda dan kelajuan tertinggi 354 km/jam (220 mph). Dia bahkan memintanya dicat dengan warna ungu kegemarannya.
Pada tahun 2015, Lewis pernah terlibat kemalangan kecil dengan Zonda terbabit namun masih menyimpannya sehingga hujung 2021. Ia kemudian bertukar pemilik dari UK sebelum viral akibat kemalangan ketika ‘test power’ di dalam sebuah terowong di Wales.
Istimewanya model ini adalah a) Pemilik asal ialah Lewis Hamilton b) Zonda pertama dengan transmisi manual dan c) sebuah model 1 dari 1.
AMG ONE dianggap sebagai salah satu kereta paling berkuasa Mercedes. Hamilton sebenarnya terlibat dalam proses pembangunannya, mengambil prototaip untuk pandu uji dan menala apa yang perlu.
Ia pada dasarnya adalah sebuah hiperkereta yang sah di jalan raya, teknologinya di-inspirasi oleh kereta lumba Formula 1. Pasukan Formula 1 Mercedes-AMG Petronas menyediakan rangkaian kuasa hibrid, enjin turbo 1.6 liter V6 ditambah beberapa motor elektrik. Ya, enjin hanya berkapasiti 1.6 liter sahaja, hebat, bukan?
Ia boleh mencapai lebih daripada 322 km/jam (200 mph), menghasilkan 1,063 kuasa kuda. Hanya ada 275 buah yang dibuat, satu daripadanya Supercar Blondie Alex Hirschi ada memasarkan di kedai online beliau; SBXCars.com.
Melihat bahawa Hamilton membeli satu untuk bapanya juga, kita hanya boleh berharap dia mendapat diskaun pekerja. Memandangkan sebuah AMG-ONE ini berharga $3.5 juta (RM16.7 juta).
McLaren F1 juga turut berada dalam koleksi pecinta petrol selain dari Hamilton, termasuk Jay Leno, Elon Musk dan Ralph Lauren. Ia sangat eksklusif, dengan hanya 106 yang pernah dihasilkan.
McLaren sendiri menggambarkannya sebagai salah sebuah ‘supercar terhebat yang pernah dibina’, gelaran yang sesuai untuk kereta jalanan yang terpantas di dunia.
McLaren F1 digerakkan oleh enjin V12 6.1 liter yang berkuasa, menghasilkan 627 kuasa kuda. Kuasa ini memecut F1 dari 0-97 km/jam dalam hanya 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi yang mengagumkan 372 km/jam (231 mph).
Leno mungkin seorang selebriti pengumpul koleksi supercar yang paling terkenal di dunia. Koleksinya termasuk beberapa spesimen yang susah jumpa, ada juga antaranya yang dia sendiri terlibat dalam reka bentuk.
Hypercar hibrid ini mempunyai enjin V8 3.8 liter turbo dikombinasikan dengan motor elektrik. P1 berorientasikan prestasi, menghasilkan 903 kuasa kuda dan 900 Nm tork.
Kebolehcapaiannya memecut adalah luar biasa, mencapai 0-97 km/jam dalam 2.8 saat dengan kelajuan tertinggi yang dihadkan secara elektronik kepada 349 km/jam (217 mph).
Dalam pada itu, hanya 375 unit daripada reka bentuk ikonik ini yang dihasilkan, satu daripadanya merupakan milik Leno.
Dodge Viper GTS 2013 adalah salah satu keretanya yang lebih murah – relatif. Ia mempunyai enjin V10 8.4 liter yang kuat, menghasilkan 640 kuasa kuda.
Ini adalah Viper generasi kelima, dan Leno memiliki setidaknya dua generasi lain dari kereta Amerika yang ikonik ini. Viper diraikan untuk campuran klasik dengan kemampuan supercar moden, menjadikannya spesimen menonjol dalam koleksinya.
Walaupun ramai selebriti memiliki kereta mewah, hanya pencinta sejati yang bersedia melabur masa dan wang untuk membina koleksi supercar. Koleksi-koleksi ini melebihi sekadar paparan kekayaan, mereka memberikan kita wawasan tentang keutamaan dan keutamaan unik pengumpul kereta di luar sana.
Trend datang dan pergi, sifat mereka yang ‘rare’ dan eksotik memberikan daya tarikan yang abadi pada supercar. Sesetengah selebriti menunjukkan kesetiaan jenama, manakala yang lain memberi keutamaan kepada rasa peribadi atau potensi pelaburan apabila menambah koleksi mereka.
Seiring dengan perkembangan industri supercar yang merangkumi model elektrik dan hibrid, koleksi supercar selebriti dijangka akan menyesuaikan diri, memastikan mereka tetap berada di hadapan inovasi dan kemewahan automotif.
Ducati sekali lagi membuktikan keunggulannya dengan pengenalan Panigale V4 Tricolore Italia. Sebuah model edisi khas yang menampilkan teknologi canggih dan juga membawa semangat permotoran Itali.
Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, hanya 163 unit akan dikeluarkan, menjadikannya sebuah koleksi eksklusif yang bernilai tinggi. Setiap satu motosikal ini turut mendapat sentuhan istimewa dengan tandatangan asli juara dunia MotoGP dua kali. Francesco Bagnaia – terletak pada penutup tangki.
Pada 2 Jun 2024, bersempena Hari Republik Itali, Ducati Lenovo Team telah berlumba dalam Grand Prix Itali. Jentera yang dihiasi warna biru muda khas – warna ikonik pasukan sukan kebangsaan Itali.
Perlumbaan itu menyaksikan kejayaan berganda dengan dua pelumba Itali mendominasi podium. Mencipta detik bersejarah bagi sukan permotoran negara tersebut. Panigale V4 Tricolore Italia dicipta bagi memperingati detik istimewa ini. Mengambil inspirasi daripada jentera Desmosedici GP24 yang mencipta kemenangan di Mugello.
Tidak hanya tampil dengan livery eksklusif, model ini turut dilengkapi dengan komponen berprestasi tinggi yang diambil terus daripada perlumbaan Superbike Dunia (WorldSBK).
Antara yang paling menonjol ialah brek Brembo T-Drive bersirip dengan cakera berdiameter 338.5 mm serta angkup monoblok GP4 Sport Production.
Reka bentuk angkup ini menampilkan sirip penyejukan yang membantu mengawal suhu semasa membrek, menjadikannya ideal untuk penggunaan trek yang ekstrem.
Bukan itu sahaja, rim gentian karbon lima jejari yang digunakan bukan sahaja lebih ringan. Malah membantu mengurangkan inersia sebanyak 12% di hadapan dan 19% di belakang berbanding rim forged yang digunakan pada Panigale V4 S.
Hasilnya, motosikal ini lebih lincah ketika mengambil selekoh dan lebih stabil ketika memecut keluar dari selekoh.
Panigale V4 Tricolore Italia juga menampilkan beberapa perincian eksklusif yang menambahkan nilai istimewa sebagai motosikal edisi terhad.
Setiap unit dilengkapi dengan kepala stereng aluminium yang diukir dengan nombor siri unik, serta paparan dashboard khas dengan animasi tersuai.
Lebih menarik, silkscreen litar Mugello turut dicetak sebagai penghormatan kepada kejayaan Ducati di Itali.Satu lagi sentuhan eksklusif ialah kunci pencucuhan yang diperbuat daripada aluminium dengan nombor siri terukir padanya. Menambah lagi elemen koleksi kepada jentera ini.
Ini semua menjadikan Panigale V4 Tricolore Italia bukan sekadar motosikal, tetapi satu simbol kejayaan dan kebanggaan sukan permotoran Itali.
Pelancaran Rasmi Yamaha Tracer 9 GT di Malaysia
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) membuka tirai tahun 2026 dengan pelancaran Yamaha Tracer 9 GT serba baharu...