Kolaborasi Ikonik MINI dan Paul Smith Kini Di Pasaran Tempatan
Auto Bavaria baru-baru ini memperkenalkan MINI Paul Smith Edition kepada pelanggan dan peminat jenama MINI di Kuala Lumpur. Model edisi khas ini kini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White dan Statement Grey, menampilkan gabungan rekaan unik serta sentuhan gaya daripada pereka terkenal, Paul Smith.
MINI Paul Smith Edition
Pelancaran ini berjaya menarik kehadiran lebih 200 tetamu terdiri daripada pelanggan setia serta komuniti “MINIacs”, yang hadir untuk melihat sendiri perincian reka bentuk serta elemen estetika yang membezakan edisi ini daripada model MINI lain.
Menurut wakil MINI Malaysia, edisi Paul Smith ini mencerminkan semangat kreativiti serta kebebasan ekspresi yang sinonim dengan jenama MINI.
Ia bukan sekadar sebuah kereta, tetapi juga simbol gaya hidup dengan sentuhan eksklusif yang menonjolkan personaliti pemiliknya.
Ads
Barisan Edisi Terhad Lengkap Dipamerkan
Selain model utama, Auto Bavaria turut mempamerkan beberapa edisi istimewa lain seperti MINI Countryman Stealth Limited Edition, Countryman Shadowline Limited Edition, MINI 1965 Victory Edition serta MINI John Cooper Works GP Inspired Edition.
Kesemua model ini dihasilkan dalam jumlah terhad, sekali gus mengekalkan elemen eksklusiviti dalam pasaran.
Tidak terhad kepada pameran, para tetamu turut diberi peluang mencuba sesi pandu uji pada waktu malam. Ini membolehkan mereka merasai sendiri karakter pemanduan “go-kart handling” yang menjadi keunikan MINI, dengan latar suasana bandar Kuala Lumpur yang lebih hidup.
Ads
Menurut pihak pengurusan Auto Bavaria, acara ini direka sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan melalui komuniti eksklusif mereka, Vibrant Society.
Pendekatan ini menekankan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar jualan dan servis selepas jualan.
Ads
Acara ini turut memperlihatkan komitmen Auto Bavaria dalam menawarkan pengalaman premium kepada pelanggan, selari dengan reputasi mereka yang telah meraih pelbagai anugerah selama lebih sedekad.
Dengan rangkaian bilik pameran di beberapa lokasi utama seperti Ara Damansara, Kuala Lumpur, Balakong, Pulau Pinang dan Tebrau, mereka terus memperkukuh peranan dalam membangunkan komuniti automotif berteraskan gaya hidup MINI.
Motor Morini meneruskan kebangkitannya sebagai jenama motosikal Eropah yang kembali digeruni apabila memperkenalkan tiga model baharu dalam segmen pengembaraan dan touring iaitu ALLTRHIKE 450, X-CAPE 700, dan X-CAPE 1200.
Pelancaran rasmi ini berlangsung di White Swan Hotel, China, bersempena dengan Mforce Top 68 Media Trip dan perasmian ini menjadi kebangkitan semula Moto Morini untuk mengembangkan semula pengaruhnya di pasaran global, termasuk Malaysia.
Moto Morini merupakan jenama motosikal Itali yang diasaskan oleh Alfonso Morini di Bologna pada tahun 1937, dan sejak era pascaperang lagi telah dikenali sebagai pengeluar yang mengutamakan inovasi kejuruteraan.
Bermula dengan enjin satu silinder dua-lejang pada model T125 pada 1946, Moto Morini terus berkembang dengan menghasilkan enjin empat-lejang seperti Corsaro Gran Turismo yang menjadi mercu tanda kemajuan mereka.
Sepanjang era 1950-an hingga 1960-an, jenama ini turut mencipta reputasi kukuh melalui kemenangan dalam beberapa kejuaraan Itali dan Grand Prix. Hari ini, Moto Morini kekal sebagai salah satu daripada 10 jenama motosikal Eropah paling berpengaruh, dengan rangkaian pengedar global yang terus memperkukuh kedudukannya sebagai pilihan utama peminat motosikal di seluruh dunia.
Sebagai model paling ringan dalam barisan ini, ALLTRHIKE 450 direka khusus untuk penunggang yang mahukan motosikal touring yang mudah dikawal tetapi masih menawarkan prestasi yang meyakinkan di pelbagai jenis permukaan jalan.
Model ini menggunakan enjin 449.5 cc dua silinder DOHC 8-injap, menghasilkan 33 kW (44.3 hp) pada 8,000 rpm dan 42 Nm pada 6,500 rpm.
Suspensi merupakan antara fokus utamanya, motosikal ini menggunakan fork depan daripada jenama KYB yang boleh dilaras sepenuhnya dan penyerap hentak di bahagian belakang pula juga menggunakan jenama KYB dengan “pre-load” dan “rebound” boleh laras.
Hadir dengan tayar 21 inci di bahagian hadapan dan 18 inci di bahagian belakang menonjolkan lagi model ini sebagai sebuah motosikal adventure sebenar.
Komponen mekanikal lain termasuk “Slipper Clutch” F.C.C, ABS dua saluran, dan paparan TFT 6 inci.
Dengan tangki 18.5 liter serta berat kendalian 190 kg, ALLTRHIKE 450 sesuai digunakan sebagai motosikal “adventure” yang mampu untuk menempuh laluan off-road sederhana tetapi masih selesa ditunggang dan mudah untuk dikendalikan.
Harga motosikal ini untuk pasaran Malaysia bermula pada RM28,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), dan ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Grey, Green dan White.
Motosikal yang berada di kedudukan tengah barisan motosikal “adventure” Motor Morini ialah model X-CAPE 700. Motosikal ini menggabungkan ciri-ciri motosikal touring jarak jauh dengan tahap keupayaan off-road yang lebih mantap.
Dikuasakan enjin 693 cc dua silinder, ia menghasilkan 55 kW (73.7 hp) dan 68 Nm, sesuai untuk perjalanan jauh dan tunggangan yang lasak.
Model ini hadir dengan suspensi Marzocchi di bahagian hadapan dan suspensi daripada jenama KYB di bahagian belakang, kedua-duanya boleh laras untuk menyesuaikan gaya tunggangan.
Bahagian brek hadapan pula dilengkapi dengan cakera berkembar depan dengan angkup 4-piston serta bahgian brek belakang cakera 2-piston. Padanan tayar 110/80-19 di depan dan 150/70-17 di belakang, bersama jarak gerak suspensi 165 mm depan dan 160 mm belakang.
Selain itu, X-CAPE 700 mempunyai berat kering 213 kg, tangki 18 liter, jarak roda 1,490 mm, serta ketinggian tempat duduk 810–835 mm mengikut konfigurasi.
Di Malaysia, motosikal ini ditawarkan pada harga RM33,888 dengan 2 pilihan warna iaitu Black atau Red, lengkap dengan kotak travel yang hadir sebagai standard.
Model paling besar dalam acara pelancaran ini adalah model X-CAPE 1200. Motosikal ini menggunakan enjin V-twin 1,187 cc menghasilkan 95 kW (127 hp) pada 8,750 rpm dan 106 Nm pada 7,000 rpm.
Ia hadir dengan ciri elektronik lebih lengkap termasuk Cornering ABS Bosch 9.3MP, Quickshifter, paparan TFT 7 inci, Bluetooth, serta pelindung angin boleh laras.
Suspensi hadapan motosikal ini menggunakan fork USD KYB 48 mm dengan jarak gerak 192.4 mm dan penyerap hentak di bahagian belakang pula menggunakan jenama KYB yang boleh dilaras.
Dengan tangki 24.5 liter, berat 283 kg, serta padanan tayar 19 inci depan dan 19 inci belakang, X-CAPE 1200 direka sebagai sebuah motosikal “touring” jarak jauh yang stabil dan selesa untuk perjalanan yang mengambil masa berjam-jam.
Harga rasmi untuk pasaran Malaysia bagi model ini ialah RM49,888 dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu Black dan Red.
Ketiga-tiga model ini akan dipasarkan secara rasmi di Malaysia melalui rangkaian pengedar sah MForce Bike Holdings. Pemilik turut menikmati waranti dua tahun tanpa had perbatuan, selain akses pembelian alat ganti tulen secara atas talian.
Moto Morini menegaskan bahawa spesifikasi boleh berubah mengikut keperluan homologasi tempatan apabila model ini memasuki pasaran.
Yamaha RXZ menjadi bualan terkini apabila diketahui mula aktif diseludup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok di Kelantan.
Ribuan Abdullah, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), menyatakan bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merekodkan lima komoditi utama yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi sejak awal tahun hingga Mac.
Antara komoditi tersebut ialah kenderaan, rokok, dadah, minuman keras, dan tekstil, serta kes lain yang melibatkan 1,856 kes.
Menurut Ribuan, nilai rampasan untuk tempoh tersebut mencapai RM350.18 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 181.72 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya yang hanya RM124.30 juta.
“Dari segi kenderaan, sebanyak 221 kes telah direkodkan dengan rampasan sebanyak 385 unit, bernilai RM27.55 juta. Antara kenderaan yang dirampas termasuklah Yamaha RXZ, Toyota Vellfire, Alphard, dan Mercedes,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM pada hari Selasa.
Ribuan menjelaskan bahawa modus operandi penyeludupan kenderaan melibatkan pengimportan dari negara jiran sebelum dijual dengan harga yang lebih murah. Bagi kes Yamaha RXZ, motosikal tersebut didapati diseludup masuk melalui Sungai Golok menggunakan perahu atau dengan menggunakan kenderaan lori.
Aktiviti penyeludupan ini mula aktif sejak dua tahun lalu apabila harga pasaran meningkat mendadak hingga kira-kira RM15,000 seunit. Untuk mengatasi isu ini, tindakan telah diambil dengan menempatkan anggota risikan di kawasan tepi sungai untuk mengesan aktiviti penyeludupan ini.
Selain kenderaan, komoditi lain yang direkodkan dengan rampasan tinggi adalah rokok dengan 711 kes dan lebih 125 juta batang, dengan nilai rampasan sebanyak RM10.61 juta.
Sementara itu, rampasan dadah mencapai 139 kes dengan 847.41 kilogram dadah bernilai RM29.56 juta. Minuman keras dan tekstil juga menjadi sasaran dengan rampasan masing-masing sebanyak 244 kes dan 14 kes, dengan nilai rampasan masing-masing sebesar RM8.92 juta dan RM3.85 juta.
Ribuan menegaskan bahawa orang awam perlu turut serta membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan. Mereka juga diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti yang melibatkan penyeludupan untuk memastikan keselamatan dan kedamaian negara terjamin.
Dunia automotif baru sahaja menerima berita yang cukup menggemparkan.
Nissan melalui laman sesawang https://www.nissan.co.jp/ secara rasmi menghentikan tempahan untuk Nissan GT-R R35.
Pengumuman ini menandakan berakhirnya satu era bagi model ikonik yang telah mendominasi segmen kereta sukan sejak pelancarannya pada tahun 2007.
Dalam satu kenyataan rasmi daripada laman web Nissan Jepun, mereka menyatakan:
“We have received many orders for the Nissan GT-R, and we have now finished accepting orders for the planned production quantity. We would like to express our sincere gratitude to our many customers for their patronage over the years since its release in 2007.”
Penghentian tempahan ini menimbulkan spekulasi besar dalam kalangan peminat automotif.
Adakah ini benar-benar penamat bagi GT-R, atau adakah Nissan sedang merancang sesuatu yang lebih besar untuk menggantikan model ini?
Sejak dilancarkan hampir dua dekad yang lalu, Nissan GT-R R35 telah menjadi simbol kehebatan teknologi dan kejuruteraan Jepun.
Dikenali dengan julukan “Godzilla”, model ini bukan sahaja terkenal dengan reka bentuk aerodinamiknya, malah turut mengagumkan dengan enjin VR38DETT 3.8L twin-turbo V6 yang mampu menghasilkan kuasa luar biasa.
Dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan teknologi transmisi klac berkembar, GT-R R35 menjadi pilihan utama bagi mereka yang inginkan prestasi tinggi di jalan raya mahupun di litar.
Sepanjang hayatnya, Nissan GT-R R35 telah melalui beberapa kemaskini signifikan, termasuk peningkatan dari segi aerodinamik, sistem suspensi, dan teknologi keselamatan.
Walaupun usianya semakin bertambah, model ini masih mampu memberikan saingan kepada kereta sukan moden dari jenama Eropah yang jauh lebih muda.
Ramai tertanya-tanya sama ada Nissan akan memperkenalkan pengganti kepada GT-R R35 atau tidak.
Ada spekulasi bahawa Nissan mungkin sedang membangunkan model GT-R baharu dengan teknologi elektrifikasi, sejajar dengan trend industri automotif yang semakin beralih kepada kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.
Namun, setakat ini, Nissan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai masa depan siri GT-R.
Jika ini benar-benar pengakhiran untuk GT-R tanpa pengganti, ia pasti menjadi satu kehilangan besar dalam dunia automotif.
Sejak debutnya dengan model Skyline GT-R pada tahun 1969, nama GT-R telah menjadi sinonim dengan keunggulan prestasi dan teknologi canggih.
Daripada model R32 yang memperkenalkan sistem ATTESA E-TS hingga ke R34 yang menjadi ikon untuk model ini, GT-R sentiasa berada di barisan hadapan dalam dunia kereta sukan.
Nissan GT-R R35 meneruskan warisan tersebut dengan membawa teknologi dan prestasi ke tahap baharu, menjadikannya salah satu kereta sports paling dihormati di dunia.
Dengan pencapaiannya di litar Nürburgring dan pengaruh besar dalam budaya kereta JDM, legasi GT-R tidak akan mudah dilupakan.
Walaupun pengumuman ini membawa sedikit kekecewaan kepada peminat GT-R, satu perkara yang pasti – Nissan GT-R R35 telah mencipta sejarah sebagai salah satu kereta sukan paling ikonik sepanjang zaman.
Jika ini benar-benar penghujung bagi GT-R, maka kita boleh katakan bahawa ia telah mengakhiri perjalanannya dengan penuh gemilang.
Namun, siapa tahu? Mungkin Nissan sedang merancang sesuatu yang lebih hebat untuk masa depan.
Buat masa ini, kita hanya mampu menantikan berita rasmi seterusnya daripada Nissan.
GWM Perkukuh Pengalaman Pemilikan Menerusi Kerjasama Touch ’n Go
GWM Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan Touch ’n Go Sdn. Bhd. bagi meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan...