
SAIC Motor Malaysia bakal memanfaatkan pentas Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 untuk memperlihatkan fasa baharu perkembangan jenama MG di Malaysia menerusi pelbagai model terkini yang memfokuskan kepada elektrifikasi, teknologi pintar dan mobiliti premium.
Pameran yang bakal berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur dari 12 hingga 21 Jun 2026 itu dijangka menjadi antara penampilan terbesar MG setakat ini di pasaran tempatan.
Antara model yang bakal mencuri perhatian ialah MG ZS generasi baharu yang akan diperkenalkan dalam dua pilihan trenkuasa iaitu Hybrid+ dan enjin turbo.
Kehadiran SUV kompak ini mencerminkan strategi MG untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia yang kini semakin cenderung kepada teknologi cekap bahan api dan kenderaan elektrifikasi.
Model baharu ini turut menampilkan reka bentuk terkini MG yang menggabungkan elemen moden, teknologi canggih serta tahap kecekapan yang lebih baik berbanding model terdahulu.
Menariknya, pengunjung KLIMS 2026 juga berpeluang mengikuti sesi khas bersama Jozef Kabaň, Naib Presiden Pusat Rekaan Global SAIC Motor.
Beliau akan berkongsi falsafah dan hala tuju reka bentuk yang bakal membentuk generasi baharu model-model MG pada masa hadapan, sekali gus memberikan gambaran awal tentang evolusi jenama itu di peringkat global.
KLIMS 2026 turut menjadi pentas debut rasmi jenama premium IM (Intelligence in Motion) di Malaysia.
Model yang bakal menjadi tumpuan ialah IM6, sebuah SUV elektrik pintar premium yang mewakili visi masa depan SAIC dalam segmen EV mewah.
IM6 menampilkan gabungan teknologi pintar, reka bentuk futuristik dan pengalaman pemanduan elektrik yang lebih premium, sekali gus memperlihatkan aspirasi SAIC untuk bersaing dalam segmen kenderaan elektrik kelas atasan.
Selain pameran produk, MG turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung termasuk pertandingan media sosial dengan hadiah menarik.
Pengunjung juga berpeluang mencuba sendiri MG ZS Hybrid+ dan MGS5 EV menerusi sesi pandu uji yang disediakan sepanjang acara berlangsung. Sebagai penghargaan, setiap individu yang menyertai pandu uji akan menerima secawan kopi percuma.
Bagi menambah kemeriahan suasana, persembahan catwalk yang berlangsung setiap dua jam akan menampilkan model memperagakan kebaya tradisional sebagai simbol penggabungan budaya Malaysia dalam pengalaman jenama MG.
Baca Juga : MG S5 EV CKD Pertama Keluar Dari Kilang Melaka
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.