MG Perluas Rangkaian, Buka Pusat 3S Pertama di Rawang
SAIC Motor Malaysia terus memperkukuh kehadiran jenama MG di Malaysia menerusi pembukaan pusat 3S pertamanya di Rawang, Selangor yang dikendalikan oleh SNS Kembara Utama Sdn. Bhd.
Pembukaan fasiliti baharu ini memberi akses lebih dekat kepada pelanggan di Rawang dan kawasan sekitarnya untuk melihat serta mendapatkan model-model MG, selain bakal menawarkan kemudahan selepas jualan apabila operasi pusat servis dimulakan sepenuhnya.
Terletak di Kawasan Perindustrian Hi-Tech Rawang, pusat 3S berkenaan beroperasi di sebuah bangunan kilang berkembar satu setengah tingkat dengan keluasan kira-kira 1,200 meter persegi.

Selain ruang pameran, fasiliti tersebut turut menyediakan ruang menunggu khusus pelanggan yang dilengkapi kemudahan Wi-Fi serta hidangan ringan bagi memberikan pengalaman lebih selesa ketika berkunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif SNS Kembara Utama Sdn. Bhd., Syed Nasrul Azmi Syed Mahmud berkata, pembukaan pusat berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting buat syarikat dalam memperluaskan operasi automotifnya.
Menurut beliau, kehadiran pusat 3S MG di Rawang membolehkan syarikat menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pelanggan, bermula daripada melihat rangkaian model terkini sehinggalah mendapatkan sokongan selepas jualan apabila fasiliti servis mula beroperasi kelak.
Pada masa sama, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia Sdn. Bhd., Emory Qi berkata, peluasan rangkaian pengedar kekal sebagai salah satu komponen penting dalam strategi pertumbuhan MG di Malaysia.
Pembukaan pusat baharu kendalian SNS Kembara Utama itu bukan sahaja memperkukuh kehadiran MG di kawasan Rawang, malah menjadi sebahagian daripada usaha jenama tersebut membangunkan rangkaian jualan dan selepas jualan yang lebih meluas serta konsisten di seluruh negara.

Dengan pembukaan fasiliti terbaharu ini, rangkaian MG di Malaysia kini merangkumi 26 pusat jualan dan servis di seluruh negara.
Pusat 3S MG Rawang mula beroperasi secara rasmi pada 17 Ogos 2026, dengan waktu operasi dari 9.00 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Sabtu, manakala pada Ahad dan cuti umum, pusat berkenaan dibuka dari 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

Pelanggan juga boleh mengunjungi pusat tersebut untuk melihat rangkaian model MG terkini serta membuat janji temu pandu uji, termasuk bagi model elektrik MGS5 EV.
SNS Kembara Utama sendiri mempunyai hampir 19 tahun pengalaman dalam industri automotif, merangkumi kerja pembaikan, penyelenggaraan dan perdagangan kenderaan bermotor.
Syarikat itu turut mengendalikan tiga cawangan Ford di Ipoh sebelum memperluaskan operasi runcit dan selepas jualannya menerusi pembukaan pusat 3S MG di Rawang.
Baca Juga : MG ZS Hybrid+ Dipertontonkan di KLIMS 2026, Tempahan Awal Kini Dibuka
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!
![[Key Visual] - (Facade) New MG 3S Centre in Rawang](https://cdn.rodapanas.my/2026/08/Key-Visual-Facade-New-MG-3S-Centre-in-Rawang-696x522.png.webp)

