Automotif

Hab Pengangkutan Bersepadu LaLaport BBCC Kini Mula Beroperasi

Share

Hab Baharu LaLaport BBCC Mudahkan Perjalanan ke Singapura dan KLIA

Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) secara rasmi melancarkan LaLaport Transportation Hub (LTH), sebuah hab pengangkutan bersepadu yang dibangunkan bagi menawarkan perjalanan lebih mudah dan efisien kepada penumpang tempatan serta antarabangsa.

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, kemudahan ini bakal berfungsi sebagai salah satu hab utama perkhidmatan bas ekspres di pusat bandar, khususnya bagi perjalanan rentas sempadan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat Hannah Yeoh.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azrin Borhan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud; serta Duta Jepun ke Malaysia, TYT Noriyuki Shikata.

Diiktiraf APAD dan Diluluskan DBKL

Pembangunan LTH dilaksanakan dengan sokongan serta panduan daripada pihak kerajaan. Hab ini telah mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain diiktiraf dan dilesenkan oleh APAD.

LTH telah mula beroperasi secara berperingkat sejak Februari 2026 sebagai sebuah pusat transit berpusat yang menyediakan infrastruktur berkualiti untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pembangunannya turut mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan apabila Menterinya, Yang Berhormat Anthony Loke, melakukan lawatan ke tapak berkenaan pada Januari 2026 bagi meninjau kemajuan projek sebelum operasi dimulakan.

11 Ruang Bas dan Ruang Menunggu Berpendingin Hawa

Terletak di Aras LG1, East Atrium LaLaport BBCC, LTH merupakan sebuah kemudahan berbumbung sepenuhnya yang dilengkapi dengan 11 ruang bas.

Penumpang turut disediakan ruang menunggu khas dengan pendingin hawa, kaunter perkhidmatan fizikal, mesin layan diri serta Sistem Paparan Maklumat Penumpang atau Passenger Information Display System (PIDS).

Melalui sistem berkenaan, penumpang boleh mendapatkan maklumat jadual dan pergerakan bas secara masa nyata sebelum memulakan perjalanan.

Kemudahan lain yang boleh digunakan termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pengurup wang, loker bagasi, pemantauan keselamatan 24 jam, Wi-Fi percuma dan tandas.

LTH turut menyediakan kemudahan mesra pengguna yang disesuaikan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Sambungan Terus ke LRT, Monorel dan MRT

Salah satu kelebihan utama LTH ialah kedudukannya yang dihubungkan secara strategik dengan beberapa rangkaian pengangkutan awam utama di ibu negara.

Penumpang boleh berjalan kaki terus ke Stesen LRT Hang Tuah dan Stesen Monorel Hang Tuah. Sambungan ke rangkaian MRT berdekatan juga memudahkan pertukaran perjalanan antara perkhidmatan rel dan bas.

Selain perkhidmatan bas ekspres, LaLaport BBCC turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan Boleh-Boleh Ride yang menghubungkan penumpang ke beberapa destinasi utama di sekitar Kuala Lumpur.

Zon khas mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan e-hailing turut disediakan di Pintu Masuk Pudu serta Pintu Masuk Hang Tuah.

Sekitar 30 Operator Bas Bakal Beroperasi

Kira-kira 30 operator bas dijangka menggunakan LTH sebagai salah satu pusat transit utama mereka di tengah Kuala Lumpur.

Tumpuan utama diberikan kepada perkhidmatan rentas sempadan Kuala Lumpur-Singapura, sekali gus menawarkan pilihan lokasi menaiki dan menurunkan penumpang yang lebih mudah diakses.

Hab ini turut menyediakan perkhidmatan van ulang-alik khas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2.

Kemudahan tersebut menawarkan alternatif pemindahan ke lapangan terbang yang lebih lancar, khususnya untuk pelancong yang berada di kawasan Bukit Bintang dan pusat bandar Kuala Lumpur.

Kurangkan Kebergantungan kepada Kereta Persendirian

Penggabungan beberapa mod pengangkutan di bawah satu lokasi turut menyokong usaha membangunkan ekosistem mobiliti bandar yang lebih mampan.

Dengan menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel, bas, perkongsian perjalanan serta penyelesaian perjalanan awal dan akhir, LTH berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.

Secara tidak langsung, pendekatan ini boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon dan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Kuala Lumpur.

Lokasinya yang berada dalam kawasan pembangunan merangkumi pusat beli-belah, ruang pejabat dan kediaman turut mewujudkan hubungan antara pengangkutan, aktiviti ekonomi serta pembangunan komuniti setempat.

Penumpang Boleh Akses Sekitar 300 Kedai

Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd., Masayoshi Saito berkata, pelancaran LTH merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur LaLaport BBCC.

Menurut beliau, hab tersebut bukan sahaja dibangunkan untuk melancarkan perjalanan penumpang tempatan dan antarabangsa, malah bagi menyokong agenda mobiliti mampan kerajaan serta pertumbuhan sektor pelancongan.

Kedudukan LTH di dalam LaLaport BBCC juga memberikan kelebihan kepada penumpang kerana mereka boleh menggunakan pelbagai kemudahan di pusat beli-belah tersebut sementara menunggu perjalanan.

LaLaport BBCC kini menempatkan kira-kira 300 premis merangkumi kedai makanan dan minuman, peruncitan barangan keperluan serta pelbagai pilihan hiburan.

Diinspirasikan Oleh Hab Pengangkutan di Jepun

Konsep LTH diinspirasikan daripada beberapa pembangunan hab pengangkutan bersepadu milik Mitsui Fudosan di Jepun.

Antaranya termasuk Tokyo Midtown Yaesu serta projek pembangunan semula Tsukiji yang menggabungkan infrastruktur pengangkutan, peruncitan dan kemudahan gaya hidup di bawah satu destinasi.

Penggunaan konsep yang telah terbukti di Jepun itu mencerminkan usaha Mitsui Fudosan untuk meningkatkan pengalaman perjalanan serta menyokong pembangunan bandar di sekitar LaLaport BBCC.

LTH dikendalikan oleh Asia Success Resources Sdn. Bhd. (ASR), sebuah syarikat pengendali hab pengangkutan yang turut mempunyai pengalaman menguruskan operasi di KLIA Terminal 2.

Pembangunan hab ini dilaksanakan dengan kerjasama Semba Corporation yang bertanggungjawab terhadap perancangan fungsi serta konsep reka bentuk keseluruhan ruang transit berkenaan.

Baca Juga : Hampir RM1 Juta! BMW M2 CS Rasmi di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi