
Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 bakal kembali untuk edisi ke-11 dengan tema “Beyond Mobility”, sekali gus menjadi antara acara automotif paling dinantikan tahun ini.
Acara tersebut akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur bermula 12 hingga 21 Jun 2026 dengan sasaran kehadiran melebihi 200,000 pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran.
Presiden Malaysian Automotive Association, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata industri automotif negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2025 mencatatkan 820,752 unit.
Menurut beliau, perkembangan teknologi automotif, peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) serta sokongan kerajaan terhadap industri mobiliti tempatan menjadi antara faktor utama pertumbuhan tersebut.
KLIMS 2026 bakal menghimpunkan pelbagai jenama automotif tempatan dan antarabangsa dalam satu lokasi.
Antara jenama yang disahkan menyertai acara ini termasuk Honda, Toyota, Proton, Perodua, Nissan, Mazda, Hyundai, Kia, MG Motor, smart, XPENG, Zeekr, GWM, Jetour, Wuling dan Dongfeng.
Selain model-model terkini, pengunjung juga dijangka dapat melihat pelbagai pelancaran model baharu, kereta konsep serta teknologi mobiliti masa depan.
KLIMS 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung dari semua peringkat umur.
Buat pertama kali, KLIMS memperkenalkan “Urban Play”, sebuah laluan khas yang direka untuk menguji kuasa, kawalan dan ketepatan pemanduan.
Selain itu, KLIMS 2026 turut bekerjasama dengan acara Riuh yang akan berlangsung pada hujung minggu terakhir pameran dengan pelbagai persembahan artis tempatan seperti FUGŌ, Kyoto Protocol, Adrian Danial dan TY:DEL.
Turut berlangsung ialah rakaman langsung podcast automotif The Overdrive Session, persembahan drumline Voice of Percussion serta fusion dance daripada Siluman Production.
Peminat dunia modifikasi dan sukan permotoran juga pasti teruja apabila KLIMS 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti Modified Car Battle, simulator perlumbaan, RC car track dan DJ Playground.
Lebih menarik, lebih 200 buah kereta daripada pelbagai kelab automotif dijangka mengambil bahagian sepanjang acara berlangsung.
Pengunjung juga boleh mencuba lebih 60 buah kenderaan menerusi sesi pandu uji yang disediakan oleh jenama-jenama terlibat.
KLIMS 2026 menawarkan kemasukan percuma pada hari Isnin hingga Khamis bagi kebanyakan kategori pengunjung.
Manakala tiket bagi hari Jumaat, hujung minggu dan cuti umum dijual pada harga RM30 untuk dewasa, sementara pelajar, warga emas dan OKU hanya RM15.
Penganjur turut menyediakan pas akses tanpa had sepanjang acara pada harga RM80 serta pakej lima orang pada harga RM100.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari KLIMS 2026.
Baca Juga : BMW M3 CS Handschalter Untuk Peminat Transmisi Manual
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Kawasaki Malaysia memulakan sesi pertama Kawasaki Enduro Camp 2026 di Buragas Lasak Dirt Bikes, Serendah,…
MODENAS menerusi Kawasaki Malaysia menganjurkan program latihan tunggangan khas di Beranang Horizon Circuit, Semenyih menerusi…
BMW M3 CS Handschalter Edisi Terhad Dengan Gear Manual BMW M kini tampil dengan sebuah…
