Litar Misano di Itali akan menjadi pentas baharu yang penuh cabaran untuk pasukan Malaysia, Viper Niza Racing. Mereka bakal membuat penampilan sulung dalam perlumbaan ketahanan 12 Hours of Misano pada 23 dan 24 Mei 2025.
Ini adalah kali pertama pasukan ini turun berlumba di litar yang lebih sinonim dengan perlumbaan MotoGP – Misano World Circuit Marco Simoncelli. Rumah kepada Grand Prix San Marino.
Menurut pemandu utama merangkap Prinsipal Pasukan, Douglas Khoo. Ini adalah pengalaman baharu sepenuhnya buat seluruh pasukan.
“Kami belum pernah berlumba di Misano sebelum ini. Ia nampak seperti litar yang rata, dengan sedikit perubahan ketinggian – sesuai untuk motosikal. Litar ini agak sempit, jadi peluang untuk memotong memang sangat terhad,” jelas Khoo.

Persiapan Sebelum Perlumbaan
Bagi menyesuaikan diri, para pemandu banyak meluangkan masa dengan simulator untuk memahami titik membrek dan sudut-sudut penting di litar ini. “Ada selekoh yang boleh diambil laju tanpa perlu membrek, tapi kami juga rujuk video on-board pelumba lain untuk lihat bagaimana mereka ambil setiap selekoh,” tambahnya lagi.
Pasukan akan diketuai oleh Khoo, bersama dua lagi pemandu Malaysia – Dominic Ang dan Melvin Moh. Walaupun ada rasa gemuruh kerana faktor ‘unknown territory’, Viper Niza Racing tetap membawa rekod musim yang memberangsangkan ke Itali:
- Tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam kelas GT3 dan ke-2 dalam kelas GT3 AM di Michelin 12 Hours of Spa Francorchamps, Belgium.
- Menang kelas GT AM Masters dan tempat ke-2 kelas GT AM di Motul 12 Hours of Sepang.
Buat perlumbaan Misano, mereka akan tetap menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang sama tanpa sebarang naik taraf baharu. “Kita hanya tukar beberapa komponen yang haus, dan set-up sebenar hanya akan kami tentukan bila mula buat sesi latihan di sana nanti,” kata Khoo.

Reka Bentuk Litar Misano
Untuk makluman, Misano World Circuit Marco Simoncelli mempunyai panjang 4.226km dengan 16 selekoh dan arah pusingan mengikut jam. Litar ini dibina pada 1969, dan mengalami beberapa kali ubah suai untuk sampai ke konfigurasi terkini.
Ia dikenali sebagai litar yang teknikal – kombinasi laluan lurus laju, selekoh tajam dan selekoh teknikal menjadikannya mencabar untuk kereta dan motosikal.
Rekod Semasa
Rekod terpantas keseluruhan dicatatkan oleh kereta Formula E Porsche pada masa 1 minit 18.582 saat. Manakala catatan terpantas oleh kereta lumba tradisional adalah 1 minit 48.50 saat (Porsche GT4RS), dan 1 minit 30.03 saat oleh Ducati di MotoGP.
Tahun lalu, Misano menyertai kalendar rasmi siri perlumbaan ketahanan dunia dan edisi pertama 12 Hours of Misano. Menyaksikan Audi mendominasi dengan R8 LMS GT3 EVO II mereka, memenangi kategori keseluruhan, GT3 dan GT3 AM.
Pasukan Viper Niza Racing disokong oleh penaja utama Motul. Bersama jenama lain seperti Endless & Momentum Autoparts, jam rasmi IWC, serta hotel Jen Orchard Gateway di Singapura.
Kita nantikan bagaimana skuad Malaysia ini menyesuaikan diri di bumi Itali dan apakah mereka mampu mencipta kejutan di Misano. Ayuh, bawa semangat Harimau Malaya ke litar antarabangsa!
Dari HIT Communication / Viper Niza Racing
Baca Juga 3.0-Liter Whipple Supercharger, Kuasa Di Sebalik Shelby GT350
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.