Kenapa Kereta Baru Masih Ada ‘Dummy Button’ Atau Ruang Butang Kosong?
Pernah masuk kereta baharu dan terlihat satu ruang butang kosong pada dashboard atau konsol tengah? Di sebelahnya ada butang traction control, kamera atau fungsi lain, tetapi satu slot hanya ditutup dengan kepingan plastik.
Ia biasa dikenali sebagai ‘dummy button’ atau blank switch. Walaupun nampak seperti pengeluar sengaja ‘kedekut’ memberikan feature, sebenarnya ada sebab praktikal di sebaliknya.
Satu Dashboard Untuk Banyak Varian
Sebab paling utama ialah kos pengeluaran. Satu model biasanya mempunyai beberapa varian, daripada spesifikasi asas sehingga varian tertinggi.
Daripada menghasilkan dashboard atau panel suis berlainan untuk setiap varian, pengeluar menggunakan komponen yang sama. Jika sesuatu fungsi tidak ditawarkan, ruang butangnya hanya ditutup. Pendekatan ini mengurangkan jumlah komponen berbeza yang perlu dihasilkan, disimpan dan dipasang di kilang.
Baca Juga:Memahami Perbezaan Lampu Halogen, HID dan LED
Spesifikasi Berbeza Mengikut Negara
Model sama juga boleh mempunyai kelengkapan berbeza mengikut pasaran. Sebagai contoh, ruang kosong pada kereta spesifikasi Malaysia mungkin digunakan untuk heated steering wheel, headlamp washer atau fungsi lain pada versi Jepun atau Eropah.
Jadi kadang-kadang dummy button sebenarnya memberi petunjuk bahawa model sama di negara lain mempunyai feature yang kita tidak dapat.
Boleh Pasang Button Dan Aktifkan Feature?
Walaupun ruang butang tersedia, kereta anda mungkin tidak mempunyai hardware, sensor, wiring atau control module yang diperlukan.
Sistem kamera 360 darjah misalnya bukan sekadar memerlukan satu suis. Ia turut melibatkan kamera, wiring, module, software dan integrasi dengan sistem infotainment.
Memang ada sesetengah model yang membolehkan retrofit menggunakan komponen OEM, tetapi ia bergantung kepada architecture dan spesifikasi kereta tersebut.
Ruang Kosong Yang Sebenarnya Menjimatkan Jutaan
Bagi pemilik, dummy button mungkin nampak seperti sekeping plastik murah. Tetapi apabila sesebuah model dihasilkan dalam jumlah ratusan ribu unit, penggunaan panel yang sama boleh menjimatkan kos tooling, inventori dan pemasangan dengan ketara.
Jadi lain kali terlihat dummy button, cuba cari gambar varian tertinggi atau versi luar negara kereta tersebut. Mungkin barulah anda tahu fungsi sebenar ruang kosong itu, dan mula tertanya-tanya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!



