Pada 20 Julai lalu, Kawasaki Motors, sebahagian daripada Kumpulan Kawasaki Heavy Industries telah mengadakan demonstrasi umum pertama untuk motosikal berteknologi enjin pembakaran dalaman hidrogen (ICE).
Acara ini diadakan di Litar Suzuka, Bandaraya Suzuka Jepun, dan disaksikan oleh ramai peminat automotif serta media.
Reka Bentuk dan Kejuruteraan Termaju
Motosikal ICE hidrogen ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada kajian yang bermula pada Mac 2023, dengan ujian pertama dijalankan pada tahun ini.
Model ini menggunakan Enjin Empat Sejajar 998 cm3 Supercharged dari Kawasaki Ninja H2.
Enjin tersebut telah diubahsuai untuk membolehkan suntikan langsung bahan api hidrogen ke dalam silinder.
Selain itu, casis motosikal ini direka khas untuk menampung kanister bahan api hidrogen dan sistem bekalan bahan api yang diperlukan.
Ads
Keunikan Teknologi Pembakaran Hidrogen
Motosikal ini menggunakan teknologi pembakaran hidrogen yang menghasilkan deruman bunyi dan getaran yang memberikan pengalaman memuaskan kepada penunggang.
Berbeza dengan enjin pembakaran dalaman tradisional, motosikal ini hanya mengeluarkan air sebagai produk sampingan, menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam.
Ads
Inisiatif Karbon Neutral Kawasaki Motors
Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyokong teknologi hijau, Kawasaki Motors sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi merealisasikan penggunaan motosikal dengan enjin hidrogen ini.
Mereka mensasarkan untuk memperkenalkan motosikal ini kepada pasaran pada awal 2030 sebagai satu pilihan mesra alam kepada penunggang.
Ads
Komitmen Kawasaki Terhadap Teknologi Hijau
Kawasaki Motors juga merupakan ahli penuh dalam HySE (Hydrogen Small mobility & Engine technology), sebuah persatuan penyelidikan yang memfokuskan kepada teknologi hidrogen.
Persatuan ini sedang menjalankan penyelidikan asas mengenai enjin hidrogen, sistem pengisian bahan api hidrogen, dan sistem bekalan bahan api bagi menghasilkan kenderaan mobiliti kecil berkuasa hidrogen, termasuk motosikal.
Dengan inisiatif ini, mereka berharap dapat menyumbang kepada kebahagiaan dan kepuasan semua pihak yang terlibat dalam perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih hijau.
Dijangka Sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka membanjiri negeri Pahang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Razali Kassim, aliran trafik tertinggi diramalkan berlaku bermula 27 Mac hingga 7 April 2025.
Daripada jumlah tersebut, sekitar 2.24 juta kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
903,000 lagi pengguna jalan raya akan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.
Menurut Razali, kemuncak kesesakan trafik dijangka berlaku pada Sabtu, 5 April, khususnya di Lebuhraya KL-Karak dengan anggaran sebanyak 216,000 kenderaan akan menggunakan laluan tersebut dalam tempoh sehari.
Sementara itu, LPT1 dijangka mengalami puncak aliran trafik pada Ahad, 6 April dengan sekitar 119,000 kenderaan bakal melaluinya.
“Dengan kemungkinan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Isnin, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan teruk, malah memberi ruang untuk pemanduan yang lebih selamat dan selesa,”
katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2025 yang berlangsung di Kuantan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim.
Kerajaan negeri turut memandang serius aspek keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.
Sehubungan itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan sedang giat dijalankan, termasuk di laluan penting Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Mengulas isu tular berkaitan kerosakan jalan di pakej 5C1, Bentong, Razali mengesahkan bahawa kerja pembaikan sepanjang 400 meter di lokasi tersebut telah pun dimulakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap sepenuhnya pada Rabu ini.
“Kita juga memberi perhatian terhadap kawasan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi. Lampu jalan akan dipasang secara berperingkat, mengikut kelulusan peruntukan semasa. Di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kita akan memasang lampu solar sebagai alternatif pencahayaan,” jelas beliau.
Peningkatan jumlah kenderaan ini sememangnya menjadi cabaran utama setiap kali musim perayaan.
Oleh itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar menyemak laluan perjalanan, mengelak waktu puncak, dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Langkah proaktif oleh pihak berkuasa dan kesedaran pengguna amat penting bagi memastikan keselamatan di jalan raya terpelihara sepanjang musim perayaan ini.
Satu pencapaian membanggakan oleh Great Wall Motor (GWM) Malaysia apabila mereka berjaya menghasilkan unit pertama GWM HAVAL H6 HEV. Pemasangan ini bertempat di kilang CKD baharu di Melaka.
Ia dimiliki oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB). Pengeluaran ini menandakan permulaan perjalanan untuk model CKD ini yang akan mula dihantar kepada pelanggan selepas pelancaran rasminya pada Oktober akan datang.
Model GWM HAVAL H6 HEV ini merupakan model keempat yang diperkenalkan oleh GWM Malaysia, selepas model ORA GOOD CAT, ORA 07, dan GWM TANK 300.
Ini juga merupakan model pertama GWM yang menerima pemasangan tempatan di Malaysia, satu langkah penting dalam usaha GWM untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran global dan memenuhi permintaan bagi kenderaan mesra alam.
Kilang CKD baharu yang dibangunkan dengan kerjasama EP Manufacturing Berhad ini mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 10,000 unit pada fasa pertama.
Dalam fasa kedua, GWM menyasarkan peningkatan pengeluaran sehingga 300,000 unit setahun.
Dengan sokongan tenaga pakar kejuruteraan dari China serta teknologi pembuatan yang canggih, GWM memastikan setiap unit dipasang mengikut piawaian tertinggi.
Salah satu aspek penting dalam proses pemasangan ini adalah Kawalan Kualiti (QC). Setiap unit GWM HAVAL H6 HEV yang dihasilkan melalui lebih daripada 12 pemeriksaan kualiti yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan.
Malah, ujian keselamatan juga dijalankan di litar bagi memastikan kenderaan ini berprestasi pada tahap optimum. Komitmen GWM terhadap kualiti memastikan pengalaman pemilikan yang terbaik untuk setiap pelanggan mereka.
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, menegaskan bahawa GWM tidak hanya fokus menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi. Tetapi juga menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar kepada pelanggan mereka.
Tambahan pula, GWM HAVAL H6 telah menjadi SUV terlaris di China selama lebih dari 100 bulan berturut-turut dengan lebih 4 juta unit terjual di peringkat global.
Kini, dengan kehadiran model GWM HAVAL H6 HEV yang menggunakan teknologi hibrid terkini, GWM bersedia untuk terus mengukuhkan jenamanya di Malaysia.
SUV ini menawarkan teknologi ‘Dedicated Hybrid Transmission’ (DHT). Penggabungan kuasa petrol dan elektrik untuk memberikan pemanduan yang lebih lancar dan menjimatkan bahan api.
Dengan ruang dalaman yang luas dan ciri-ciri moden seperti sistem ADAS L2. Ia sememangnya direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden yang mementingkan keselesaan dan keselamatan.
GWM HAVAL H6 HEV dijangka akan dijual pada harga bawah RM145,000 dan kini sudah dibuka untuk tempahan. Pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menikmati pelbagai tawaran hebat, termasuk nilai eksklusif RM3,000 dengan bayaran yuran tempahan RM1,000 serta jaminan enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari laman web rasmi GWM Malaysia.
HAVAL H6 HEV menjadi antara fokus utama apabila GWM Malaysia memperkenalkan kempen khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 dengan tema Raikan Perjalanan Menuju Keredaan.
Kempen ini memberi fokus kepada kepentingan perjalanan pulang ke kampung serta nilai kekeluargaan yang semakin bermakna ketika musim perayaan.
Menurut GWM Malaysia, tema tersebut dipilih bagi menggambarkan bagaimana perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi turut membawa makna mendalam kepada setiap keluarga yang ingin berkumpul dan meraikan Syawal bersama orang tersayang.
Dalam masyarakat Malaysia, tradisi balik kampung ketika Aidilfitri merupakan satu pengalaman yang penuh emosi dan kenangan. Perjalanan yang mungkin mengambil masa berjam-jam di lebuh raya tetap menjadi saat yang dinanti-nantikan kerana ia membawa kepada pertemuan semula dengan ahli keluarga serta sahabat lama.
Sebagai kemuncak kempen ini, GWM Malaysia turut menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Lebaran Keredaan.
Filem ini memaparkan kisah dua watak utama, Faiz dan Rizal, yang menjalani kehidupan harian dengan pelbagai tanggungjawab serta cabaran sebelum pulang menyambut Hari Raya bersama keluarga.
Kisah tersebut menggambarkan situasi yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya mengenai pengorbanan, usaha serta kepentingan hubungan kekeluargaan. Dalam cerita ini, perjalanan pulang ke kampung menggunakan HAVAL H6 HEV turut menjadi sebahagian daripada naratif, digambarkan sebagai kenderaan yang memberikan keselesaan dan keyakinan sepanjang perjalanan jauh.
Melalui penceritaan yang menyentuh emosi, filem pendek ini cuba mengingatkan penonton bahawa perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar destinasi, tetapi sebuah perjalanan yang sarat dengan nilai kasih sayang dan penghargaan terhadap keluarga.
Dalam masa yang sama, kempen Hari Raya tahun ini turut menandakan satu pencapaian penting bagi HAVAL H6 HEV di Malaysia.
Setakat ini, sebanyak 6,000 unit model tersebut telah berjaya diserahkan kepada pelanggan di Malaysia. Pencapaian ini menjadikannya sebagai SUV hibrid kedua paling laris di pasaran tempatan.
Sejak diperkenalkan pada Oktober 2024, model ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembeli yang mahukan SUV hibrid dengan gabungan prestasi, teknologi serta kepraktisan untuk kegunaan harian.
Pertumbuhan jualan ini turut menunjukkan perubahan trend pengguna tempatan yang semakin terbuka menerima teknologi hibrid sebagai alternatif kepada kenderaan konvensional.
HAVAL H6 HEV menggunakan sistem hibrid tanpa pengecasan luaran, yang bermaksud ia tidak memerlukan pengecasan menggunakan plug seperti model plug-in hybrid.
SUV ini mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 1,000 kilometer dengan satu tangki bahan api, menjadikannya sesuai untuk perjalanan jarak jauh termasuk perjalanan balik kampung ketika musim perayaan.
Selain itu, HAVAL H6 HEV turut dilengkapi waranti selama 10 tahun untuk enjin dan bateri hibrid, memberikan keyakinan tambahan kepada pemilik dari segi ketahanan jangka panjang.
Platform model ini juga telah digunakan secara meluas di peringkat global dengan lebih empat juta pemilik di seluruh dunia, sekali gus menunjukkan penerimaan yang kukuh terhadap teknologi dan keupayaan kenderaan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, sambutan yang diterima terhadap HAVAL H6 HEV menunjukkan peningkatan keyakinan pengguna Malaysia terhadap teknologi hibrid.
Beliau turut menyatakan bahawa setiap perjalanan ketika musim perayaan mempunyai makna tersendiri kepada rakyat Malaysia, terutamanya apabila pulang untuk bertemu keluarga.
Kempen Raikan Perjalanan Menuju Keredaan juga mencerminkan komitmen GWM Malaysia untuk memastikan setiap perjalanan dilakukan dengan lebih selamat, selesa dan memberikan ketenangan minda kepada pengguna.
Sempena sambutan Aidilfitri, GWM Malaysia turut menganjurkan Rumah Terbuka Raya di bilik pameran terpilih pada 28 hingga 29 Mac serta 11 hingga 12 April.
Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat serta mencuba sendiri pengalaman memandu SUV hibrid ini di lebih 35 bilik pameran GWM di seluruh negara.
Selain itu, pelanggan yang menyertai kempen Tempah dan Menang Raya 2026 antara 9 Mac hingga 30 April juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk percutian tiga hari dua malam di Desaru Coast, televisyen pintar Samsung 65 inci Crystal UHD 4K, iPad Air 11 inci, Dyson Airwrap serta beberapa hadiah eksklusif lain.
Melalui kempen sempena Hari Raya ini, GWM Malaysia bukan sahaja ingin meraikan musim perayaan bersama pelanggan, malah turut memperkukuh kedudukannya dalam pasaran SUV hibrid tempatan.
Dengan peningkatan jualan model hibrid serta pelbagai inisiatif kempen yang dijalankan, jenama tersebut dilihat terus memberi fokus kepada penyediaan kenderaan yang menawarkan teknologi moden, keselesaan serta kepraktisan untuk kegunaan keluarga Malaysia.
LEGO Cipta Rekod Baharu, Koenigsegg Sadair’s Spear Bersaiz Sebenar Catat Kelajuan 111 km/j di Goodwood
Kerjasama antara LEGO Group dan Koenigsegg berjaya mencipta sejarah apabila...