Aveta Motor Malaysia ingin menjelaskan secara tuntas isu berlarutan berkaitan kekeliruan tentang struktur pemilikan dan hubungan korporat mereka dengan entiti pengedaran motosikal lain di Malaysia.
Dengan ini, mereka menegaskan bahawa Aveta Motor Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan korporat, perniagaan, atau operasi dengan jenama Demak mahupun mana-mana pengeluar dan pengedar motosikal lain yang beroperasi di Malaysia.
Aveta Motor Malaysia ialah sebuah entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dan dikendalikan oleh Aveta Global Marketing Sdn. Bhd., di bawah naungan Kumpulan MAG.
Semua aspek operasi kami, termasuk reka bentuk dan pembangunan produk, strategi pemasaran, dan pengurusan harian. Dilaksanakan oleh pasukan profesional tempatan yang berpengalaman dan komited dalam membangunkan produk yang relevan dengan keperluan serta citarasa pengguna Malaysia.
Ads
Sebagai entiti yang berteraskan nilai nasional, kami kekal komited untuk membina jenama Aveta sebagai simbol kepercayaan dan aspirasi pengguna tempatan. Di samping memperkukuhkan kehadiran kami dalam pasaran domestik.
Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengguna, rangkaian pengedar serta rakan-rakan niaga kami atas sokongan dan keyakinan berterusan terhadap Aveta Motor Malaysia.
PROTON telah mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Pemasangan Cermin Gelap PROTON di Tanjung Malim, menandakan usaha firma tersebut dalam meningkatkan kemampuan pemasangan cermin gelap sendiri. Fasiliti baru ini memiliki kapasiti untuk memasang hingga 5,000 unit kenderaan sebulan.
Pemasangan cermin gelap keselamatan telah diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 sejak pelancarannya pada 7 Mei 2023.
Ini juga berlaku untuk varian Flagship Proton S70 dan Flagship X, di mana cermin gelap keselamatan menjadi sebahagian daripada pakej aksesori standard.
PROTON berhasrat untuk menawarkan pilihan ini kepada model lain dalam masa terdekat, dengan tujuan memberikan nilai tambah kepada pelanggan. Kelebihan pemasangan cermin gelap oleh OEM termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik dengan menggunakan cetakan pra-potong, serta mematuhi peraturan JPJ dan mengurangkan risiko kerosakan sekunder yang biasa berlaku dengan pemasangan selepas pasaran.
Pelanggan juga akan mendapat manfaat dari waranti tanpa had selama 5 tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap.
Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, menyatakan bahawa pembukaan pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim merupakan langkah penting dalam komitmen PROTON untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambah kepada pelanggan. Dengan kapasiti yang besar, pusat ini dapat menangani peningkatan volum yang mendadak dengan cekap.
Dunia automotif digemparkan apabila sebuah Ferrari Daytona SP3 one-off berjaya dilelong pada harga luar biasa USD26 juta, bersamaan kira-kira RM122 juta atau £19.1 juta.
Jumlah ini sekaligus menjadikannya Ferrari baharu paling mahal pernah terjual di lelongan terbuka, mencipta rekod baharu buat jenama Itali tersebut.
Kereta ini dilelong oleh RM Sotheby’s di Monterey Car Week, California, sebuah acara tahunan yang sinonim dengan pameran kenderaan paling eksklusif di dunia.
Tidak hairanlah rekod bersejarah ini tercipta di pentas berprestij tersebut.
Sebagai perbandingan, harga asal Daytona SP3 ketika mula diperkenalkan adalah sekitar £2 juta.
Namun, semua 599 unit produksi terhad habis ditempah pelanggan Ferrari sejurus selepas pengumuman dibuat sebelum ia sempat dilihat oleh umum.
Kereta yang mencipta rekod lelongan ini bukanlah salah satu daripada 599, sebaliknya merupakan unit tambahan khas “599+1”.
Keputusan Ferrari untuk menghasilkan satu lagi unit atas dasar eksklusif menjadikannya lebih istimewa daripada kesemua Daytona SP3 yang lain.
Ia bukan sekadar Daytona biasa, tetapi sebuah koleksi “satu dalam dunia” yang terus melonjakkan nilainya.
Unit Daytona SP3 ini dihasilkan oleh bahagian Ferrari Tailor Made, pasukan khas yang bertanggungjawab memenuhi permintaan eksklusif pelanggan ultra-kaya Ferrari.
Mereka bukan sekadar memilih warna atau material, tetapi merealisasikan visi pelanggan dengan tahap keunikan yang tiada tolok banding.
Edisi one-off ini hadir dengan kemasan gentian karbon terdedah yang digabungkan dengan warna ikonik Giallo Modena, mencipta kontras seakan “lebah kuning”.
Namun yang paling mencuri perhatian adalah hakikat bahawa ia merupakan Ferrari jalan raya pertama dalam sejarah yang menampilkan logo penuh “Ferrari” sepanjang badan kereta.
Bagi sesetengah pemerhati, ia mungkin keterlaluan, tetapi bagi dunia kolektor, inilah tanda keistimewaan kereta ini.
Bahagian dalaman kereta ini tidak kurang menarik.
Ia menggunakan Q-Cycle, sejenis fabrik lestari yang dihasilkan daripada tayar kitar semula, sekali gus menunjukkan Ferrari juga memberi perhatian kepada aspek kelestarian.
Kontras hitam dan kuning disempurnakan dengan tali pinggang keledar berwarna kuning serta logo Prancing Horse yang disulam pada perehat kepala.
Gabungan ini bukan sahaja menyerlahkan identiti “Tailor Made”, tetapi juga mengekalkan aura mewah dan sporty yang sinonim dengan Ferrari.
Ferrari Daytona SP3 merupakan sebahagian daripada siri Icona Ferrari, koleksi model moden yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan klasik Ferrari era 1960-an.
Model ini digerakkan oleh enjin V12 6.5 liter aspirasi natural, mampu menghasilkan lebih 800hp dan digandingkan dengan transmisi 7-kelajuan klac berkembar.
Enjin ini dianggap antara nadi aspirasi natural paling berkuasa dalam sejarah Ferrari, menjadikan Daytona SP3 bukan sekadar cantik dipandang, tetapi juga jentera pemanduan yang benar-benar ekstrem.
Dengan reka bentuk aerodinamik retro-futuristik, Daytona SP3 merangkumi semangat “endurance racer” klasik yang dihidupkan semula untuk generasi moden.
Apa yang menjadikan lelongan ini lebih bermakna adalah hakikat bahawa keseluruhan hasil jualan disalurkan kepada The Ferrari Foundation, sebuah badan amal berdaftar 501(c)3 di Amerika Syarikat.
Yayasan ini memberi tumpuan kepada pembiayaan projek pendidikan global dan inisiatif komuniti, membuktikan Ferrari bukan sahaja mengejar keunggulan automotif tetapi juga komited dalam memberi impak sosial positif.
Dengan itu, pembeli kereta ini bukan sahaja memperoleh koleksi automotif paling eksklusif, tetapi juga secara langsung menyumbang kepada masa depan pendidikan di seluruh dunia.
Daripada harga asal £2 juta melonjak ke £19 juta, Daytona SP3 “599+1” ini kini terukir dalam sejarah sebagai Ferrari baharu paling mahal di lelongan.
Ia melambangkan gabungan sempurna antara seni automotif, inovasi teknikal, eksklusiviti mutlak, dan tujuan amal.
Bagi dunia kolektor, ia lebih daripada sekadar kereta.
Ia adalah simbol legasi Ferrari, bukti bahawa apabila Maranello menghasilkan sesuatu yang benar-benar unik, dunia sanggup membayar apa sahaja untuk memilikinya.
Daytona SP3 ini tidak sekadar sebuah supercar ia adalah potret bergerak tentang sejarah, prestij dan masa depan Ferrari.
Kapal pengangkut milik BYD, Zhengzhou, tiba di Northport, membawa bersama 7,000 unit kenderaan elektrik (EV) siap dipasang dari China.
Ketibaan ini menandakan permulaan fasa baharu dalam penghantaran produk BYD yang lebih cekap dan pantas kepada rakyat Malaysia.
Kapal jenis roll-on/roll-off (RORO) ini merupakan sebahagian daripada armada penghantaran BYD yang dibina khusus untuk menyokong peningkatan eksport EV ke rantau Asia Tenggara.
Selain Malaysia, kapal tersebut turut dijadualkan membuat penghantaran ke Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand sebelum kembali ke China.
Zhengzhou merupakan kapal ke-7 milik BYD, mengukuhkan strategi syarikat untuk mengawal sendiri rantaian bekalan globalnya.
Langkah ini memberikan BYD kawalan penuh terhadap kos dan masa penghantaran, menjadikan proses lebih efisien berbanding penghantaran kontena konvensional.
Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, pelayaran sulung ini adalah bukti komitmen syarikat terhadap Malaysia sebagai salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Pasifik.
“Kapal pengangkut ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi global BYD. Dengan keupayaan penghantaran yang pantas dan konsisten, pelanggan di Malaysia kini boleh menikmati proses serahan yang lebih lancar dan tepat pada masa.”
Zhao turut menjelaskan bahawa pelaburan dalam armada sendiri membolehkan BYD memenuhi permintaan global dengan lebih stabil, selaras dengan peningkatan eksport automotif dari China.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara, menyifatkan ketibaan kapal ini sebagai pencapaian penting dalam kerjasama strategik bersama BYD.
“Kehadiran kapal ini membuktikan keyakinan BYD terhadap potensi Malaysia sebagai hab EV serantau.
Ia juga membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan, serta menyediakan sokongan menyeluruh dari segi jualan, servis, dan pendidikan pengguna.”
Gan turut menegaskan bahawa pelaburan logistik ini akan membantu Sime Motors menangani jumlah penghantaran lebih besar pada masa hadapan.
Hal ini seiring dengan usaha mempercepatkan penggunaan EV secara meluas di Malaysia.
Kini, BYD Malaysia dan Sime Motors mempunyai lebih 35 pusat jualan di seluruh negara, dengan sasaran untuk mencapai 60 cawangan menjelang akhir 2026.
Dengan rangkaian yang semakin meluas dan sistem logistik yang dipertingkat, BYD bersedia untuk menyediakan EV yang lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan.
Penggunaan kapal RORO membolehkan kenderaan dipandu terus masuk dan keluar dari kapal telah mengurangkan masa pemindahan dan kos logistik dengan ketara, menjadikan proses penghantaran lebih efisien dan berskala besar.
Ketibaan BYD Zhengzhou adalah satu langkah penting dalam menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia.
Ia juga menandakan permulaan era baharu penghantaran EV di rantau ini lebih cepat, dan lebih mampan.
Women-Only Rides (Beta) Diperkenalkan di Lembah Klang
Bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (International Women’s Day – IWD 2026), Grab Malaysia memperkenalkan satu inisiatif baharu...