Kawasaki membuka tirai perlumbaan Le Mans 24 Hours pada 19 April lalu dengan persembahan eksklusif jentera konsep hidrogen mereka.
Jentera tersebut dikenali sebagai HySE prototype.
Motosikal ini melengkapkan satu pusingan demonstrasi di Litar Bugatti sejauh 2.6 batu, dalam keadaan trek yang lembap – hanya 15 minit sebelum perlumbaan utama bermula.
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Kuasa supercaj dan bahan api bersih
Jentera HySE dikuasakan enjin 998cc empat silinder sebaris yang diambil daripada model Kawasaki H2, lengkap dengan sistem supercaj.
Perbezaannya terletak pada bahan api – ia menggunakan hidrogen tulen yang disimpan dalam silinder khas di bahagian belakang, menyerupai beg pannier.
Proses pengisian semula dilakukan melalui paip khas yang disambung terus ke silinder tersebut.
Hasil usaha konsortium automotif Jepun
Projek ini lahir daripada kolaborasi dalam Hydrogen Small mobility & Engine technology Association (HySE), yang menggabungkan gergasi industri seperti Kawasaki, Honda, Yamaha, Suzuki dan Toyota.
Konsortium ini meneroka hidrogen sebagai bahan api alternatif yang mesra alam untuk kenderaan mobiliti kecil.
Ads
Sambutan hangat di pentas antarabangsa
HySE membuat kemunculan pertama pada Julai 2024 di Jepun dan kini dipertontonkan secara global di Le Mans.
Persembahan itu disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.
Penonton di litar kagum menyaksikan demonstrasi kuasa sebenar motosikal berasaskan hidrogen. Matthias Hoeppner, penunggang ujian Kawasaki berkata,
“Walaupun sudah biasa menunggang HySE, saya tetap teruja setiap kali kerana mengetahui ia dikuasakan sepenuhnya oleh hidrogen.”
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Reka bentuk casis khas untuk hidrogen
Proses pembangunan motosikal ini bermula pada Mac 2023, diikuti ujian lapangan sepanjang 2024.
Ads
Reka bentuk casis diubah suai untuk menempatkan silinder hidrogen tambahan, memandangkan hidrogen memerlukan ruang yang jauh lebih besar daripada petrol biasa.
Sebagai contoh, 4kg hidrogen diperlukan untuk menghasilkan kuasa setara 12kg petrol, namun pada tekanan atmosfera, jumlah itu akan memenuhi ruang sebesar 44,000 liter – tidak praktikal untuk motosikal biasa.
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Sasaran pasaran pengguna menjelang 2030
Walaupun berdepan pelbagai kekangan teknikal, Kawasaki tetap komited dengan pembangunan teknologi ini.
Mereka merancang untuk memperkenalkan motosikal hidrogen enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk kegunaan awam seawal dekad 2030-an.
Ads
Menurut Ketua Projek Kawasaki, Satoaki Ichi:
“Enjin hidrogen berfungsi seperti enjin petrol – udara dan bahan api dicampur dan dibakar. Tetapi hasil pembakarannya adalah wap air. Jika letakkan tangan di ekzos, anda akan rasa kelembapan – seperti pelembap mudah alih di atas roda.”
Le Mans platform teknologi masa depan
Penganjur perlumbaan, Amaury Sport Organisation (ASO), menggunakan demonstrasi ini bagi mengukuhkan komitmen mereka ke arah perlumbaan ketahanan khas untuk kenderaan elektrik dan hidrogen.
Selain Kawasaki H2 HySE , beberapa teknologi hidrogen lain turut dipamerkan termasuk kereta api model dan penjana elektrik.
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Tamat bergaya di podium
Kawasaki menutup penyertaan mereka di Le Mans 2024 dengan penuh bergaya apabila pasukan Webike Trickstar dari Perancis berjaya meraih tempat di podium.
Penyertaan ini sekali gus menegaskan gabungan teknologi hijau dan prestasi masih boleh berjalan seiring dalam dunia perlumbaan.
DHL Supply Chain, peneraju global dalam logistik kontrak, telah dilantik oleh Bosch, pembekal teknologi dan perkhidmatan terkemuka dunia, untuk mengurus Pusat Agihan (DC) milik Bosch di Malaysia.
Kerjasama ini melibatkan pengedaran barangan pengguna, produk dan komponen berkaitan mobiliti yang merangkumi pasaran Malaysia secara utama.
Ia juga turut menglibatkan pengedaran berskala kecil ke pasaran serantau.
Ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik strategik di Asia Tenggara.
Kedudukan Strategik di Shah Alam dengan Teknologi Terkini
Pusat Agihan yang terletak di Shah Alam itu mempunyai kelebihan dari segi geografi dan berpotensi tinggi untuk diintegrasikan dengan teknologi Revolusi Industri 4.0.
Antara sistem pintar yang bakal digunakan termasuklah Automated Guided Vehicles (AGV), sistem Pick-to-Light dan Put-to-Light, serta penjejakan inventori masa nyata.
Penggunaan teknologi ini bakal meningkatkan fleksibiliti operasi pusat agihan.
Selain itu ia juga memenuhi keperluan pelbagai jenis perniagaan dengan lebih efisien dan responsif terhadap permintaan pasaran yang berubah-ubah.
Komitmen Terhadap Transformasi Digital dan Ekonomi Negara
Mario Lorenz, Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia menyatakan,
“Dalam era di mana rantaian bekalan global semakin kompleks dan Malaysia pula sedang memposisikan dirinya sebagai hab logistik utama di rantau ini, kerjasama antara DHL Supply Chain dan Bosch ini adalah langkah strategik yang amat penting.
Kami bertekad untuk menyediakan penyelesaian yang disesuaikan bagi meningkatkan kecekapan operasi pelanggan, di samping memperkukuh daya saing mereka di peringkat tempatan dan global.
Ini selaras dengan komitmen kami dalam memacu inovasi logistik, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0.”
Perluasan Kapasiti & Pelaburan dalam Teknologi Robotik
DHL Supply Chain Malaysia juga terus memperkukuh kapasiti operasinya dengan melabur dalam pembangunan bakat tempatan dan infrastruktur logistik.
Salah satu contoh nyata ialah pembukaan Penang Logistics Hub 5 baru-baru ini.
Hub ini merupakan sebuah kemudahan logistik berteknologi tinggi seluas 22,000 meter persegi yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.
Kemudahan ini menyaksikan pelancaran sulung secara global bagi penggunaan robot mudah alih pengendalian kotak automatik (Automated Case-handling Mobile Robot, ACR), sistem Goods-to-Person Robotics (GTPR) dan Automated Storage and Retrieval System (ASRS) oleh DHL Supply Chain.
Ia dibina khusus untuk menyokong operasi syarikat teknologi multinasional terkemuka.
Sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan logistik dan inovasi teknologi.
Mercu Tanda Baharu Logistik Malaysia
Kerjasama antara DHL Supply Chain dan Bosch bukan sekadar pengurusan agihan semata-mata.
Kerjasama ini adalah pelan hala tuju ke arah sistem logistik pintar yang lebih efisien, tangkas dan mampan.
Memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang berada di landasan tepat untuk melonjak sebagai kuasa logistik berteknologi tinggi di rantau ini.
George Russell menghadiahkan kemenangan sulung musim ini buat pasukan Mercedes selepas memenangi Grand Prix (GP) Kanada yang penuh dramatik. Terutamanya selepas insiden pelanggaran dua rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri dan Lando Norris, pada penghujung perlumbaan.
Permulaan Mantap Russell
George memulakan perlumbaan dari petak utama dan berjaya mempertahankan kedudukan di hadapan Max Verstappen. Dengan pelbagai strategi digunakan oleh pelumba lain, perlumbaan menjadi sukar diramal. Majoriti pelumba utama memilih strategi dua hentian, mencetuskan saingan sengit di pusingan-pusingan terakhir.
Persaingan Sengit dan Insiden McLaren
Ketika Russell mendahului dengan Verstappen rapat di belakangnya, Piastri pula sedang mengejar Kimi Antonelli untuk tempat ketiga. Namun, Piastri turut diasak oleh rakan sepasukannya, Lando Norris.
Tekanan itu membawa padah apabila Norris terlanggar belakang kereta Piastri, menyebabkan beliau terkeluar dari perlumbaan. Norris kemudiannya meminta maaf melalui radio pasukan.
Insiden ini membawa masuk kereta keselamatan (Safety Car), memberi peluang kepada Russell untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat. Seterusnya merangkul kemenangan keempat dalam karier F1 beliau. Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Podium Sulung Antonelli, Kedudukan Pelumba Lain
Antonelli, pelumba muda Itali, mencatat sejarah apabila meraih podium pertama dalam kariernya dengan menduduki tempat ketiga. Piastri yang sempat masuk pit ketika Safety Car dikeluarkan, kekal di tempat keempat.
Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat kelima mewakili Ferrari, diikuti rakan sepasukan Lewis Hamilton di tempat keenam. Fernando Alonso dari Aston Martin pula di tempat ketujuh manakala Nico Hulkenberg memberikan mata berharga kepada Kick Sauber di tempat kelapan.
Esteban Ocon menyumbang mata dalam perlumbaan ke-200 buat pasukan Haas dengan menduduki tempat kesembilan. Carlos Sainz dari Williams pula menutup kedudukan 10 teratas. Antara yang tidak berjaya mengutip mata termasuk Ollie Bearman (P11), Yuki Tsunoda (P12) dan Franco Colapinto (P13).
Keputusan dan Penalti
Lando Norris antara tiga pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan. Dia dan dua lagi pelumba dikenakan penalti lima saat selepas perlumbaan. Liam Lawson (Racing Bulls) dan Alex Albon (Williams) turut mengalami masalah teknikal dan terpaksa menarik diri.
Petikan Russell
“Ia sesuatu yang luar biasa dapat kembali ke puncak podium,” kata Russell. “Terima kasih kepada semua di kilang yang bekerja keras. Kemenangan ini banyak dibantu oleh pusingan kelayakan luar biasa semalam. Melihat Kimi turut berada di podium menjadikan hari ini sangat bermakna buat pasukan.”
Perlumbaan Seterusnya
F1 akan kembali ke Eropah untuk GP Austria pada hujung minggu 27-29 Jun.
Pusat Servis Komprehensif Pertama Zeekr di Malaysia
Sunway Marketing, rakan pengedar utama yang dilantik oleh Zeekr Malaysia, hari ini merasmikan pembukaan Zeekr Space Sunway City dan Zeekr Sunway Service Centre, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran jenama kenderaan elektrik premium dari China itu di pasaran tempatan.
Kedua-dua fasiliti ini dibangunkan dengan pelaburan melebihi RM10 juta, sebagai sebahagian daripada komitmen Sunway dalam mempertingkatkan pengalaman pelanggan Zeekr di Malaysia.
Transformasi Ruang Pameran Ikonik di Sunway City
Zeekr Space Sunway City kini menempati ruang seluas 11,100 kaki persegi di tapak bekas helipad ikonik Sunway City Kuala Lumpur, di sepanjang Persiaran Lagoon.
Ia menampilkan enam ruang pameran kenderaan bagi mempamerkan model terkini seperti Zeekr X dan Zeekr 009.
Terdapat juga dua ruang penghantaran kenderaan khas untuk pemilik baharu.
Untuk keselesaan pelanggan, fasiliti ini turut dilengkapi dengan ruang istirahat premium, stesen perbincangan bersama pakar jualan dan produk, serta empat unit pengecas AC, dengan kemudahan pengecas pantas DC yang akan diperkenalkan pada masa akan datang.
Sokongan Selepas Jualan Bertaraf Tinggi
Melengkapi ruang pameran utama ini adalah Zeekr Sunway Service Centre yang terletak tidak jauh dari showroom, di Jalan Lagoon Selatan.
Pusat servis ini dilengkapi kemudahan terkini untuk diagnosis dan penyelenggaraan kenderaan, serta dikendalikan oleh pasukan juruteknik bertauliah Zeekr.
Selain itu, pusat servis ini juga mempunyai ruang simpanan alat ganti yang luas, memastikan keperluan servis pelanggan sentiasa dipenuhi.
Dengan keluasan awal 10,000 kaki persegi, pusat ini telah direka untuk berkembang sehingga 20,000 kaki persegi, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan pemilik kenderaan Zeekr di Malaysia.
Lebih 600 Unit Zeekr Sudah Diserahkan Sejak 2024
Sejak penghantaran pertama pada Disember 2024, Sunway Marketing telah berjaya menyerahkan lebih 600 unit Zeekr di seluruh negara.
“Pelancaran Zeekr Sunway ini membawa makna besar, bukan sahaja untuk jenama Zeekr di Malaysia tetapi juga untuk komuniti di Sunway City.
Ia menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kami menjadikan pengalaman memiliki kenderaan NEV premium lebih mudah, menyeronokkan dan mampan,”
ujar Yeoh Yuen Chee, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Trading & Manufacturing.
Peluang Menang Zeekr X Premium dengan Pembelian Kenderaan
Sempena pelancaran rasmi ini, pelanggan berpeluang memenangi Zeekr X Premium menerusi peraduan “Win-a-Zeekr” Customer Appreciation Contest 2025.
Peraduan ini terbuka kepada semua yang membeli dan menerima kenderaan mereka dari Zeekr Space Sunway City atau Zeekr Space Petaling Jaya sebelum 30 September 2025.
Pelanggan akan menerima satu hingga tiga penyertaan cabutan bertuah.
Ianya juga bergantung kepada model yang dibeli (Zeekr X – 1 penyertaan, Zeekr 7X – 2 penyertaan, Zeekr 009 – 3 penyertaan).
Waktu Operasi
Zeekr Space Sunway City: Isnin–Sabtu: 9 pagi – 7 malam Ahad: 10 pagi – 5 petang
Zeekr Sunway Service Centre: Isnin–Jumaat: 9 pagi – 6 petang Sabtu: 9 pagi – 1 tengah hari
Sime Motors Raikan 45 Tahun Kejayaan, BMW 2 Series Menanti Pemenang Utama
Sime Motors memulakan sambutan ulang tahun ke-45 mereka dengan mengumumkan pemenang-pemenang pertama Kempen...