
Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan perkhidmatan urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian akan kembali beroperasi serta-merta selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju menarik semula penangguhan yang diumumkan sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli susulan reaksi dan laporan media mengenai gangguan terhadap sistem itu.
Menurut Anthony Loke, JPJ sebelum ini memaklumkan kepada MOT bahawa terdapat beberapa kes penyalahgunaan dan penipuan membabitkan sistem pertukaran hak milik secara dalam talian, sekali gus menyebabkan isu liabiliti yang perlu ditangani segera.
Disebabkan itu, JPJ perlu melaksanakan kerja penambahbaikan terhadap sistem berkenaan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Namun begitu, beliau menegaskan proses penambahbaikan tersebut tidak sepatutnya mengganggu urusan harian pengguna biasa atau menyebabkan kesesakan di pejabat JPJ seluruh negara.
Bagi mengurangkan gangguan kepada orang ramai, JPJ akan melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem ketika cuti panjang hujung minggu ini.
Sebelum ini, media melaporkan semua urusan THM secara dalam talian ditangguhkan sementara bermula hari ini melibatkan pelbagai saluran digital termasuk portal awam JPJ, kiosk layan diri serta platform rakan niaga seperti MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna kerana urusan tukar hak milik kini banyak bergantung kepada sistem digital bagi mempercepatkan proses pembelian dan penjualan kenderaan.
Baca Juga : Tidak Digalakkan Guna Sabun Basuh Pinggan Untuk Cuci Kereta, Ini Sebabnya
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.