Hyundai Motor Company (HMC) mengorak langkah untuk memperkukuh kehadirannya di rantau ASEAN dengan penubuhan Hyundai Motor Malaysia (HMY).
Entiti baharu ini menandakan perubahan strategi utama, apabila syarikat ini kini mengendalikan operasi secara langsung tanpa pengedaran pihak ketiga.
Langkah strategik terbaharu ini bukan sekadar perubahan struktur operasi, tetapi titik permulaan era baharu Hyundai di Malaysia.
Opeasi akan lebih pantas, lebih dekat dengan pelanggan, dan lebih bersedia menghadapi masa depan mobiliti.
Langkah ini bukan sahaja menamatkan era kerjasama eksklusif bersama Sime Motors sebagai pengedar utama sejak 2004, malah membuka ruang baharu buat Hyundai untuk mengawal sepenuhnya aspek pemasaran, jualan, perkhidmatan pelanggan dan pertumbuhan jenama di Malaysia.
Strategi “Principal-Based Operation” dan Kepimpinan Tempatan
Dengan penubuhan HMY, Hyundai kini beroperasi menerusi pendekatan principal-based, iaitu operasi langsung yang membolehkan mereka memberi respons pantas terhadap kehendak pasaran tempatan.
Sebuah pasukan profesional tempatan telah dibentuk dan diberi autonomi untuk membuat keputusan yang relevan, dengan ibu pejabat baharu terletak di Menara Affin @ TRX.
Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee menyifatkan fasa ini sebagai satu komitmen jangka panjang:
Ads
“Penubuhan HMY membolehkan kami membawa kekuatan jenama global ke Malaysia. Ini adalah langkah penting untuk menjadikan negara ini sebagai hab strategik di Asia Tenggara.”
Perancangan Model Baharu dan Pengeluaran Tempatan
Sebagai permulaan, Hyundai merancang untuk memperkenalkan tiga model baharu dalam segmen SUV dan MPV dalam masa terdekat.
Menariknya, pengeluaran tempatan akan dimulakan seawal suku ketiga 2025 menerusi kerjasama dengan Inokom Corporation di Kedah.
Dalam tempoh lima tahun, sebanyak tujuh model dijangka akan dipasang secara lokal termasuk varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid elektrik (HEV).
Sebanyak 30% daripada unit yang dipasang ini juga disasarkan untuk dieksport ke pasaran ASEAN.
Ads
Perancangan ini bakal memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu pusat operasi serantau Hyundai.
Pelaburan Dalam Infrastruktur dan Pengalaman Pelanggan
Seiring dengan transformasi ini, HMY turut menyusun semula strategi rangkaian pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan.
Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuk:
Pemodenan bilik pameran dan integrasi digital baharu
Penubuhan sehingga 25 cawangan menjelang 2030
Penambahbaikan sistem sokongan pelanggan dan pengalaman pemilikan
HMY juga menggalakkan pelanggan sedia ada untuk mengemas kini maklumat hubungan mereka bagi memastikan kesinambungan akses kepada kemas kini penting seperti penyelenggaraan, peringatan servis dan berita terkini jenama.
Ads
Pasaran Malaysia: Penting dalam Rancangan Serantau
Menurut Pengarah Urusan HMY, Jahabarnisa Haja Mohideen, Malaysia menyumbang 35% permintaan bagi kenderaan penumpang di ASEAN, menjadikannya pasaran paling besar di rantau ini.
“Malaysia adalah lokasi ideal untuk kami memperkukuh operasi dan menjadikannya hab utama bagi pengembangan Hyundai di Asia Pasifik.”
Sime Motors pula akan kekal sebagai rakan kongsi strategik dalam usaha penstrukturan semula ini.
Mereka akan terus menyokong operasi jualan dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Legasi dan Kejayaan Hyundai di Malaysia
Sejak kerjasama rasmi bersama Sime Motors pada 2004, Hyundai telah menjadi jenama yang dikenali ramai di Malaysia.
Lebih 147,000 unit kenderaan Hyundai telah dijual, merangkumi pelbagai model daripada sedan seperti Elantra dan Sonata, SUV seperti Tucson dan Palisade, hingga ke kenderaan elektrifikasi seperti IONIQ Hybrid dan IONIQ 5 N.
Dengan reputasi ini serta asas pelanggan yang kukuh, Hyundai kini bersedia untuk membawa Malaysia ke tahap seterusnya dalam landskap mobiliti masa depan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Mulai bulan Februari ini, kemudahan untuk memperbaharui Cukai Jalan Kenderaan (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) telah diperkenalkan melalui aplikasi MyJPJ.
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan bahawa langkah baru ini direka khusus bagi memudahkan orang awam dalam proses memperbaharui dokumen penting ini.
Fungsi baharu ini dijangka dapat memberikan pelbagai kelebihan kepada pengguna. Selain dapat menjimatkan masa dan kos, ia juga mampu mengurangkan kesesakan urus niaga fizikal di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menyediakan pengalaman yang lebih efisien kepada orang ramai.
Menurut Menteri Pengangkutan, inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, terutamanya melibatkan pemilik kenderaan persendirian pada peringkat permulaan. Bagi menggalakkan penggunaan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM), individu yang memilih opsyen e-LMM semasa pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5. Rebate ini akan terus dinikmati sepanjang tahun 2024 bermula dari 1 Februari hingga 31 Disember.
Kredit Foto: Jabatan Pengangkutan Jalan
Bagaimanapun, inisiatif ini hanya terbuka kepada individu yang memilih e-LMM menerusi beberapa platform yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ, atau melalui rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia & MyEG.
Statistik daripada JPJ menunjukkan peningkatan pesat dalam bilangan pengguna yang memilih untuk digitalisasikan dokumen mereka, dengan lebih daripada 7.5 juta pengguna yang menggunakan kemudahan ini.
Bagi mereka yang masih belum bersedia untuk melangkah ke arah digitalisasi sepenuhnya, pemandu dan pemilik kenderaan masih berpeluang untuk mendapatkan versi fizikal LKM dan LMM sepanjang tempoh interim tahun ini.
Inisiatif yang diperkenalkan ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk menggunakan teknologi dalam urusan penting mereka, merangka pengalaman yang lebih mudah dan efisien dalam memperbaharui dokumen kenderaan mereka. Dengan perubahan ini, diharapkan dapat mengurangkan kesesakan di kaunter serta memberikan kemudahan yang lebih kepada masyarakat dalam mematuhi peraturan jalanraya yang diperlukan.
Kemudahan dan kesempatan ini memberikan pilihan kepada individu untuk menjadikan proses pembaharuan LKM dan LMM lebih selaras dengan perkembangan teknologi pada masa kini.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download seeNI sekarang!
Cycle & Carriage (C&C) mengumumkan pembukaan cawangan terbaharu mereka di Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town, yang kini mewakili dua jenama di bawah naungan Stellantis Malaysia PEUGEOT dan Leapmotor.
Pembukaan ini menandakan pencapaian penting buat C&C, yang bukan sahaja memperluas kehadiran jenama PEUGEOT sebagai cawangan kedua, malah turut menjadikan ia wakil rasmi pertama Leapmotor di Pulau Pinang.
Dengan ini, Cycle & Carriage menjadi satu-satunya pengedar sah untuk kedua-dua jenama ini di pulau tersebut.
Cawangan 3S Berwajah Warisan, Berjiwa Futuristik
Cawangan ini terletak dalam bangunan warisan yang tersenarai di bawah UNESCO.
Reka bentuk dalaman cawangan ini mencerminkan identiti korporat PEUGEOT dan Leapmotor, dengan sentuhan pencahayaan trek dan gaya hidup kontemporari yang dipadankan dengan karakter sejarah George Town.
Pengalaman pelanggan turut diperkayakan dengan penggunaan konfigurator kereta 3D interaktif, memberi peluang kepada pelanggan untuk menyesuaikan kenderaan pilihan mereka secara maya, selain ruang menunggu yang selesa lengkap dengan sajian makanan dan minuman.
Kemudahan Serba Lengkap untuk Jualan dan Servis
Cawangan Cycle & Carriage George Town ini dibangunkan sebagai pusat 3S (Sales, Service & Spare Parts) yang sebenar.
Dengan keluasan keseluruhan 15,964 kaki persegi, ia merangkumi:
Ruang pameran seluas 7,260 kaki persegi yang boleh memuatkan sehingga 11 kenderaan pada satu-satu masa
Pusat selepas jualan seluas 8,704 kaki persegi, lengkap dengan lima ruang kerja, bilik alat ganti, ruang peralatan, tempat cuci kereta, serta kawasan pengilapan khas
Ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bertaraf tinggi, tetapi juga menjanjikan pengalaman pemilikan yang premium.
Komitmen C&C dan Stellantis terhadap Pasaran Tempatan
Menurut Thomas Tok, Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage,
“Kami bersemangat dalam menyampaikan pengalaman pelanggan bertaraf premium, selari dengan nilai warisan lokasi operasi kami. Cawangan ini mencerminkan visi kami untuk menggabungkan daya tarikan sejarah dengan kecemerlangan automotif masa kini.”
Tambah Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN,
“Pembukaan pusat PEUGEOT dan Leapmotor berteknologi tinggi ini menandakan bab baharu yang penting untuk jenama kami di Pulau Pinang. Ia mengukuhkan kehadiran kami dan membuka ruang untuk pertumbuhan yang lebih besar bersama Cycle & Carriage.”
Promosi Pelancaran Eksklusif
Sempena pembukaan ini, pelanggan berpeluang menikmati penjimatan menarik:
PEUGEOT 3008: Diskaun sehingga RM30,000
PEUGEOT 408: Penjimatan hingga RM31,200
PEUGEOT 2008 (SUV Kompak): Hanya RM99,888
PEUGEOT LANDTREK (Trak Pikap): Bermula dari RM88,000
Leapmotor C10 (EV): Pilihan sama ada penjimatan RM15,000, kadar faedah 0%, atau pengecas wallbox percuma
Lokasi & Waktu Operasi
Cawangan ini terletak di:
Cycle & Carriage George Town 24, Jalan Sultan Ahmad Shah, 10050 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi:
Showroom: Isnin – Sabtu: 8:30 pagi – 7:00 malam Ahad: 11:00 pagi – 5:00 petang
Pusat Servis: Isnin – Jumaat: 8:00 pagi – 5:00 petang Sabtu: 8:00 pagi – 12:00 tengah hari Ahad: Tutup
Dengan kemudahan bertaraf tinggi, gabungan seni bina warisan dan teknologi terkini, serta penawaran kenderaan dari dua jenama global, Cycle & Carriage George Town bukan sahaja menjadi destinasi automotif utama di Pulau Pinang, tetapi juga simbol kecanggihan gaya hidup pemilik kenderaan masa kini.
Marc Marquez sekali lagi membuktikan dirinya sebagai kuasa dominan dalam MotoGP 2025 selepas meraih kemenangan keempat berturut-turut musim ini di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina.
Namun, kemenangan kali ini tidak semudah yang dijangka apabila dia terpaksa bertarung sengit dengan adiknya, Alex Marquez, sebelum kembali menguasai perlumbaan di penghujung saingan.
Persaingan Sengit di Puncak Perlumbaan
Perlumbaan bermula dalam keadaan cuaca yang lebih panas berbanding sesi Sprint pada hari sebelumnya. Seperti dijangka, Marc Marquez pantas mengambil alih kedudukan pendahulu sebaik sahaja memasuki selekoh pertama. Diikuti rapat oleh Alex Marquez dan rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia, yang berjaya mengatasi Johann Zarco selepas pelumba Ducati itu melakukan permulaan yang kurang kemas.
Di belakang kelompok hadapan, drama berlaku seawal selekoh pertama apabila Marco Bezzecchi hilang kawalan dan terbabas ke dalam perangkap pasir. Sekali gus membawa Fabio Quartararo bersamanya. Nasib Quartararo lebih baik kerana dia masih mampu meneruskan perlumbaan dari bahagian belakang grid.
Morbidelli Mencuri Tumpuan
Salah satu kejutan utama dalam perlumbaan ini ialah Franco Morbidelli yang tampil dengan strategi berani menggunakan tayar belakang lebih lembut. Hasilnya, dia mempamerkan tunggangan cemerlang untuk merampas kedudukan ketiga daripada Bagnaia seawal pusingan kelima.
Sejak itu, Morbidelli berjaya menguruskan kehausan tayar dengan baik dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, podium pertamanya sejak Grand Prix Sepanyol 2021.
Sementara itu, di hadapan, Alex Marquez berjaya mengambil alih kedudukan pendahulu selepas Marc melakukan kesilapan kecil di selekoh pertama pada pusingan keempat. Alex mengekalkan kedudukannya untuk sebahagian besar perlumbaan, tetapi Marc kekal membayangi di belakangnya, menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan balas.
Marc Marquez Bangkit untuk Menang
Pada pusingan ke-18, Marc mencuba untuk merampas kembali kedudukan pertama tetapi tersasar ketika membrek di Selekoh 5. Namun, empat pusingan kemudian, dia tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dengan penuh keyakinan, Marc memecut laju di laluan lurus utama dan dengan mudah memintas Alex sebelum terus melebarkan jurang kelebihan.
Dengan hanya beberapa pusingan berbaki, Marc semakin jauh meninggalkan adiknya, dan akhirnya menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 1.362 saat. Kemenangan ini meletakkannya di puncak kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 16 mata dalam kejuaraan dunia.
Persaingan Sengit di Tengah dan Belakang Grid
Di belakang Morbidelli dan Bagnaia. Rakan sepasukan Morbidelli di VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio, mempamerkan aksi cemerlang dengan memintas Johann Zarco pada pusingan terakhir untuk meraih tempat kelima.
Sementara itu, Brad Binder berjaya mengelak insiden yang menimpanya dalam perlumbaan Sprint dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Bintang muda Grand Prix Thailand, Ai Ogura. Turut mencuri perhatian dengan aksi memukau dari petak ke-15 untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelapan. Namun, beliau disingkirkan dari Grand Prix Argentina selepas jenteranya menggunakan perincian ECU tidak sah.
Sementara itu, Pedro Acosta dan Joan Mir bertarung sengit sepanjang perlumbaan. Dengan Acosta akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, meninggalkan Mir di tempat ke-10.
Dengan kemenangan keempat berturut-turut, Marc Marquez kini semakin kukuh di puncak kejuaraan dan bakal menjadi pelumba yang perlu ditewaskan dalam perlumbaan seterusnya. Adakah dia mampu meneruskan rentak cemerlang ini di Grand Prix Americas? Sama-sama kita nantikan!