
Kredit Foto : Website global.honda
Honda R&D Co., Ltd. bersama Tohoku University di Jepun memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan selepas menubuhkan Honda R&D x Tohoku University Innovative Mobility System Co-creation Research Center, berkuat kuasa 1 September 2026.
Pusat penyelidikan baharu itu ditempatkan di Institute of Fluid Science (IFS), Tohoku University, dan bakal menjadi hab kerjasama yang menghimpunkan kepakaran akademik universiti berkenaan dengan pengalaman teknologi serta penyelidikan Honda dalam sektor mobiliti.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan mengenal pasti dan meneroka bidang penyelidikan termaju yang berpotensi membentuk sistem mobiliti generasi akan datang.
Antara fokus utama adalah teknologi deep tech serta bidang penyelidikan lanjutan yang mempunyai potensi untuk diterjemahkan kepada aplikasi dunia sebenar.
Honda dan Tohoku University turut merancang untuk membangunkan strategi penyelidikan bersama sebelum menjalankan projek pembangunan berdasarkan bidang yang dikenal pasti.
Matlamatnya bukan sekadar menghasilkan teknologi baharu, malah mempercepatkan penggunaan hasil penyelidikan bagi menangani isu masyarakat serta mewujudkan nilai baharu melalui inovasi.
Penubuhan pusat berkenaan juga dijangka mengukuhkan hubungan antara Honda dan Tohoku University dari aspek penyelidikan, pembangunan bakat dan perkongsian pengetahuan.
Ia sekali gus mewujudkan ekosistem yang membolehkan penyelidik akademik dan jurutera Honda bekerjasama secara lebih langsung dalam pembangunan teknologi masa hadapan.
Menurut Honda, kepakaran dan pengetahuan teknikal yang dikumpulkan menerusi operasi serta pembangunan produk mobiliti selama ini akan digabungkan dengan keupayaan penyelidikan Tohoku University untuk mempercepatkan proses membawa teknologi daripada makmal kepada penggunaan sebenar.
Selain pembangunan teknologi, kerjasama berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembentukan generasi baharu penyelidik dan jurutera.
Pusat penyelidikan itu akan menjalankan tiga aktiviti utama.
Pertama, Honda R&D akan bekerjasama dengan pelbagai fakulti, sekolah dan unit penyelidikan di Tohoku University bagi mengenal pasti perkembangan terkini dalam teknologi deep tech
serta bidang penyelidikan termaju lain.Maklumat dan pengetahuan yang diperoleh kemudiannya akan digunakan oleh penyelidik Honda R&D serta Tohoku University untuk membentuk hala tuju dan strategi penyelidikan bersama.
Seterusnya, kedua-dua pihak akan menjalankan projek penyelidikan bersama berdasarkan bidang yang dipilih, dengan memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan aplikasi hasil penyelidikan dalam dunia sebenar.
Pusat berkenaan akan beroperasi selama tiga tahun, bermula 1 September 2026 hingga 31 Ogos 2029.
Operasi penyelidikan akan diketuai Toshiro Kiura, Fellow Honda R&D, sebagai Director of Research Operations.
Profesor Kaoru Maruta dari Institute of Fluid Science, Tohoku University pula bertindak sebagai Operation Support Manager.
Honda turut diwakili Ketua Jurutera Research Center of Excellence, Shigeru Omura, sebagai penghubung syarikat.
Antara ahli akademik yang terlibat ialah Profesor Masami Terauchi dari Tohoku Center of Excellence for Microscopy, Profesor Kazuhiko Komatsu dari Research Center for Green X-Tech serta Research Fellow Yoshikatsu Nakano dari Institute of Fluid Science.
Program Co-creation Research Center itu sendiri diperkenalkan Tohoku University pada April 2021 sebagai platform untuk memaksimumkan penggunaan sumber penyelidikan universiti menerusi kerjasama antara disiplin dan industri.
Sehingga penghujung Ogos 2026, lebih 50 pusat penyelidikan di bawah pendekatan tersebut telah diwujudkan.
Kerjasama terbaharu bersama Honda memperlihatkan bagaimana pengeluar automotif Jepun itu terus memperluaskan penyelidikannya melangkaui pembangunan kenderaan semata-mata, dengan memberi tumpuan kepada teknologi dan sistem mobiliti yang berpotensi digunakan pada masa hadapan.
Baca Juga : Honda WR-V Terima Penambahbaikan, Kini Lebih Sporty
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.