
Baru sehari dikenakan tindakan penguatkuasaan, seorang penunggang motosikal warga asing sekali lagi berdepan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan mengulangi kesalahan sama di sekitar Padang Serai, Kedah.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan JPJ Cawangan Kulim kira-kira jam 11.30 pagi pada 31 Ogos, lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang sebuah Yamaha Y15.
Hasil pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal terbabit telah tamat tempoh, selain penunggang berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah serta melakukan beberapa kesalahan teknikal pada kenderaan.
Apa yang menarik perhatian, penunggang sama dipercayai baru sahaja dikenakan tindakan sehari sebelumnya, termasuk penyitaan motosikal atas kesalahan berkaitan.
Namun, lelaki terbabit kembali menunggang motosikal di jalan raya sebelum sekali lagi dikesan anggota penguat kuasa pada keesokan harinya.
Susulan kesalahan berulang itu, motosikal yang digunakan sekali lagi disita, manakala saman turut dikeluarkan bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPJ Negeri Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang, termasuk memiliki lesen memandu dan dokumen kenderaan yang sah.
Langkah itu turut bertujuan memastikan hanya kenderaan yang memenuhi aspek keselamatan dan peraturan dibenarkan berada di atas jalan raya.
Sumber: JPJ Cawangan Kulim / JPJ Negeri KEDAH
Baca Juga : Nahas 11 Kenderaan di LPT1 Ragut Empat Nyawa