Automotif

Nahas 11 Kenderaan di LPT1 Ragut Empat Nyawa

Share

Empat Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan 11 Kenderaan di LPT1

Empat individu maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), arah Lanchang menuju Kuantan, malam tadi.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10.44 malam itu melibatkan sebuah lori tangki, sebuah bas ekspres serta sembilan kenderaan lain.

Bas berkenaan dilaporkan membawa 30 penumpang, manakala kenderaan lain yang terlibat terdiri daripada Proton S70, Honda CR-V, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi dan dua Proton Saga.

Tiga mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang Proton S70, masing-masing Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak lelaki.

Seorang lagi mangsa maut ialah seorang lelaki dewasa yang berada di dalam Honda CR-V.

Dalam kejadian sama, pemandu lori tangki serta seorang lelaki dewasa di dalam Honda CR-V mengalami kecederaan selepas tersepit, manakala pemandu sebuah Proton Saga dilaporkan cedera ringan.

Penumpang bas ekspres serta sebahagian besar pemandu dan penumpang kenderaan lain dilaporkan selamat.

Kredit Foto : Facebook π€πˆπŒπ€π π€π“π‡πˆπ‘π€π‡ 𝐒𝐀𝐁𝐔

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab.

Operasi turut dibantu anggota dari BBP Temerloh dan BBP Karak dengan keseluruhan 21 anggota bersama aset logistik dikerahkan ke lokasi.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mereka yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.

Operasi menyelamat dan pembersihan lokasi selesai sepenuhnya kira-kira jam 2.50 pagi.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sumber :Β AWANI

Baca Juga :Β PRO-NET Bina Tenaga Kerja Mahir, 37 Juruteknik Proton e.MAS Terima Pensijilan EV Tahap 2

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami diΒ Youtube,Β InstagramΒ & Β TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi