Automotif

Honda Prelude Serba Baharu Dilancarkan di Malaysia, Tampil Dengan Teknologi S+ Shift

Share

Honda Prelude Generasi Keenam Tiba di Malaysia, Warisi Teknologi Casis Civic Type R

Honda Malaysia secara rasmi memperkenalkan semula nama ikonik Prelude ke pasaran tempatan menerusi pelancaran generasi keenam model tersebut di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Ditawarkan pada harga RM278,000 (atas jalan tanpa insurans), Prelude baharu menandakan langkah baharu Honda dalam menggabungkan teknologi elektrifikasi dengan keseronokan pemanduan yang menjadi identiti jenama itu sejak sekian lama.

Dibangunkan berasaskan konsep “Unlimited Glide”, Honda Prelude generasi terkini hadir sebagai sebuah grand tourer moden yang menggabungkan prestasi, keselesaan dan praktikal untuk keguanaan harian hadir dalam satu pakej coupe hibrid yang menarik.

Kuasa e Dengan 184PS dan 315Nm

Jantung kepada Prelude baharu ialah rangkaian kuasa 2.0 liter e yang menghasilkan 184PS dan 315Nm tork. Sistem hibrid ini direka untuk menawarkan pecutan responsif, penghantaran kuasa yang lancar serta tahap kecekapan bahan api yang tinggi.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, teknologi hibrid kekal sebagai salah satu laluan paling realistik ke arah mobiliti lebih lestari tanpa mengorbankan prestasi dan keseronokan ketika pemanduan.

Dengan pengenalan Prelude, Honda memperkukuhkan lagi barisan model e yang kini merangkumi segmen sedan, hatchback dan SUV di Malaysia.

Teknologi S+ Shift Pertama Di Malaysia

Salah satu ciri utama Prelude baharu ialah pengenalan teknologi S+ Shift, yang buat pertama kalinya ditawarkan dalam barisan model Honda Malaysia.

Sistem hibrid berasaskan motor ini mampu mengawal putaran enjin (RPM) secara tepat ketika pecutan dan nyahpecutan bagi menghasilkan tindak balas pemanduan yang lebih langsung serta memberikan sensasi pertukaran gear yang lebih nyata.

Teknologi ini turut diselaraskan dengan Active Sound Control (ASC) dan paparan visual dinamik pada meter kuasa, sekali gus mewujudkan pengalaman pemanduan yang lebih imersif dan menyeronokkan.

Tiga Mod Pemanduan Berbeza

Prelude baharu menawarkan tiga mod pemanduan utama yang boleh dipilih mengikut situasi dan gaya pemanduan:

Sport Mode

  • Tindak balas lebih agresif
  • Pengendalian lebih tajam
  • Tahap kestabilan dipertingkatkan

GT Mode

  • Keseimbangan antara keselesaan dan prestasi
  • Sesuai untuk perjalanan jauh
  • Pengendalian yang lebih matang dan premium

Comfort Mode

  • Penghantaran kuasa lebih lancar
  • Stereng lebih ringan
  • Memberikan pengalaman pemanduan santai

Selain itu, pemandu turut boleh menggunakan mod Individual untuk menyesuaikan tetapan rangkaian kuasa, stereng, suspensi, paparan meter serta bunyi enjin mengikut cita rasa masing-masing.

Coasting Control Pertama Dalam Model Honda

Buat pertama kalinya dalam sejarah model Honda, Prelude turut dilengkapi fungsi Coasting Control Operation.

Teknologi ini membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan secara lebih semula jadi dan lancar, sekali gus mengurangkan keperluan pemandu untuk kerap beralih antara pedal pendikit dan brek ketika pemanduan harian.

Warisi Teknologi Casis Civic Type R

Bagi memastikan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, Honda Prelude baharu menerima beberapa teknologi casis yang diadaptasi daripada Civic Type R.

Antaranya termasuk:

  • Dual-Axis Strut Front Suspension
  • Adaptive Damper System
  • Agile Handling Assist (AHA)

Gabungan teknologi ini membantu meningkatkan kestabilan, ketepatan stereng serta keyakinan pemandu terutama ketika mengambil selekoh atau melakukan manuver kecemasan.

Rekaan Fastback Yang Elegan

Dari sudut reka bentuk, Prelude menampilkan siluet fastback yang kemas dan aerodinamik dengan inspirasi daripada pergerakan sebuah glider yang meluncur di udara.

Bahagian hadapan menampilkan gril Black Chrome bersama lampu utama LED yang tajam, manakala bahagian belakang dilengkapi lampu LED dengan lensa merah yang menyerlah.

Turut melengkapkan penampilan sporty coupe ini ialah:

  • Rim aloi 19 inci
  • Angkup brek Brembo berwarna biru
  • Pemegang pintu jenis Flush Door Handle
  • Aksen biru pada bampar hadapan dan belakang

Honda turut mengintegrasikan antena radio terus ke dalam kaca belakang bagi menghasilkan profil bumbung yang lebih bersih dan moden.

Kabin Berinspirasikan “Gliding Cockpit”

Masuk ke ruang dalaman, Prelude menampilkan konsep “Gliding Cockpit” yang direka untuk mewujudkan hubungan lebih erat antara pemandu, penumpang dan kenderaan.

Tempat duduk pemandu direka dengan fokus kepada kawalan dan penglibatan ketika memandu, manakala tempat duduk penumpang hadapan lebih menitikberatkan keselesaan serta kemudahan keluar masuk.

Antara kelengkapan utama yang ditawarkan termasuk:

  • Skrin infotainmen 9 inci
  • Google Built-In
  • Google Assistant
  • Google Maps
  • Google Play
  • Sistem audio premium Bose

Walaupun tampil sebagai sebuah coupe, Prelude masih menawarkan ruang kargo yang praktikal dan mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana.

Honda SENSING Sebagai Ciri Standard

Dari aspek keselamatan, Honda Prelude serba baharu hadir dengan pakej lengkap Honda SENSING yang merangkumi pelbagai sistem bantuan pemandu termaju bagi meningkatkan keselamatan dan keyakinan sepanjang perjalanan.

Harga dan Pilihan Warna

Honda Prelude Serba Baharu ditawarkan pada harga RM278,000 (atas jalan tanpa insurans) dan hadir dalam tiga pilihan warna:

  • Winter Frost Pearl
  • Rallye Red
  • Crystal Black Pearl

Dengan gabungan teknologi hibrid terkini, pengendalian yang diinspirasikan daripada Type R serta pengenalan teknologi S+ Shift, Honda Prelude baharu bukan sahaja menghidupkan semula sebuah nama legenda, malah membuka lembaran baharu dalam evolusi model hibrid Honda di Malaysia.

Baca Juga : John Cena Beli Honda Lagi, Tambah Koleksi Prelude 2026

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi