Harley-Davidson Serah Tiga Motosikal Kepada PDRM Untuk Penilaian Operasi
Harley-Davidson Malaysia menerusi Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam program Proof of Concept (POC) membabitkan tiga model motosikal untuk dinilai oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Tiga motosikal yang diserahkan untuk program penilaian tersebut ialah Harley-Davidson Low Rider ST, Street Glide dan Pan America.
Majlis penyerahan berlangsung di Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur pada 24 September 2026, dengan motosikal berkenaan diserahkan kepada PDRM/JSPT oleh wakil Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur, Datuk Omar Ali Abdullah, Larry Yap Eng Keong dan Juan Chow Wee.
Ketiga-tiga model berkenaan mewakili platform motosikal Harley-Davidson yang berbeza, sekali gus memberi peluang kepada JSPT menilai karakter serta keupayaan setiap model dalam situasi operasi sebenar.

Antara aspek utama yang akan dinilai termasuk prestasi, pengendalian, kebolehgerakan, praktikaliti serta kesesuaian untuk keperluan operasi JSPT, khususnya bagi tugasan pengiring dan urusan rasmi.
Program POC itu turut memberi peluang kepada anggota JSPT mendapatkan pengalaman secara langsung menggunakan ketiga-tiga motosikal berkenaan sebelum penilaian menyeluruh dibuat berdasarkan keperluan sebenar jabatan.
Bakal Diuji Ketika Le Tour de Langkawi 2026
Menariknya, tempoh penilaian motosikal berkenaan berlangsung serentak dengan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTDL) 2026.
Acara perlumbaan berbasikal antarabangsa itu akan menjadi antara platform bagi JSPT menguji motosikal berkenaan dalam keadaan operasi sebenar, termasuk perjalanan berterusan, keadaan jalan raya yang berbeza serta tugasan berkaitan kawalan trafik dan pengiring.
Menurut JSPT, setiap motosikal mempunyai karakter dan keupayaan tersendiri. Justeru, penilaian akan memberi fokus terhadap prestasi, pengendalian, praktikaliti serta tahap kesesuaian setiap model dengan keperluan operasi jabatan.
Penggunaan motosikal Harley-Davidson sepanjang LTDL 2026 bagaimanapun hanya sebahagian daripada proses POC dan tidak bermaksud model berkenaan telah dipilih atau akan digunakan secara kekal oleh PDRM.

Belum Ada Keputusan Pembelian
Harley-Davidson Malaysia turut menjelaskan bahawa program ini adalah semata-mata satu proses penilaian dan tidak membawa maksud PDRM telah memberikan sokongan rasmi terhadap mana-mana model atau membuat komitmen pembelian.
Sebarang pertimbangan pada masa hadapan masih tertakluk kepada proses penilaian, kelulusan serta prosedur perolehan yang ditetapkan oleh PDRM.
Kerjasama tersebut pada masa sama memberi peluang kepada pihak berkuasa menilai beberapa platform motosikal berbeza yang berpotensi memenuhi keperluan tugasan kepolisan trafik dan pengiring yang semakin berkembang.
Buat masa ini, tumpuan utama adalah untuk melihat bagaimana Low Rider ST, Street Glide dan Pan America berfungsi dalam persekitaran operasi sebenar sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung kesesuaiannya untuk kegunaan JSPT.
Baca Juga : JCB Fastrac, Traktor Terpantas di Dunia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


