Automotif

GAC GS3 EMZOOM Dapat Sentuhan Baharu

Share

GAC GS3 EMZOOM Diperbaharui, Reka Bentuk Lebih Segar, Harga Bermula RM116,800

WTC Automotif (M) Sdn. Bhd. (WTCA) memperkenalkan versi terkini GAC GS3 EMZOOM dengan sentuhan baharu. SUV kompak ini kini tampil dengan rekaan lebih segar, termasuk gril hadapan “Flowing Diamond Star” yang direka semula bagi memberikan imej lebih moden dan agresif. Untuk varian Premium R, pilihan warna dua tona turut ditawarkan, menjadikan penampilannya lebih menyerlah di jalan raya.

Pilihan Warna Lebih Menarik

EMZOOM kini hadir dengan empat pilihan warna iaitu Graphite Grey dengan bumbung hitam, Super Star Silver dengan bumbung hitam, Frost White dengan bumbung hitam serta Asphalt Black. Gabungan warna ini menambah elemen sporty yang sememangnya menjadi identiti utama model ini sejak diperkenalkan.

Enjin Turbo Kekal Berkuasa dan Efisien

Dari aspek prestasi, tiada perubahan dilakukan dan jelas menunjukkan keyakinan terhadap talaan sedia ada. Enjin turbo 1.5 liter terus menjadi nadi utama dengan kuasa 177 PS dan tork 270 Nm, dipadankan bersama transmisi 7-kelajuan dwi-klac basah.

Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai sekitar 8 saat, manakala penggunaan bahan api serendah 5.9L/100 km menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian.

Kelengkapan Lengkap Dalam Segmen

EMZOOM masih menawarkan pakej lengkap dalam kelasnya. Antara yang disediakan termasuk kokpit digital dengan skrin berkembar, bumbung panoramik, kamera 360 darjah serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Turut melengkapkan pakej ini ialah sistem Full Automatic Parking Assist (FAPA) yang memudahkan parkir automatik. Untuk varian Premium R, ia ditambah dengan sistem ekzos sport boleh laras dan kit aero bagi meningkatkan karakter pemanduan yang lebih agresif.

Harga Kekal

Menariknya, walaupun hadir dengan penambahbaikan, harga EMZOOM kekal tidak berubah. Ia ditawarkan pada RM116,800 bagi varian Eksklusif dan RM126,800 untuk varian Premium R (atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia).

Bagi tempoh terhad, pelanggan turut boleh menikmati rebat sehingga RM18,500, dengan anggaran ansuran bulanan serendah RM912.

Rangkaian dan Jaminan Menyeluruh

EMZOOM disokong oleh rangkaian GAC yang semakin berkembang dengan 23 bilik pameran dan 45 pusat servis di seluruh negara. Dari segi pemilikan, ia hadir dengan jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 150,000 km, serta jaminan enjin dan transmisi sehingga 7 tahun atau 180,000 km.

Bagi yang berminat, model GAC GS3 EMZOOM versi baharu ini sudah mula memasuki bilik pameran seluruh negara, dengan sesi pandu uji dibuka pada 9 hingga 10 Mei.

Baca Juga : GAC GS3 EMZOOM Tembusi Pasaran Malaysia, Dari RM118,900

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi