Pada 22 hingga 23 Jun 2024, KL Base Kuala Lumpur akan menjadi pusat tumpuan penggemar permotoran dengan penganjuran program BOTK3.0 x CORE Autofest x Taste & Drive 2024.
Acara ini akan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 malam. Dianjurkan oleh Kelab MUSC Motorsports yang berdaftar dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk acara drag racing, autoshow kereta dan motosikal. Selain itu, karnival makanan dan konsert turut diadakan.

BOTK3.0 x CORE Autofest x Taste & Drive 2024 akan menjadi perhimpunan gergasi permotoran terbesar yang pertama kali diadakan di Malaysia, menggabungkan elemen sukan dan rekreasi yang sihat.
Antara segmen menarik yang akan diadakan termasuk acara drag racing, “test n tune”, CORE Autofest bagi autoshow kereta dan motosikal. Selain itu, Brew & Camp Autofest untuk peminat Camper Malaysia. Tidak ketinggalan, akan diadakan juga perhimpunan kelab-kelab kereta dan motosikal serta konsert kumpulan rock terkenal, XPDC.
Program ini menyasarkan penyertaan 1,000 peserta dan dihadiri sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dari seluruh negara dan luar negara. Ini termasuk peserta dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Selain menyediakan ruang promosi dan jualan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan. Program ini juga diharapkan dapat membantu merancakkan sektor pelancongan domestik melalui kehadiran ribuan pengunjung dari luar Kuala Lumpur dan negara-negara jiran.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan menyaksikan festival permotoran terbesar di Malaysia ini!
Baca SF Wheels Showcase Anjur CORE International Autofest 2023 Vol.1 Hujung Minggu Ini!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Tukar Lesen PDL ke CDL Kini Boleh Melalui MyJPJ!

Berita baik untuk semua pemegang Lesen Memandu Percubaan (PDL)! Mulai 17 Februari 2025, permohonan pertukaran lesen dari PDL ke Lesen Memandu Kompeten (CDL) kini boleh dilakukan sepenuhnya secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ.
Inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengemaskini lesen mereka tanpa perlu beratur di kaunter JPJ. Dengan hanya beberapa langkah mudah di aplikasi MyJPJ, pemohon boleh menyelesaikan proses pertukaran lesen mereka bila-bila masa dan di mana sahaja.
Mudah, Cepat & Tanpa Perlu ke JPJ
Menurut JPJ, fungsi baharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 2.38 juta pemegang lesen PDL di seluruh negara. Sebelum ini, mereka perlu hadir ke kaunter JPJ untuk membuat permohonan, tetapi kini semuanya boleh dilakukan hanya melalui telefon pintar.

Bagi anda yang sudah bersedia untuk menukar lesen PDL ke CDL, ikuti langkah mudah berikut:
Cara Memohon CDL Melalui MyJPJ
- Muat turun atau kemas kini aplikasi MyJPJ ke versi terkini.
- Log masuk ke akaun MyJPJ anda.
- Pilih menu “Permohonan CDL”.
- Pilih “Tempoh Pembaharuan” mengikut pilihan anda.
- Pilih “Mod Bayaran” dan buat pembayaran secara dalam talian.
- Permohonan anda akan diproses, dan anda akan menerima notifikasi status permohonan sebaik sahaja ia selesai.
Dengan proses yang lebih pantas ini, pemohon tidak lagi perlu mengambil cuti atau menghabiskan masa beratur panjang di kaunter JPJ. Semuanya boleh diselesaikan dalam beberapa minit sahaja!
Meningkatkan Kemudahan & Kecekapan
Pelaksanaan sistem ini selari dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan digital dalam urusan pentadbiran. Ia bukan sahaja mengurangkan kesesakan di pejabat JPJ, tetapi juga memudahkan rakyat dalam menguruskan dokumen penting mereka.
Namun, sebagai pemegang lesen PDL, anda tetap perlu memastikan bahawa:
Lesen PDL anda sah dan tidak tamat tempoh.
Anda tidak mempunyai saman tertunggak atau kesalahan lalu lintas serius yang boleh menjejaskan permohonan CDL anda.
Dengan pelaksanaan sistem baharu ini, JPJ berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati pengalaman memandu yang lebih mudah, selamat, dan cekap.
Jadi, kepada sesiapa yang masih menggunakan lesen PDL, jangan lupa kemas kini aplikasi MyJPJ dan lakukan permohonan CDL anda hari ini juga!
Dari Careta
Baca Juga Kelas Lesen Motosikal Yang Ramai Tak Tahu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Malaysia Autoshow 2025 Catat Kehadiran Seramai 294,062 Pengunjung

Malaysia Autoshow 2025 Cetus Gelombang Mobiliti Hijau Serantau, Jana Potensi Jualan Lebih RM1.72 Bilion
Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) melabuhkan tirainya dengan rekod pencapaian paling cemerlang dalam sejarah penganjurannya.
Berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pameran berprestij ini mencatat kehadiran seramai 294,062 pengunjung.
Secara tidak langsung memecah rekod terdahulu dan mencerminkan peningkatan 31% berbanding tahun 2024.
Pencapaian Komersial Yang Memberangsangkan
MAS 2025 bukan sekadar pameran automotif – ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri mobiliti negara dengan RM1.72 bilion potensi jualan dijana hasil daripada 3,194 tempahan kenderaan, 1,512 cadangan tukar beli, dan 18,824 petunjuk jualan baharu.
Ini mencerminkan keyakinan tinggi pengguna dan pelabur terhadap masa depan industri automotif negara.
Lebih 500 Model, 200 Pameran & Fokus Mobiliti Masa Depan
Bertemakan “Shifting the Future”, MAS 2025 menampilkan lebih 500 kenderaan dari 200 peserta pameran yang memenuhi ruang seluas 50,000 meter persegi.
Separuh daripada model yang dipamerkan terdiri daripada kenderaan elektrik (EV), hibrid plug-in (PHEV), dan hibrid (HEV).
Sebanyak 48 pelancaran dan pratonton model baharu dilakukan sepanjang pameran, disertai 10,916 sesi pandu uji di trek luar.
Pameran ini juga menyaksikan pelancaran rasmi Skim Pelabelan Sukarela Kenderaan Generasi Baharu (NxGV).
Ini merupakan satu penanda aras baharu untuk pensijilan kenderaan berdasarkan standard keselamatan, inovasi dan kelestarian tertinggi Malaysia.
Asean Unity Drive 2025: Pencapaian Serantau Yang Bersejarah
Salah satu kemuncak MAS 2025 ialah Asean Unity Drive 2025, konvoi EV merentasi 9 negara ASEAN sejauh 10,432 kilometer, yang secara rasmi diiktiraf oleh ASEAN Records.
Konvoi ini menggunakan model Proton e.MAS 7 dan siri X, mempromosikan keseragaman standard EV dan kebolehlaksanaan pengecasan rentas sempadan.
Lebih penting, konvoi ini membuktikan bahawa perjalanan jauh menggunakan EV kini sudah boleh direalisasikan, asalkan infrastruktur pengecasan tersedia.
Ini menandakan kesiapsiagaan ASEAN untuk masa depan mobiliti hijau yang seragam dan bersepadu.
Hari Tema, Edukasi, Dan Pendedahan Teknologi Baharu
MAS 2025 kekal dengan pendekatannya yang berorientasikan pengguna dengan memperkenalkan Hari Pendidikan, Hari Wanita, dan Hari Hijau, yang menyediakan aktiviti pembelajaran interaktif kepada ribuan keluarga, pelajar dan profesional.
Inisiatif ini membina kesedaran awam terhadap kepentingan kelestarian, keselamatan, dan teknologi pengangkutan masa depan.
Antara tarikan futuristik ialah demonstrasi Mobiliti Udara Bandar yang memperkenalkan konsep kenderaan eVTOL (elektrik berlepas dan mendarat menegak).
Dalam pada itu, sistem ADaPTIV, hasil kerjasama MARii dan PETRONAS, turut diperkenalkan sebagai prototaip.
Sistem ini menawarkan ramalan pintar secara langsung untuk mengoptimumkan prestasi dan kebolehpercayaan kenderaan.
Kata-Kata Penghargaan Dan Harapan Masa Depan
Pengerusi MARii, Datuk Dr. Aminar Rashid, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk Perodua, Proton, Chery, Modenas, Honda, dan ORS Technologies atas kerjasama erat mereka menjayakan acara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, pula menegaskan bahawa MAS 2025 bukan sekadar berkisar tentang kenderaan, tetapi menjalin sinergi antara inovasi, keterlibatan awam, dan transformasi industri.
Fokus kini adalah memperkasakan keseluruhan rantaian nilai mobiliti menuju era kenderaan generasi baharu dan kepimpinan EV.
Komitmen Kerajaan: Malaysia Sebagai Peneraju Mobiliti Asean
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, menekankan bahawa kejayaan MAS 2025 sejajar dengan aspirasi strategik Malaysia dalam memperkukuh kedudukan sebagai peneraju teknologi automotif dan mobiliti masa depan ASEAN.
Menurut beliau,
“Sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam posisi strategik untuk memacu pembangunan teknologi hijau dan kenderaan generasi baharu serantau. Kejayaan ini adalah langkah besar ke arah itu.”
Kembali Pada 2027: Lebih Besar, Lebih Mantap
Malaysia Autoshow akan kembali pada tahun 2027 dengan potensi lokasi baharu dan pendekatan lebih inovatif.
Acara ini bakal terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform serantau utama untuk mobiliti, inovasi, dan teknologi pengangkutan bersih.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila layari www.autoshow.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Malaysia Autoshow.
Baca Juga : Memahami Maksud Logo JWL pada Sportrim
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Toyota Kembangkan Barisan GR dengan Dua Model Baharu

UMW Toyota Motor Perluas Barisan Gazoo Racing Dengan GR Supra Track Edition dan GR Yaris Variant Automatik
UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengukuhkan lagi kedudukan Gazoo Racing di Malaysia dengan memperkenalkan dua model baharu, iaitu GR Supra Track Edition dan GR Yaris Variant Automatik.
Kedua-dua model ini mencerminkan komitmen Toyota dalam menawarkan kejuruteraan bertaraf sukan permotoran yang kini lebih mudah diakses untuk kegunaan harian.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., pengenalan model ini menzahirkan misi Toyota dalam mengejar kecemerlangan prestasi.
“Setiap model GR bukan sekadar alat pengangkutan, malah ia membangkitkan emosi dan mencabar batasan. Kami percaya bahawa prestasi sebenar menanam keyakinan dan membuka peluang baharu, membolehkan pemandu pergi lebih jauh, lebih pantas, dan dengan lebih bermakna. Inilah bagaimana kami terus Menggerakkan Dunia Anda.”
GR Supra Track Edition: Evolusi Legenda Yang Lebih Fokus dan Berprestasi Tinggi
Sebagai ikon dalam keluarga Gazoo Racing, GR Supra sentiasa menjadi lambang aspirasi sukan permotoran Toyota.
Kini dengan model Track Edition, fokus terhadap prestasi dipertingkatkan melalui penambahbaikan pada casis, pengendalian dan aerodinamik.
Dikuasakan oleh enjin 3.0 liter 6-silinder sebaris turbo, GR Supra Track Edition menjana 388 PS dan 500 Nm tork.
Pilihan transmisi merangkumi 6-kelajuan manual atau 8-kelajuan automatik dengan pedal penukar gear.
Pecutan 0–100 km/j hanya dalam 4.1 saat (automatik) dan 4.3 saat (manual).
Bukan sekadar kuasa, prestasinya dipertingkatkan melalui Adaptive Variable Suspension yang ditala semula untuk lebih cengkaman.
Dilengkapi juga dengan Electric Power Steering dan Limited Slip Differential dengan tetapan eksklusif edisi Track bagi kestabilan unggul di selekoh berkelajuan tinggi.
Sistem brek pula menggunakan cakera 374mm dengan kaliper Brembo 4-piston untuk prestasi brek lebih konsisten.
Dari sudut aerodinamik, GR Supra Track Edition dilengkapi sayap belakang ‘carbon fibre ducktail’, spat tayar yang diperluas, flap aero dan tetapan camber negatif di bahagian hadapan untuk pengendalian lebih lincah.
Penyerap hentak dan stabilizer bar yang lebih rigid turut menyumbang kepada ketangkasan kereta ini.
GR Supra ini dipasang dengan rim aloi tempa 19 inci berwarna hitam matte, digandingkan dengan tayar Michelin Pilot Super Sport.
Di dalam, ruang kabin diserlahkan dengan upholsteri Alcantara hitam bersama sulaman logo GR, tali pinggang keselamatan merah, serta tombol gear berbingkai merah bagi varian manual.
Sistem audio dikuasakan dengan JBL 12-pembesar suara dan paparan Head-Up Display berwarna.
Keselamatan pula dijamin dengan teknologi Toyota Supra Safety, merangkumi Pre-Collision Warning, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitor, dan sokongan brek kecemasan.
GR Supra Track Edition ditawarkan pada harga bermula RM698,000.00.
GR Yaris Variant Automatik: Membawa Semangat Rali Kepada Lebih Ramai Pemandu
Dilancarkan pertama kali pada tahun 2021, GR Yaris dikenali sebagai mesin berinspirasikan rali untuk keseronokan pemanduan sebenar.
Tahun ini, UMW Toyota Motor memperkenalkan varian automatik dengan transmisi 8-kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic.
Kenderaan ini masih mengekalkan DNA perlumbaan sambil memberikan akses lebih luas kepada peminat.
Transmisi baharu ini, dibangunkan dengan input pasukan Toyota GAZOO Racing World Rally Team, menawarkan penukaran gear yang pantas dan responsif berdasarkan kemahuan pemandu, bukan sekadar tingkah laku kenderaan, menjadikan pemanduan lebih intuitif dan menyeronokkan.
GR Yaris menggunakan enjin 3-silinder turbo paling berkuasa di dunia.
Model ini menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 5.2 saat.
Varian automatik ini turut dilengkapi pakej penyejukan termasuk radiator tambahan, semburan intercooler dan penyejuk ATF gabungan udara dan air untuk ketahanan dalam cuaca tropika Malaysia.
Selain itu, ciri baharu seperti Launch Control diperkenalkan bagi memastikan pecutan dari pegun yang lebih konsisten dan kawalan optimum.
Digandingkan dengan paddle shifter sport dan transmisi automatik lapan kelajuan, GR Yaris Automatik menawarkan pengalaman pemanduan rali sebenar setiap hari.
Dari segi keselamatan, varian ini dilengkapi sistem Toyota Safety Sense 3.0.
Sistem ini termasuk Pre-Collision System, Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist dan Expert Mode untuk pemandu berpengalaman yang inginkan kawalan dinamik lebih bebas.
GR Yaris Variant Automatik ini ditawarkan pada harga RM325,600.00.
Kedua-dua model ini kini tersedia di semua pusat GR Garage di seluruh Malaysia.
Model ini lengkap dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta sokongan penuh selepas jualan.
Baca Juga UMW Toyota Buktikan Kepercayaan Pengguna Masih Utuh
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.