Mercedes-Benz CLA Elektrik Serba Baharu Diperkenalkan Secara Eksklusif di Malaysia
Mercedes-Benz Malaysia tampil mencuri tumpuan dengan pratonton eksklusif Mercedes-Benz CLA elektrik serba baharu, model yang disifatkan sebagai Mercedes-Benz paling pintar pernah dihasilkan.
Model ini dipamerkan kepada umum dari 15 hingga 18 Januari 2026 di Stars@Mercedes-Benz Bangsar, memberi peluang kepada pelanggan tempatan melihat lebih dekat hala tuju baharu jenama premium dari Jerman ini.

Pratonton ini merupakan simbol permulaan era baharu Mercedes-Benz yang menggabungkan prestasi elektrik, inovasi digital dan rekaan emotif.
CLA elektrik ini menjadi pembuka tirai kepada generasi produk seterusnya, sejajar dengan sambutan 140 tahun penciptaan kereta pertama dunia oleh Mercedes-Benz sejak 1886.

MB.OS: Mercedes-Benz Paling Pintar Pernah Dihasilkan
CLA elektrik merupakan model pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS). Sistem ini dibangunkan secara dalaman dan menjadikan setiap kenderaan dilengkapi superkomputer yang sentiasa berhubung dengan Mercedes-Benz Intelligent Cloud.
Melalui kemas kini over-the-air (OTA), fungsi penting termasuk sistem bantuan pemanduan boleh dikemas kini dari semasa ke semasa, memastikan CLA kekal relevan dan terkini untuk jangka panjang.

MBUX Virtual Assistant Berasaskan AI Generatif
Satu lagi tarikan utama ialah MBUX Virtual Assistant yang dipertingkatkan dengan AI generatif. Ia membolehkan interaksi perbualan yang lebih semula jadi, seakan berbual dengan manusia, lengkap dengan memori jangka pendek.
Dikuasakan oleh ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini, sistem ini bukan sahaja pintar menjawab soalan umum, malah mampu memberikan maklumat navigasi terperinci berdasarkan Google Maps.
Avatar bintang Mercedes-Benz yang ‘hidup’ pada paparan Zero Layer turut mampu mengesan emosi pemandu dan memberi respons yang sesuai.

Kecekapan Tinggi CLA: ‘One-Litre Car’ Era Elektrik
Dari sudut kecekapan, CLA elektrik benar-benar menetapkan penanda aras baharu. Dengan penggunaan tenaga serendah 12.2 kWh/100 km, ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 792 km (WLTP) angka yang sangat mengagumkan dalam segmennya.
Sistem elektrik 800-volt pula membolehkan pengecasan pantas, di mana jarak pemanduan sehingga 325 km boleh dicapai dalam hanya 10 minit pengecasan.
Dari segi rekaan, CLA elektrik menampilkan siluet sporty dengan jarak roda panjang, “short overhang” dan bahagian belakang ala GT. Garis badan yang “clean”, bonet panjang dengan power dome serta roda bersaiz besar menonjolkan karakter atletik yang kuat.
Gril ikonik berbentuk A kini diberi nafas baharu untuk era elektrik, menampilkan panel bintang bercahaya sepenuhnya buat pertama kali pada model produksi Mercedes-Benz. Sebanyak 142 bintang LED animasi membentuk identiti visual yang sangat menonjol, terutamanya pada waktu malam.

Bumbung Panoramik & Ruang Praktikal
CLA elektrik turut hadir dengan bumbung panoramik kaca penuh tanpa palang tengah, memanjang dari cermin hadapan hingga ke belakang, memberi rasa ruang yang lebih terbuka dan premium.
Menariknya, ini juga merupakan Mercedes-Benz moden pertama yang menawarkan frunk dengan kapasiti 101 liter, manakala ruang but belakang menyediakan 405 liter praktikal untuk kegunaan harian.
Tempahan Dibuka, Harga Anggaran Bermula RM295k
Untuk pasaran tempatan, Mercedes-Benz CLA 250+ dengan EQ Technology kini telah dibuka untuk pra-tempahan. Harga anggaran bermula dari RM295,888 (termasuk SST 10%) untuk Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans.
Baca Juga : Mercedes-Benz Malaysia Perkukuh Inovasi dan Kelestarian Sepanjang Tahun 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!







