Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai salah satu daripada hanya enam pengedar Ford di dunia yang menerima anugerah berprestij ‘Salute to Dealers’ 2025 daripada Ford Motor Company.
Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan atas kecemerlangan dalam jualan dan perkhidmatan, tetapi lebih penting, ia menzahirkan komitmen luar biasa Auto ConneXion dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selama lebih sedekad.
Dedikasi Menyeluruh Terhadap Komuniti
Menurut Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion, kejayaan ini bukan sekadar simbol kejayaan korporat, tetapi satu manifestasi usaha jitu syarikat dalam menyantuni komuniti.
“Kami benar-benar berbangga dapat membawa pulang anugerah ‘Salute to Dealers’. Pengiktirafan ini menunjukkan usaha berterusan kami untuk mendorong perubahan sosial yang positif berteraskan pendidikan, kesihatan awam, kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan berpaksikan budaya keprihatinan Sime Darby untuk mewujudkan komuniti yang lestari dan berkembang maju.
Projek Air Bersih: Nafas Baharu Buat Komuniti Orang Asli
Antara usaha paling signifikan Auto ConneXion ialah Projek Air Bersih yang dilaksanakan dengan kerjasama NGO tempatan, MyFundAction.
Projek ini menyasarkan masyarakat Orang Asli di Gerik, Perak dengan pemasangan sistem tangki air lestari melalui teknik penggerudian canggih.
Hasilnya, lebih 70 keluarga berpendapatan rendah memperoleh akses kepada bekalan air bersih.
Seramai 30 sukarelawan dari Auto ConneXion turun padang mencurahkan keringat demi menjayakan misi ini.
Ads
Ia juga merupakan satu langkah kecil yang membawa impak besar terhadap kesejahteraan harian penduduk.
The Lost Food Project: Perangi Pembaziran, Perangi Kelaparan
Dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan pula, Auto ConneXion bekerjasama dengan The Lost Food Project.
Bersama Ford Philanthropy, sumbangan bernilai USD45,000 (sekitar RM200,000) telah disalurkan bagi menyokong misi menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan.
Hasilnya, kira-kira 855,000 sajian makanan berkhasiat berjaya diagihkan.
Tidak cukup dengan sumbangan kewangan, 25 sukarelawan Auto ConneXion turut serta dalam aktiviti penyisihan makanan di gudang The Lost Food Project di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Ads
Di sini, sebanyak 3,820 kilogram makanan berjaya diselamatkan, bersamaan 10,914 sajian.
Klinik Bergerak Ford: Menyantuni Kesihatan Luar Bandar
Inisiatif penjagaan kesihatan turut diberi penekanan menerusi pelancaran Ford Mobile Clinic, hasil kerjasama antara Auto ConneXion, Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy.
Klinik bergerak ini disumbangkan kepada MyFundAction, lengkap dengan peralatan perubatan seperti monitor tanda hayat, alat bantuan pernafasan serta kelengkapan diagnostik.
Sebuah Ford Ranger telah disumbangkan untuk tujuan mobiliti.
Selain itu dana tambahan sebanyak USD55,000 (sekitar RM250,000) disalurkan untuk proses pembinaan dan pengubahsuaian klinik tersebut.
Ads
Sehingga kini, lebih 2,200 individu daripada golongan terpinggir dan mangsa banjir menerima manfaat terus daripada inisiatif ini.
Rakan Strategik yang Komited
Ketua Pegawai Pembangunan MyFundAction, Isma Fildza Hazry, menyifatkan kerjasama dengan Auto ConneXion sebagai satu sinergi yang membawa perubahan besar.
“Berbekalkan sokongan mereka, kami berjaya menyantuni komuniti terpinggir dengan menyediakan sumber keperluan dan memupuk harapan,” katanya.
Komitmen Berterusan ke Arah Masa Depan Lebih Baik
Dengan sokongan padu daripada Ford Philanthropy, Auto ConneXion terus komited dalam memperkasakan masyarakat melalui pendekatan holistik yang merangkumi kebajikan, makanan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah ‘Salute to Dealers’ membuktikan bahawa pengedar automotif juga mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sosial yang menyeluruh.
Auto ConneXion bukan sekadar sebuah pengedar kenderaan.
Ia kini diiktiraf sebagai pemacu utama dalam membina masa depan yang lebih lestari untuk rakyat Malaysia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Aveta Malaysia melakar sejarah baharu apabila melancarkan cogan kata rasmi terbarunya, “Redefining Boundaries” atau Mentakrifkan Semula Sempadan. Slogan ini menjadi simbol kepada hala tuju jenama tempatan tersebut dalam mendepani persaingan industri motosikal Malaysia yang semakin sengit.
Falsafah Baharu, Semangat Baharu
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim, cogan kata baharu ini mencerminkan komitmen jenama dalam mendengar suara pengguna dan menyediakan motosikal yang mampu dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Redefining Boundaries adalah iltizam kami untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi dengan menggabungkan inovasi, pengalaman penunggang dan kualiti perkhidmatan. Inilah cara kami membina sebuah jenama kebanggaan Malaysia dengan visi global,” jelas Lim.
Catat Rekod Bersama Komuniti Penunggang
Julai lalu, Aveta berjaya mencatatkan nama dalam Malaysian Book of Records (MBR) selepas menganjurkan penyerahan motosikal terbesar dalam sejarah negara. Majlis yang berlangsung di Seberang Perai, Pulau Pinang ini menyaksikan model baharu Vanguard 250 dan Nova 160 diserahkan secara rasmi kepada pemilik.
Acara yang dirasmikan oleh YB Dato’ Hj. Rashidi bin Zinol, EXCO Negeri Pulau Pinang, turut dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pengedar, pelanggan dan peminat Aveta.
Vanguard 250 & Nova 160 Jadi Tarikan Utama
Sejak awal tahun ini, Aveta menerima sambutan luar biasa terhadap dua model utamanya.
Aveta Vanguard 250
Aveta Nova 160
Permintaan tinggi untuk kedua-dua model ini membuktikan Aveta semakin diterima oleh pelbagai segmen penunggang di Malaysia.
Fokus Kepada Keperluan Penunggang
Aveta menekankan aspek praktikal dengan menawarkan motosikal yang relevan untuk keperluan sebenar penunggang Malaysia sama ada untuk perjalanan seharian di dalam bandar atau pengembaraan merentas negeri.
Selain itu, pemilikan Aveta turut dipermudahkan melalui harga kompetitif, prestasi yang boleh diyakini, serta sokongan selepas jualan yang meluas.
Sokongan Padu Selepas Jualan
Aveta kini memiliki rangkaian pusat pengedar, pusat servis dan stokis alat ganti di seluruh negara. Salah satu inisiatif menarik ialah Aveta Care on Wheels iaitu perkhidmatan sokongan bergerak dari pintu ke pintu bagi membantu pengguna yang mengalami masalah teknikal di lokasi yang jauh daripada pengedar sah.
Langkah ini menunjukkan kesungguhan Aveta dalam memberikan pengalaman pemilikan tanpa kompromi, sejajar dengan semangat Redefining Boundaries.
Membina Masa Depan Bersama
Dengan pelancaran cogan kata baharu ini, Aveta menyatukan pelanggan, kakitangan dan rakan pengedar di bawah misi bersama memacu inovasi dan mengukuhkan kedudukan jenama motosikal tempatan di peringkat global.
“Cogan kata ini melambangkan perjalanan kami. Aveta akan terus menolak sempadan, menambah baik kejuruteraan, serta memastikan setiap pemilik berasa sebahagian daripada keluarga besar Aveta,” ujar Lim.
‘CyberRoar’ Gabungan Kuasa dan Gaya Dalam Jiwa Harimau
Boon Siew Honda sekali lagi mencuri perhatian peminat motosikal tempatan dengan pelancaran Honda CBR150R Special Edition dengan livery harimau edisi khas, dikenali sebagai CyberRoar.
CBR150R edisi khas ini hadir dengan padanan warna magenta terang yang digabungkan bersama jalur oren menyala yang mengalir dari bahagian hadapan ke sisi bawah motosikal, lalu menyusur ke bahagian belakang.
Menambah lagi aura garang, imej kepala harimau mengaum terpampang di kedua-dua sisi badan motosikal sebagai simbol kekuatan livery baharu ini.
Lengkap Dengan Set Hadiah Eksklusif
Menjadikan pembelian lebih bernilai, setiap pemilik edisi khas ini akan menerima satu set hadiah istimewa.
Hadiah tersebut terdiri daripada Panoramic Sport Camera, interkom untuk komunikasi semasa konvoi, dan beg LED reflektif.
Kesemuanya direka untuk menambah pengalaman menunggang yang lebih menyeronokkan dan bergaya.
Terhad Hanya 250 Unit di Seluruh Negara
Hanya 250 unit sahaja akan ditawarkan di pasaran, harga jualan yang disyorkan adalah RM14,399.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).
Masih Tersedia: Warna Standard CBR150R
Bagi mereka yang lebih gemarkan gaya klasik, CBR150R juga masih ditawarkan dalam pilihan warna Tricolor (DNA perlumbaan Honda) dan Silver.
Masing-masing pada harga disyorkan RM13,399.00.
Semua varian akan tersedia di pusat pameran Honda Impian X dan pengedar sah seluruh negara bermula 15 Julai 2025.
Teknologi dan Prestasi Seiring Gaya
Dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC 4-lejang sejukan cecair, CBR150R menghasilkan 12.0kW pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.
Motosikal ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan bersama assist & slipper clutch untuk penukaran gear yang lebih lancar dan stabil.
Sistem keselamatan termasuk ABS dua saluran, brek cakera depan dan belakang, sistem Emergency Stop Signal (ESS), serta fork terbalik (inverted fork) menjadikan tunggangan lebih yakin dalam pelbagai situasi.
Tangki bahan api 12 liter, sistem pencahayaan LED penuh, serta panel meter digital serba lengkap melengkapkan pakej sportbike moden ini.
CBR150R juga mendapat penarafan keselamatan 5-Bintang MyMAP, menjadikannya antara motosikal 150cc paling lengkap di pasaran.
Jaminan dan Maklumat Lanjut
Setiap pembelian disertakan dengan jaminan pengilang selama 2 tahun atau 20,000km, yang mana dahulu.
Untuk maklumat lanjut, layari boonsiewhonda.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-3993.
Jaecoo J6, yang juga dikenali sebagai iCar 03, bersedia untuk memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Selepas membuat penampilan sulungnya di Pameran Auto Beijing 2024, kehadiran kenderaan elektrik ini di Malaysia telah disahkan oleh media tempatan.
Kredit Foto : piston.my
iCar 03 tersedia di China dengan pilihan konfigurasi motor elektrik sama ada penggerak roda belakang atau penggerak semua roda. Model dwi motor menawarkan kuasa sebanyak 279 PS dan dapat memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum 150 km/j. Kendaraan ini dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 69.8-kWh yang dibekalkan oleh CATL, dengan jarak perjalanan sehingga 501 km mengikut piawaian CLTC.
Kredit Foto : piston.my
Dari segi reka bentuk, J6 menonjol daripada segi reka bentuk grill yang unik tanpa logo ‘i’ bercahaya yang biasa terdapat pada lampu unit iCar 03. Namun, versi Malaysia akan mempamerkan grill rekaan iCar 03 di bahagian hadapan dan ruang simpanan tambahan di bahagian belakang.
Mempunyai ukuran panjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm, dan tinggi 1,715 mm, dengan jarak rodanya sepanjang 2,715 mm, J6 menawarkan ruang kabin yang luas. Walaupun sedikit lebih pendek daripada model J7, J6 mempunyai dimensi yang lebih lebar dan tinggi.
Kredit Foto : piston.my
Ciri-ciri tambahan J6 termasuk pintu belakang yang mempunyai engsel sisi, pemegang pintu jenis pop-out, skrin sentuh sistem infotainmen yang besar, kluster instrumen digital yang terintegrasi pada papan pemuka, pengunci pintu elektrik, dan pemilih mod memandu kristal. Sebagai tambahan pilihan, panel solar yang dipasang di atap tersedia untuk membantu mengecas bateri, serta dilengkapi kamera ADAS.
Belum ada kepastian tentang ciri-ciri mana yang akan ditawarkan di pasaran Malaysia, tetapi dijangka harga kenderaan ini mungkin bakal menarik minat pembeli yang mencari kenderaan yang mementingkan kelestarian alam sekitar dengan teknologi terkini.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Kereta ditenggelami air banjir menjadi situasi sukar bagi ramai pemilik kenderaan setiap kali Malaysia memasuki musim tengkujuh. Beberapa negeri di Pantai Timur serta kawasan...