Nombor plat kawasan bebas cukai ni memang ada daya tarikan tersendiri yang boleh buat orang teruja, terutamanya peminat kereta. Apa yang istimewa sangat? Jom kita tengok beberapa perkara menarik tentang nombor plat kawasan bebas cukai.
1. Unik dan Menonjol
Plat dari kawasan bebas cukai seperti Langkawi, Labuan, dan Tioman ada kod khas yang berbeza daripada plat biasa. Contohnya, Langkawi guna “KV” manakala Labuan guna “L”. Nombor plat ni memang nampak lain daripada yang lain, so bila atas jalan raya, kereta dengan nombor plat ni mudah dikenali.
Plat Langkawi
2. Harga Kereta Lebih Murah
Di kawasan bebas cukai, cukai eksais dan duti import tak dikenakan atau dikurangkan. Jadi, harga kereta di sana boleh jadi lebih murah berbanding tempat lain di Malaysia. Ini sebab kenapa ramai yang beli kereta di Langkawi atau Labuan dan simpan kat sana.
Dengan mendaftarkan kereta mewah di kawasan bebas cukai, pemilik dikecualikan daripada membayar cukai. Sebagai contoh, jika kita membeli sebuah Aston Martin DB11 di Semenanjung yang dilengkapi dengan beberapa penambahan, ianya bernilai dalam anggaran RM900,000.
Ini baru harga kereta, belum tambah harga cukai. Jika anda mendaftar kereta ini di Semenanjung, kadar cukai yang dikenakan terhadap kereta ini bernilai hampir satu juta ringgit. Pendek kata, harga atas jalan (OTR) bagi kenderaan ini mencecah hampir RM2 juta.
Plat Labuan
3. Nilai Sentimental dan Eksklusiviti
Bagi sesetengah orang, nombor plat kawasan bebas cukai ada nilai sentimental dan rasa eksklusif. Mungkin sebab mereka ada kenangan manis di tempat tu atau mereka bangga dengan asal-usul mereka. Jadi, plat ini sebagai tanda simbolik kepada mereka.
Ads
4. Potensi Pelaburan
Sesetengah nombor plat yang unik atau jarang dijumpai boleh jadi pelaburan yang menguntungkan. Ada pemilik kereta yang sanggup bayar mahal untuk dapatkan nombor plat tertentu, terutama yang ada kaitan dengan kawasan bebas cukai. Jadi, kalau ada nombor plat yang menarik, boleh cuba jual pada harga tinggi nanti.
Barisan Supercar – Lamborghini
5. Penggunaan Terhad
Nombor plat kawasan bebas cukai ni sebenarnya terhad penggunaannya di dalam kawasan bebas cukai tu sahaja. Kalau nak bawa keluar ke semenanjung boleh, namun tempoh pengeluaran hanya 90 hari atau 3 bulan sahaja dalam tempoh setahun.
Untuk membawa keluar kereta tersebut dari kawasan bebas cukai, pemilik dikehendaki untuk menyediakan jaminan bank bernilai 70% daripada harga cukai keseluruhan kereta terbabit kepada pihak Kastam.
Ads
Kebiasaannya, kereta mewah yang ditinggalkan di kawasan bebas cukai ini dijaga rapi beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan membersihkan, menjaga, membaiki, dan membawa kereta pemilik jalan-jalan bagi memastikan kereta tersebut sentiasa dalam keadaan baik dan mengelakkan flat-tire.
Plat Langkawi
Namun jika anda mempunyai empat supercar atau kereta mewah didaftarkan dan ditinggalkan di Langkawi, anda boleh menukar jenis kenderaan anda untuk dibawa keluar dari Langkawi selama tiga bulan untuk setiap model bagi tempoh setahun! Tiga bulan pertama guna kereta pertama, 3 bulan kedua guna kereta kedua dan seterusnya. Indahnya hidup bila kaya!
Inilah antara sebab kenapa nombor plat kawasan bebas cukai ni ada daya tarikan tersendiri. Bagi yang minat kumpul nombor plat atau nak rasa eksklusif, plat kawasan bebas cukai ni memang ada tempat istimewa dalam hati mereka.
Pernah dengar tentang tayar celup atau tyre retreading? Teknologi ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, dan ia sering kali dikaitkan dengan kenderaan berat seperti lori atau trak.
Bagi pemandu atau pemilik kenderaan besar, kos untuk membeli tayar baru memang boleh mencecah ribuan ringgit. Jadi, ramai yang memilih untuk menggunakan tayar celup atau tayar terpakai yang telah melalui proses pembuatan semula. Tapi, persoalannya, adakah tayar celup selamat digunakan?
Kredit – Internet
Apa Itu Tayar Celup?
Tayar celup merujuk kepada tayar yang sudah hilang bunga atau tapak, dan telah melalui proses pembuatan semula untuk mengembalikan fungsinya.
Dalam proses ini, lapisan bunga tayar yang telah haus akan digantikan dengan bunga baru menggunakan teknologi khas.
Proses ini banyak dilakukan pada tayar kenderaan berat kerana harganya yang lebih murah berbanding membeli tayar baru. Tayar yang telah dipulihkan ini selalunya dipanggil tayar retread.
Kelebihan Tayar Celup
Kos Lebih Murah Salah satu daya tarikan utama tayar celup adalah harganya yang jauh lebih murah berbanding tayar baru. Proses retreading ini memberikan peluang kepada pemilik kenderaan untuk berjimat tanpa mengurangkan prestasi tayar.
Selamat Digunakan Mungkin ramai yang beranggapan tayar celup lebih mudah meletup atau rosak, namun itu hanyalah mitos. Sebenarnya, tayar retread ini selamat digunakan kerana ia melalui proses pembuatan yang menggunakan teknologi terkini dan diuji dengan ketat seperti tayar baru. Pengeluar tayar besar seperti Michelin, Continental, dan Good Year pun mempunyai kilang khusus untuk menghasilkan tayar retread.
Mesra Alam Salah satu aspek yang menarik mengenai tayar celup adalah ia lebih mesra alam. Dengan proses retreading, kita dapat mengurangkan jumlah tayar yang dibuang setiap tahun, sekaligus memberi sumbangan positif terhadap pengurangan pencemaran.
Kredit – Gemilang Daily
Kekurangan Tayar Celup
Jangka Hayat Lebih Pendek Meskipun tayar celup lebih murah, namun ia mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding tayar baru. Setelah melalui proses retreading, tayar ini tidak akan bertahan seperti tayar baharu. Oleh itu, pemilik kenderaan perlu sentiasa memantau keadaan tayar mereka.
Ciri-Ciri Berbeza Tayar celup mungkin tidak memberikan pengalaman pemanduan yang sama seperti tayar baru. Mungkin ada perbezaan dari segi bunyi, cengkaman, dan pengendalian. Ini adalah perkara biasa kerana tayar baru dan tayar celup dihasilkan menggunakan proses yang berbeza.
Kredit – Malay Mail
Faktor Risiko – Mengapa Tayar Celup Mungkin Tidak Selamat?
Mitos yang menyatakan tayar celup mudah meletup lebih banyak disebabkan oleh kesalahan penggunaan atau produk yang tidak memenuhi piawaian.
Jika tayar celup dihasilkan dengan menggunakan bahan dan proses yang tidak betul, ia mungkin akan menjadi lebih berisiko. Namun, jika anda memilih tayar celup dari pengeluar yang dipercayai dan melalui proses retreading yang betul, risikonya boleh dikurangkan.
Kredit – Tyre Retreading Manufacture Associations
Apa Yang Perlu Diperhatikan?
Tidak semua tayar lori atau trak boleh melalui proses retreading. Oleh itu, ketika membeli tayar baru, pastikan ia sesuai untuk proses retreading di masa hadapan.
Selain itu, penjagaan tayar yang baik seperti memastikan tekanan udara yang betul sangat penting untuk memanjangkan jangka hayat tayar. Jika anda perasan bunga tayar sudah haus atau tidak rata, segeralah menggantikan tayar untuk mengelakkan risiko kemalangan.
Kesimpulannya
Tayar celup atau tayar retread memang selamat digunakan jika proses pembuatannya mengikut piawaian yang betul.
Ia adalah pilihan yang lebih ekonomik dan mesra alam, tetapi pemilik kenderaan harus sentiasa peka dengan jangka hayat tayar dan memastikan ia tidak melepasi tempoh penggunaannya.
Dengan penjagaan yang baik dan penggunaan tayar yang betul, kita dapat mengurangkan risiko kemalangan akibat tayar rosak atau meletup.
GoSun, syarikat yang terkenal dengan produk inovatif berasaskan tenaga solar, telah melancarkan produk terbarunya, Solar EV Charger.
Ini adalah penyelesaian pengecasan mudah alih yang direka khas untuk kenderaan elektrik (EV), menawarkan fleksibiliti dan kemudahan pengecasan di pelbagai lokasi.
Produk ini boleh digunakan di rumah, pejabat, atau bahkan di lokasi terpencil seperti tapak perkhemahan atau tapak kerja, menjadikannya alat yang serbaguna dan praktikal untuk pemilik EV.
Kredit Foto : Website gosun
Rekaan Kompak dan Mudah Dipasang
Salah satu ciri menonjol Solar EV Charger dari GoSun ialah rekaannya yang kompak.
Ia direka untuk memastikan pemasangan dan penggunaan yang mudah. Pengguna hanya perlu memarkir kenderaan elektrik mereka di bawah matahari, membuka panel solar, menyambungkannya, dan proses pengecasan akan bermula.
Rekaan ini memastikan pengguna tidak perlu bimbang tentang kerumitan pemasangan atau keperluan ruang yang besar.
Tambahan pula, charger ini boleh dipasang dengan mudah di atas rak bumbung kenderaan, memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pengguna yang sering bergerak.
Kredit Foto : Website gosun
Kuasa Solar dan Kecekapan
Solar EV Charger ini menyediakan 1,200 watt kuasa solar dan mempunyai berat sekitar 32kg.
Menurut GoSun, dua orang boleh memasang charger ini dalam masa hanya 20 minit, menjadikannya sangat mudah dan cepat untuk dipasang.
Dengan kuasa solar yang ditawarkan, charger ini mampu menambah sehingga 30 batu jarak sehari untuk kenderaan elektrik, walaupun kebiasaannya memberikan tambahan antara 10 hingga 20 batu, bergantung kepada jenis kenderaan dan keadaan cuaca.
Ini menjadikan Solar EV Charger satu penyelesaian yang sangat praktikal untuk pengguna yang ingin memastikan kenderaan mereka sentiasa mempunyai bekalan kuasa yang mencukupi.
Kredit Foto : Website gosun
Keselamatan dan Kebolehpercayaan
Selain daripada kecekapan tenaga, GoSun juga menitik beratkan aspek keselamatan produk ini.
Solar EV Charger dilengkapi dengan kunci untuk mengelakkan kecurian apabila meninggalkan kenderaan mereka untuk dicas di tempat awam atau lokasi terpencil.
Ini menunjukkan komitmen GoSun dalam menghasilkan produk yang bukan sahaja mesra alam tetapi juga selamat dan boleh dipercayai.
Kredit Foto : Website gosun
Dengan pelancaran Solar EV Charger ini, GoSun terus menunjukkan komitmennya terhadap penyelesaian tenaga lestari dan inovasi teknologi.
Penyelesaian pengecasan ini bukan sahaja mesra alam tetapi juga memberikan fleksibiliti dan kemudahan kepada pengguna kenderaan elektrik di mana-mana sahaja.
Kereta adalah kebanggaan kita, bukan? Namun, untuk mengekalkan kesan ‘wow’ dan kilauan seperti baru, memerlukan usaha berterusan. Inilah panduan terbaik untuk memastikan kenderaan anda sentiasa nampak segar, berseri, dan menarik di jalan raya!
Cuci Kereta secara Berkala
Satu perkara asas tetapi penting: jangan abaikan mencuci kereta anda! Gunakan sabun yang sesuai untuk memastikan kotoran dan debu terlarut sepenuhnya. Pastikan juga untuk membersihkan roda dan tayar dengan berkesan.
Polish untuk Kilauan Memikat
Polish adalah rahsia tersembunyi untuk memastikan keterampilan visual kereta anda. Gunakan polish yang sesuai dengan warna kereta anda untuk menghasilkan kilauan yang menawan. Untuk kesan yang lebih lama anda perlu polish kereta secara berkala untuk kesan yang lebih tahan lama.
Pelihara Dalaman Seperti Baru
Jangan lupa tentang dalaman! Membersihkan dan menyapu kawasan dalaman kereta secara berkala adalah penting. Vakum kusyen dan permukaan dalaman serta gunakan pembersih khas untuk menjaga bahan-bahan seperti kulit atau kain.
Pilih Tempat Letak yang Baik
Jika mungkin, pilih tempat letak yang dilindungi dari cuaca terik atau hujan lebat. Ini membantu mengurangkan kerosakan akibat cuaca dan sinaran UV yang boleh memudaratkan cat kereta.
Servis dan Penjagaan Berjadual
Lakukan servis kereta secara berkala. Ini bukan sahaja untuk prestasi kereta tetapi juga memastikan komponen dalaman dan enjin berfungsi dengan cemerlang. Jangan lupa tukar minyak enjin dan penapis mengikut jadual.
Gunakan Pelindung Cat
Menutup kereta dengan kain atau pelindung khas boleh membantu melindungi cat daripada kemungkinan calar dan keadaan cuaca yang teruk.
Jaga Cat dengan Pencuci Kering
Sekiranya tidak sempat untuk mencuci secara menyeluruh, gunakan pencuci kering untuk membuang kotoran ringan dan mengekalkan kilauan kereta.
Pembersihan Segera
Tindakan pantas membersihkan mana-mana kesan kotoran baik daripada burung, resin pokok, atau kotoran lain amat penting. Pembersihan segera akan mengelakkan kesan kekal pada permukaan cat kereta.
Amalkan ‘No Eating’ atau ‘No Smoking’
Mengekalkan kereta seperti baru juga bermula dari dalam. Amalkan larangan makan atau merokok di dalam kereta untuk mengelakkan kesan bauan yang kurang menyenangkan dan dapat menghindari kereta dari serangga seperti lipas dan semut.
Penyeliaan Keselamatan Kenderaan
Pastikan semua komponen keselamatan seperti lampu, brek, dan tayar dalam keadaan yang cemerlang. Ini bukan sahaja mengelakkan masalah semasa memandu tetapi juga mengekalkan penampilan kereta yang optimum.
Jadi, itu dia, tips-tips mudah namun berkesan untuk menjaga kereta agar ia sentiasa nampak segar, berkilat, dan baru seperti hari pertama anda membawanya pulang dari pusat pengedar. Ingatlah, penjagaan yang berterusan adalah kunci kepada penampilan yang menarik untuk kenderaan anda!