Impak selepas kerajaan mengumumkan penggunaan mandatori sistem Brek Anti-Kunci pada motosikal berkapasiti 150cc ke atas. Harga jualan motosikal keluaran baharu dijangka mengalami kenaikan antara RM100 hingga RM200.
Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, bagaimanapun tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan itu.
“Kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada model-model keluaran baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.
“Saya kira kalau naik pun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS. Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut Hezeri berkata, usaha untuk mewajibkan penggunaan ABS pada motosikal sudah lama dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan kini menjadi mandatori untuk motosikal baharu dengan enjin di atas 150cc.
Ads
Menurutnya, ABS sangat penting untuk motosikal moden yang mempunyai prestasi enjin berkuasa tinggi dalam berdepan cuaca negara yang sering dilanda hujan.
“Apabila menempuh cuaca hujan, kejadian roda depan tergelincir sering berlaku. Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.
Ads
“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen merata dunia dan ia sudah menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya telah turun dengan banyak,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Dalam pada itu, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.
Selepas kejayaan memperkenalkan Charger Daytona EV dalam konfigurasi coupe dua pintu, Dodge kini melangkah setapak ke hadapan dengan varian empat pintu Dodge Charger Daytona EV yang bakal tiba di bilik pameran pada penghujung tahun ini.
Langkah ini bukan sekadar memenuhi permintaan pasaran untuk kenderaan elektrik berprestasi tinggi, tetapi juga mengekalkan legasi nama Charger yang sinonim dengan kelajuan, kuasa dan gaya.
Menurut Dodge, penawaran empat pintu ini dijangka memperluaskan segmentasi pembeli khususnya mereka yang mahukan praktikaliti sedan tanpa mengorbankan imej agresif dan prestasi sebuah muscle car moden.
Dengan pilihan ini, Dodge bukan sahaja mengekalkan peminat tegar model coupe, malah menarik pelanggan baharu yang selama ini mengutamakan ruang kabin tambahan.
Dari sudut estetika, perbezaan antara versi dua pintu dan empat pintu adalah minimum.
Dodge mengekalkan bumbung fastback, gaya hatchback, serta rekaan fascia depan dan belakang yang identikal.
Hanya bilangan pintu menjadi beza utama.
Ini bermakna pelanggan masih dapat menikmati garisan badan berotot, lampu hadapan LED berbentuk agresif, dan rekaan belakang yang lebar yang menjadi tanda pengenalan model Daytona EV.
Walaupun lebih praktikal, sedan ini tidak menukar identitinya sebagai kenderaan yang penuh karakter.
Bagi tahun 2026, Dodge membuat perubahan besar pada barisan varian.
Trim R/T telah digugurkan sepenuhnya, dan semua versi empat pintu kini berada dalam spesifikasi Scat Pack.
Ini bermakna kuasa 670hp dan tork 627lb-ft menjadi standard, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik satu di depan dan satu di belakang.
Bateri 100.5 kWh yang sama digunakan pada versi coupe memberikan jarak pemanduan maksimum 241 batu (kira-kira 388 km) mengikut data rasmi.
Pengecasan pantas DC membolehkan bateri diisi dari 10% ke 80% dalam masa 24 minit mengikut spesifikasi pengeluar, namun ujian sebenar menunjukkan masa lebih hampir kepada 44 minit untuk dari 5% ke 80%.
Dari segi pecutan, Dodge mendakwa varian sedan mampu memecut dari 0–60 mph (0–96 km/j) dalam masa 3.3 saat, hampir setara dengan coupe yang mencatat 3.2 saat.
Dengan angka ini, ia setanding atau lebih pantas daripada kebanyakan sedan elektrik premium di pasaran.
Sama seperti coupe, sedan empat pintu ini dilengkapi dengan Fratzonic Chambered Exhaust sistem pembesar suara khas yang menghasilkan bunyi ala enjin V8 klasik, memberikan pengalaman pemanduan lebih dramatik walaupun tiada pembakaran dalaman berlaku.
Selain itu, model ini turut mengekalkan Drift Mode untuk aksi drift yang terkawal.
Walaupun begitu, Dodge masih mengekalkan polisi bahawa model EV ini tidak dibenarkan melakukan burnout pegun, berbeza dengan tradisi muscle car petrol.
Perubahan paling signifikan untuk 2026 ialah status Track Package yang kini menjadi pilihan opsyen, bukan lagi peralatan standard.
Pada model 2025, pakej ini wajib disertakan pada Scat Pack, menambah kos sekitar USD4,995 (~RM23,500).
Dengan langkah baharu ini, harga asas dijangka turun berbanding coupe 2025 yang bermula pada USD75,980 (~RM357,000).
Selain Track Package, pembeli masih boleh memilih pakej lain seperti:
Plus Group – fokus kepada keselesaan dan kemudahan.
Carbon & Suede Package – memberikan kemasan premium dalaman dan luaran.
Pakej standard tanpa sebarang penambahan.
Dodge turut memperkenalkan dua pilihan kosmetik baharu untuk tahun 2026:
Fratzog Stripe Package – dua jalur matte hitam dengan aksen merah dan corak segitiga Fratzog yang berulang.
Hood Gloss Black – kemasan tudung enjin hitam berkilat, dilukis secara manual untuk sentuhan eksklusif.
Menariknya, walaupun Dodge kini memacu arah elektrifikasi, mereka tidak melupakan peminat enjin pembakaran dalaman.
Varian Charger Sixpack dengan enjin Hurricane 3.0L Twin-Turbo Inline-Six akan dilancarkan bersama versi EV, dalam konfigurasi dua dan empat pintu.
Model ini dijangka menyasarkan pembeli yang masih mahukan sensasi pemanduan tradisional.
Dengan gabungan prestasi tinggi, rekaan praktikal empat pintu, pilihan kosmetik baharu, serta harga asas yang berpotensi lebih rendah, Dodge Charger Daytona EV 2026 membuktikan bahawa era muscle car elektrik bukan sahaja boleh wujud, malah mampu berkembang.
Dodge jelas menghantar mesej bahawa mereka serius untuk mengekalkan DNA prestasi walaupun dalam dunia automotif yang semakin hijau.
Pelancaran serentak varian elektrik dan petrol pada akhir tahun ini bakal menjadi detik penting bukan sahaja untuk Dodge, tetapi juga untuk landskap muscle car moden secara keseluruhan.
Musim ke-21 Porsche Carrera Cup Asia 2024 menutup tirai di Shanghai International Circuit, menandakan kemuncak persaingan sengit sepanjang tahun.
Alessandro Ghiretti, pendatang baharu dalam kejohanan ini, berjaya mendapat gelaran juara pada perlumbaan hujung minggu lepas.
Acara di Shanghai bukan sahaja menampilkan perlumbaan biasa tetapi juga Endurance Challenge, satu segmen yang semakin popular dalam Porsche Carrera Cup Asia.
Tiga perlumbaan sengit, termasuk Endurance Cup selama 43 minit + 1 pusingan, menjadi perlumbaan utama untuk menutup musim 2024.
Trek basah di Shanghai menjadi cabaran besar buat para pelumba.
Permukaan litar yang licin memaksa pemandu untuk mengerah segala kemahiran mereka.
Pelumba dari pasukan Team Shanghai Yongda BWT, Dylan Pereira berjaya meraih posisi hadapan bagi Pusingan 14.
Ketika lampu hijau menyala, Pereira mengekalkan kedudukannya di depan, manakala Ghiretti dari pasukan Team Jebsen dan Brock Gilchrist dari Team Porsche New Zealand bertarung sengit untuk tempat ketiga.
Kondisi trek yang basah menyebabkan ramai pemandu tergelincir dari litar, terutamanya di Zon Brek Berat di selekoh 6.
Walaupun pelumba terkemuka, Mathys Jaubert, mula menghadapi masalah, Ghiretti terus menyusun langkah untuk merebut peluang dengan memintasnya.
Akhirnya, Ghiretti berjaya naik ke kedudukan teratas, manakala Jaubert terpaksa akur jatuh ke tangga kesembilan.
Dalam kategori Pro-Am, Eric Zang dari TORO Racing menguasai perlumbaan untuk meraih kemenangan ketiganya tahun ini, mendahului Francis Tjia yang berjaya meraih tempat kedua.
Juara Pro-Am 2024, Bao Jinlong, yang tergelincir, bangkit untuk meraih tempat ketiga bagi pasukan Phantom Global Racing.
Di kelas Am, Eric Kwong dari pasukan Bergwerk Motorsport terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu, menewaskan Munkong Sathienthirakul dari EBM.
Sementara itu, Hu Bo dari Z.SPEED Motorsport berjaya mmenamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Perlumbaan pada hari ahad lepas menyaksikan Pusingan 15 berlangsung dalam keadaan hujan yang masih lebat.
Alessandro Ghiretti, yang bermula dari petak hadapan, berjaya mengawal perlumbaan dari awal hingga akhir, memastikan kemenangan yang memberikannya gelaran juara Porsche Carrera Cup Asia 2024.
Dylan Pereira, yang mengejar rapat, berjaya menduduki tempat kedua setelah mengatasi Brock Gilchrist, yang meraih podium pertamanya dalam kejohanan ini.
Bao Jinlong kembali menemui rentaknya dalam kategori Pro-Am, mendahului Yang Ruoyu dan Eric Zang yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Kategori Am pula menyaksikan kejutan apabila Jacky Wu meraih kemenangan pertamanya musim ini, menewaskan Sathienthirakul yang menduduki tempat kedua.
Hu Bo menyempurnakan podium dengan kedudukan ketiga.
Endurance Cup menjadi penutup tirai musim 2024 berlangsung dalam keadaan yang lebih tenang, namun litar tetap licin.
Dalam kategori Pro, Dylan Pereira dan Mathys Jaubert memulakan perlumbaan di barisan hadapan, tetapi insiden di selekoh kedua membuka ruang buat Ghiretti untuk mendahului.
Sementara Ghiretti meluncur laju ke hadapan, perebutan tempat kedua antara Brock Gilchrist dan Nazim Azman dari Sime Darby Racing Team menjadi tumpuan.
Pereira yang bangkit dari kesilapan awal berjaya memintas kedua-duanya untuk mendahului di tempat kedua, meninggalkan Gilchrist di tempat ketiga.
Namun, tiada siapa mampu mencabar Ghiretti yang menamatkan musimnya dengan kemenangan kelapan sekaligus memenangi gelaran Endurance Challenge.
Di Pro-Am, Bao Jinlong sekali lagi berada di puncak, meraih gelaran juara Endurance Challenge.
Kategori Am pula menyaksikan drama apabila Eric Kwong terbabas selepas bertembung dengan Zang, namun kegagalan Sathienthirakul memanfaatkan situasi ini bermakna Kwong berjaya memperoleh gelaran juara kelas.
Tiga juara kelas Endurance Challenge—Ghiretti, Bao, dan Sathienthirakul—akan dijemput sebagai tetamu khas dalam Bathurst 12 Hour 2025 sebagai wakil Porsche Carrera Cup Asia.
Musim 2025 pula dijangka lebih meriah dengan dua lokasi baharu di Mandalika dan Mobility Resort Motegi.
Kejohanan akan bermula dengan Official Test Days di Shanghai pada Mac, diikuti oleh Pusingan 1 dan 2 pada 21-23 Mac 2025.
Ikuti perkembangan Porsche Malaysia di Facebook dan Instagram untuk berita terkini mengenai Porsche Carrera Cup Asia 2025!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Dalam dunia modifikasi kereta Jepun, satu nama yang sangat berpengaruh adalah Kazuhiko “Smokey” Nagata.
Terkenal dengan kepantasan kereta-kereta modifikasinya yang melampaui batas, Nagata dikenali kerana menghasilkan asap tayar yang tebal semasa memecut pada kelajuan yang sukar dipercayai.
Kisah seorang anak petani dari Hokkaido yang menjadi legenda kelajuan dunia ini bukan sahaja luar biasa.
Nagata berasal dari latar belakang sederhana, di mana keluarganya bekerja di ladang di Hokkaido, kawasan utara Jepun yang terkenal dengan pergunungan bersalji.
Minatnya terhadap kereta bermula sejak usia muda, dan seawal 16 tahun, beliau membeli sebuah Mitsubishi Galant GTO yang dibaikinya sendiri dengan bantuan seorang eksekutif Toyota tempatan.
Bagaimanapun, kegemarannya memandu secara haram menyebabkan beliau dibuang sekolah, walaupun beliau kemudiannya ditawarkan kerja di pusat servis Toyota yang sama.
Kariernya di sana berakhir apabila beliau tertangkap menghabiskan waktu kerja untuk mengubahsuai keretanya sendiri.
Berbekalkan minat yang mendalam, Nagata berhijrah ke Tokyo dan menyertai syarikat Trust, pengeluar jenama GReddy yang terkenal.
Di sini, beliau mula dengan tugasan membungkus alat ganti, tetapi kemahirannya dalam modifikasi kereta mula menarik perhatian, sehingga beliau dinaikkan pangkat untuk membantu pasukan lumba syarikat tersebut.
Selepas waktu kerja, beliau diam-diam menghasilkan alat ganti untuk keretanya sendiri, dan ini menarik minat rakan-rakan pelumba jalanan yang lain.
Nama “Top Secret” bagi jenama beliau muncul apabila pihak pengurusan Trust menyedari kegiatan Nagata namun memilih untuk memejamkan mata kerana bakatnya yang luar biasa.
Pada tahun 1991, Nagata akhirnya meninggalkan Trust dan menubuhkan syarikatnya sendiri, Top Secret, yang kini dikenali di seluruh dunia sebagai simbol modifikasi ekstrem.
Untuk membuktikan kehebatannya, Nagata mula menunjukkan kereta-keretanya di Auto Salon Tokyo, tetapi bukan itu sahaja.
Beliau turut menguji kelajuan ciptaannya di lebuh raya Tokyo, tempat beliau melakukan pelbagai aksi memecut yang akhirnya membawa nama Top Secret ke peringkat antarabangsa.
Salah satu aksi yang paling dikenang adalah ketika beliau membawa Toyota Supra dengan enjin RB26DETT ke Britain, di mana beliau mencapai kelajuan hampir 200 mph di lebuh raya A1.
Akibat aksi ini, beliau ditahan oleh polis Britain dan dilarang memandu di negara tersebut.
Salah satu ciptaan Nagata yang paling ikonik ialah Toyota Supra V12.
Beliau menggunakan enjin V12 Toyota Century yang dimodifikasi untuk menghasilkan lebih dari empat kali ganda kuasa asalnya.
Dengan kelajuan tertinggi mencecah 222 mph di litar Nardo Ring, Supra ini bukan sekadar modifikasi biasa.
Supra ini menjadi ikon kepada dunia kereta Jepun yang terus diingati sehingga kini.
Satu lagi elemen ikonik dalam kereta-kereta Top Secret adalah warna emasnya yang tersendiri.
Hanya kereta yang disahkan secara peribadi oleh Nagata layak mendapat penghormatan warna ini, simbol kepada kecemerlangan dan prestasi.
Model seperti Nissan GT-R R35 dengan kuasa 1,100 hp adalah antara yang menampilkan warna emas ini.
Walaupun Nagata tidak lagi melakukan aksi berisiko tinggi seperti dahulu, beliau masih aktif dalam industri modifikasi.
Beliau masih aktif mengubahsuai model JDM klasik dan moden.
Pengaruh beliau yang mendalam dalam dunia modifikasi JDM menjadi inspirasi kepada generasi baru yang meminati prestasi kelajuan yang ekstrem.
DNagata telah mengukir namanya dalam sejarah automotif Jepun dan dunia.
Beliau meninggalkan legasi yang mungkin tidak akan ditandingi oleh mana-mana tuner automotif lain.
Kepada anda yang ingin melihat secara dekat Nissan GTR R35 daripada Top Secret dan berjumpa sendiri dengan Smokey Nagata, anda boleh hadir ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur pada hujung minggu ini.
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang
Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan kita. Bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi juga...