
PRO-NET terus memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS di Malaysia dengan melahirkan kumpulan pertama 37 Juruteknik e.MAS Bertauliah Tahap 2 (L2) menerusi kerjasama bersama TVETMARA.
Kesemua juruteknik berkenaan mewakili 25 pusat pengedar Proton e.MAS di seluruh negara dan telah berjaya melengkapkan program pensijilan khusus bagi meningkatkan tahap kemahiran teknikal dalam penyelenggaraan serta perkhidmatan selepas jualan kenderaan elektrik.
Pencapaian itu diraikan menerusi Majlis Pensijilan Juruteknik e.MAS yang berlangsung di Subang Jaya, sekali gus menandakan satu lagi langkah PRO-NET dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong pertumbuhan pemilikan EV di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, perkembangan industri EV bukan hanya bergantung kepada pengenalan model baharu, tetapi perlu disokong oleh tenaga kerja dan infrastruktur selepas jualan yang kukuh.
Menurutnya, Program Pensijilan Juruteknik e.MAS memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan, selain meningkatkan piawaian perkhidmatan selepas jualan untuk menyokong pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil PRO-NET, TVETMARA, pengedar Proton e.MAS dan pengurus perkhidmatan daripada beberapa pusat pengedar, termasuk Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar TVETMARA, Hady Suhairy Baseri.
Keperluan terhadap tenaga kerja mahir semakin penting susulan pertambahan jumlah kenderaan Proton e.MAS di Malaysia.
Sehingga Julai 2026, lebih 30,000 unit Proton e.MAS telah berada di jalan raya tempatan, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap sokongan teknikal dan perkhidmatan selepas jualan khusus untuk kenderaan elektrik.
Pada masa sama, rangkaian Proton e.MAS kini merangkumi 58 pengedar, 45 pusat servis dan 10 pusat Body & Paint di seluruh negara.
Selain memperluaskan akses pelanggan kepada pusat jualan dan servis, PRO-NET melihat keupayaan juruteknik EV sebagai antara elemen utama untuk memastikan kerja penyelenggaraan dan pembaikan dapat dilakukan dengan selamat serta mengikut piawaian ditetapkan.
Menerusi kerjasama dengan TVETMARA, juruteknik yang mengikuti Program Pensijilan Juruteknik e.MAS perlu melalui laluan latihan khusus sebelum memperoleh pengiktirafan Tahap 2.
Peserta perlu melengkapkan tujuh modul latihan berkaitan teknologi EV, termasuk latihan melibatkan sistem Voltan Tinggi (HV), sebelum menjalani penilaian teknikal bagi menguji tahap pengetahuan serta kemahiran praktikal mereka.
Pensijilan berkenaan disahkan oleh TVETMARA Masjid Tanah bagi memastikan setiap juruteknik memenuhi piawaian kemahiran yang ditetapkan.
Program itu juga menjadi sebahagian daripada pelan pembangunan juruteknik jangka panjang PRO-NET, dengan laluan latihan disediakan daripada tahap kemahiran asas sehingga kepada kepakaran EV yang lebih tinggi.
Susulan kumpulan pertama Tahap 2 ini, PRO-NET merancang untuk meneruskan program pensijilan secara tahunan melibatkan juruteknik Tahap 2 (L2), Tahap 3 (L3) dan Tahap 4 (L4).
Dalam usaha membangunkan ekosistem EV secara lebih menyeluruh, PRO-NET pada masa sama terus meningkatkan keupayaan pengeluaran kenderaan elektrik tempatan di EV PROTON di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim.
Operasi kemudahan berkenaan kini melibatkan seramai 391 pekerja, selari dengan usaha syarikat membangunkan tenaga kerja tempatan bukan sahaja dalam aspek pengeluaran, malah meliputi servis dan sokongan teknikal.
Langkah membangunkan juruteknik EV bertauliah ini menjadi antara komponen penting dalam memastikan pertumbuhan Proton e.MAS turut disokong oleh rangkaian selepas jualan yang bersedia menangani keperluan teknologi kenderaan elektrik yang semakin kompleks.
Baca Juga : Proton e.MAS Perkenal Identiti Korporat Baharu di Enam Cawangan Seluruh Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.