Berita gembira bagi peminat kenderaan elektrik (EV) di Malaysia! Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, baru-baru ini mengumumkan perkembangan terkini melalui laman sosialnya. Beliau berkongsi bahawa pada hujung tahun 2025, Perodua akan melancarkan pengeluaran EV berskala besar ke seluruh negara.
Perodua telah mengambil langkah penting ke arah masa depan dengan membangunkan prototaip berkuasa elektrik. Ini bukan sahaja menandakan perubahan revolusioner dalam industri automotif Malaysia, tetapi juga merupakan hasil kerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa yang terkemuka.
Kredit Foto: X.com
Keputusan ini sejajar dengan pengiktirafan Perodua sebagai peneraju pengeluaran EV mampu milik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030). Ini bermakna kita dapat menjangkakan pengenalan model-model EV dari Perodua yang lebih terjangkau.
Ads
Satu lagi perkara menarik yang perlu diambil perhatian ialah pelantikan Perodua sebagai peneraju dalam usaha mencapai matlamat kerajaan untuk membangunkan pasaran EV tempatan yang lebih mampu milik. Kerajaan telah menetapkan harga asas sebanyak RM100 ribu untuk setiap EV Completely Built-Up (CBU), memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki EV.
Kredit Foto: Zigwheels.com
Namun begitu, masih terdapat kekurangan maklumat rasmi mengenai model dan harga bagi EV yang bakal dilancarkan oleh Perodua. Walau bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, peminat telah diberi gambaran awal menerusi pembangunan konsep.
Pasaran motosikal di Malaysia kini menerima satu lagi jenama baharu apabila Thunder Motorcycles membuat kemunculan sulungnya menerusi pelancaran model Thunder Custom LS250-S.
Model ini dibawa masuk oleh Bike Continent Sdn Bhd, syarikat yang sama mengedarkan jenama Scomadi dan Lambretta di pasaran tempatan. Pelancaran ini sekali gus memperkenalkan alternatif baharu kepada peminat motosikal custom, khususnya dalam segmen 250 cc.
Thunder Custom LS250-S ditawarkan pada harga RM23,788 tidak termasuk insurans, menjadikannya antara motosikal custom paling mampu milik di Malaysia ketika ini.
Menariknya, model ini hadir dalam dua pilihan versi iaitu Hardtail dan Softail, memberi kebebasan kepada pembeli untuk memilih mengikut keutamaan sama ada lebih menitikberatkan gaya atau keselesaan.
Walaupun Thunder Motorcycles berasal dari Jepun, pengeluaran motosikal ini dilakukan di China.
Pendekatan ini membolehkan kos pengeluaran dikawal dengan lebih baik, sekali gus membolehkan harga jualan ditawarkan pada tahap yang lebih kompetitif. Walaupun begitu, identiti rekaan dan falsafah custom Jepun masih jelas diterapkan pada LS250-S.
Bagi trenkuasa, Thunder Custom LS250-S dikuasakan oleh enjin dua silinder V bersesaran 249 cc dengan sistem suntikan bahan api.
Enjin ini digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa maksimum sekitar 13 kW pada 8,000 rpm serta tork puncak 19 Nm pada 6,000 rpm. sesuai untuk tunggangan harian mahupun santai hujung minggu.
Satu kelebihan besar LS250-S ialah ia boleh ditunggang menggunakan lesen B2. Selain itu, motosikal ini telah mendapat kelulusan JPJ dan sah digunakan di jalan raya Malaysia. Ini menjadikannya antara motosikal custom 250 cc yang benar-benar ‘plug and play’, tanpa perlu risau soal pendaftaran atau pengubahsuaian tambahan.
Kuasa enjin disalurkan ke roda belakang melalui sistem pacuan rantai. Kedua-dua roda hadapan dan belakang menggunakan rim bersaiz 16 inci, satu pilihan yang mengekalkan siluet bobber klasik. Sistem brek cakera digunakan pada kedua-dua hujung bagi memastikan prestasi membrek yang memadai.
Ciri paling menonjol pada Thunder Custom LS250-S ialah penggunaan suspensi hadapan jenis springer fork, komponen yang lazim ditemui pada motosikal custom dan bobber klasik.
Untuk bahagian belakang pula, versi Hardtail dilengkapi sistem spring di bawah tempat duduk, manakala versi Softail menggunakan monoshock tersembunyi yang menawarkan tahap keselesaan lebih baik tanpa menjejaskan rupa keseluruhan motosikal.
Dari sudut rekaan, LS250-S tampil ringkas dan “clean”, selari dengan falsafah bobber. Ia dilengkapi hendal jenis low-rise dengan pegangan lebar, sistem ekzos berkembar serta tangki bahan api jenis ‘peanut’ berkapasiti tujuh liter. Gabungan ini memberi karakter klasik dengan sentuhan moden.
Thunder Custom LS250-S mempunyai panjang keseluruhan 2,240 mm, lebar 750 mm dan tinggi 980 mm. Ketinggian tempat duduk yang rendah iaitu 650 mm menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai ketinggian penunggang. Jarak roda dicatatkan pada 1,570 mm, kelegaan tanah minimum 110 mm dan berat bersih sekitar 181 kg.
Sebagai motosikal custom siap dari kilang, LS250-S menawarkan gaya custom tanpa perlu kos ubah suai tambahan. Dengan harga sekitar RM24k, Thunder Custom LS250-S menjadi pilihan untuk mereka yang mahukan motosikal bergaya bobber, sah digunakan di jalan raya dan ditawarkan pada harga mampu milik.
KTM, jenama yang terkenal dengan moto “READY TO RACE,” kini kembali menggegarkan dunia motosikal dengan memperkenalkan KTM 990 RC R.
Selepas lebih 15 tahun tidak menghasilkan motosikal berprestasi tinggi untuk kegunaan jalan raya. KTM menggunakan segala kepakaran yang telah mereka kumpul melalui MotoGP™ dan pengalaman litar selama bertahun-tahun untuk menghasilkan jentera ini.
Model KTM 990 RC R dijangka dilancarkan secara rasmi pada awal 2025 dan akan dihasilkan di kilang Mattighofen, Austria. Motosikal ini menawarkan gabungan teknologi kejuruteraan Austria dan DNA lumba KTM.
Ia bakal memberikan prestasi tanpa tanding sambil memenuhi keperluan praktikal untuk kegunaan jalan raya. Bagi peminat tegar KTM yang menggemari track day atau mencari pengalaman menunggang dengan adrenalin tinggi, model ini adalah pilihan sempurna.
KTM turut merancang sebuah dokumentari eksklusif di sebalik tabir tentang proses penyelidikan dan pembangunan motosikal ini.
Dokumentari ini akan membawa penonton menyaksikan perjalanan dari konsep awal sehingga pelancaran versi jalanan KTM 990 RC R. Ia dijangka memberi gambaran mendalam tentang dunia kejuruteraan KTM yang pantas dan inovatif.
KTM 990 RC R dilengkapi enjin LC8c seberat 57 kg yang memenuhi piawaian EURO5+. Enjin ini menghasilkan tork padu sebanyak 103 Nm pada 7,000 RPM dan kuasa 129 HP. Disalurkan melalui sistem ekzos keluli tahan karat baharu. Sistem penukar gear pula boleh ditetapkan untuk mod perlumbaan sebagai standard, melambangkan warisan MotoGP™ KTM.
Rangka besi motosikal ini direka untuk prestasi dinamik dengan berat yang lebih tertumpu pada bahagian hadapan. Kepala stereng memiliki sudut 25 darjah yang meningkatkan respons stereng.
Manakala kekakuan tambahan memastikan kestabilan di jalan yang berbonggol atau ketika memecut di litar. Subrangka aluminium diecast menyumbang kepada kelincahan keseluruhan jentera.
Ergonomi KTM 990 RC R juga diutamakan. Tangki bahan api direka untuk memberikan sokongan maksimum kepada lutut dan lengan, sambil mengurangkan tekanan pada tangan.
Tapak kaki yang boleh dilaras, suspensi WP APEX Open Cartridge boleh dilaras sepenuhnya, serta roda aluminium ringan dengan tayar Michelin memberikan kawalan optimum kepada penunggang.
Rekaan aerodinamik motosikal ini mendapat inspirasi langsung daripada MotoGP™, dengan sayap aero yang diuji dalam terowong angin untuk meningkatkan kestabilan ketika membrek dan mengambil selekoh.
Bagi peminat perlumbaan, KTM menawarkan KTM 990 RC R TRACK edition. Versi ini membuang komponen jalanan dan menggantinya dengan aksesori perlumbaan. Seperti sistem ekzos penuh, pelarasan khas, dan badan motosikal yang diperbaiki. Versi ini direka untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada pencapaian masa terbaik di litar.
Dengan pelancaran model ini, KTM sekali lagi membuktikan komitmennya untuk menghasilkan motosikal yang menggabungkan keupayaan perlumbaan dan praktikaliti jalan raya. Sama ada untuk jalan biasa atau litar perlumbaan, 990 RC R ialah simbol inovasi dan kehebatan dalam dunia motosikal.
Boon Siew Honda (BSH) kini memacu ke hadapan dengan semangat baharu apabila mengumumkan penjenamaan semula pasukan perlumbaannya kepada Honda Racing Malaysia bagi musim 2025.
Penjenamaan ini melibatkan semua penyertaan pasukan dalam kejohanan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), Superbike World Championship (WSBK), dan Malaysia Superbike Championship (MSBK).
Penggunaan nama Honda Racing Malaysia menggantikan Boon Siew Honda Racing Team bukan sekadar perubahan kosmetik, malah merupakan penghormatan terhadap legasi agung Honda Racing Corporation (HRC).
Langkah ini sekaligus menyatukan imej pasukan di pentas serantau dan antarabangsa di bawah satu jenama ikonik yang lebih kukuh.
Barisan pelumba musim 2025 menyaksikan gabungan strategik antara pelumba berpengalaman dan bakat muda yang sedang meningkat naik.
Dalam kategori utama Asia Superbike 1000cc (ASB1000) ARRC, dua nama besar kembali mendominasi.
Md Zaqhwan Zaidi, juara keseluruhan ASB1000 musim 2022 dan Azroy Hakeem Anuar akan terus beraksi bersama Idemitsu Honda Racing Malaysia dengan jentera terkini Honda CBR1000RR-R.
Kedua-dua pelumba ini telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam perlumbaan sebelum ini, menjadikan mereka antara calon utama untuk merebut kejuaraan musim ini.
Dalam kategori SuperSports 600cc (SS600) pula, Md Helmi Azman, Khairul Idham Pawi (KIP) dan Syarifuddin Azman (Damok) telah dinaikkan dari kelas AP250 dan kini bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka di peringkat lebih tinggi.
Ketiga-tiga pelumba ini telah mencipta impak besar di peringkat asia dan antarabangsa dan akan menunggang jentera Honda CBR600RR.
Keazaman dan ketekunan mereka terus menjadi aset penting buat Honda Racing Malaysia, dan peminat boleh menjangkakan persaingan sengit sepanjang musim ini.
Bagi kategori Asia Production 250cc (AP250), tumpuan diberikan kepada pelumba muda berbakat Md Irfan Haykal.
Beliau akan bertanding di bawah pasukan SCK Honda Racing.
Dengan menggunakan jentera Honda CBR250R, Irfan bertekad mencabar pesaingnya dan membuktikan kemampuannya sebagai pelapis masa depan Honda Racing Malaysia.
Honda Racing Malaysia turut memperkukuhkan kehadirannya di arena antarabangsa.
Dalam Superbike World Championship (WSBK), Md Zaqhwan Zaidi akan kembali bersaing dalam kategori SBK dengan jentera pilihannya, CBR1000RR-R.
Manakala dalam kategori World Supersport (WSSP), Syarifuddin Azman (Damok) akan mengambil cabaran baharu dengan CBR600RR.
Kedua-dua pelumba ini menjadi lambang keazaman Honda untuk menonjolkan kehebatan pelumba Asia di pentas dunia.
Malaysia Superbike Championship (MSBK) menyaksikan Haziq Fairues akan menjadi sandaran pasukan ini, bersaing dalam kategori 250cc dengan jentera CBR250RR.
Penglibatan dalam MSBK tidak hanya bertujuan untuk mengutip kejuaraan, tetapi juga sebagai platform pembangunan bakat tempatan yang lebih menyeluruh.
Pengurus Pasukan Honda Racing Malaysia, Encik Zulhelmi, menyatakan keyakinan tinggi terhadap potensi pasukan:
“Honda Racing Malaysia sentiasa komited dalam arena perlumbaan motosikal. Melalui ARRC, kami bukan sahaja mengenal pasti dan melatih pelumba profesional, malah menjadikan perlumbaan sebagai platform penting untuk ujian dan penyelidikan. Data yang dikumpulkan membantu kami memperkukuh prestasi dan memperhalusi kekurangan.”
Visi ini turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Boon Siew Honda, Encik Kunitomo Asan, yang menambah:
“Musim 2025 bakal menjadi tahun yang penuh keterujaan dan harapan. Kami menumpukan kepada konsistensi dan pertumbuhan dengan matlamat menjuarai pelbagai kategori. Dengan gabungan pengalaman dan semangat juang tinggi pasukan, kami yakin kejayaan akan terus menyebelahi Honda Racing Malaysia.”
Peminat boleh mengikuti perkembangan pasukan ini sepanjang musim 2025 menerusi saluran rasmi mereka di laman Honda Racing Malaysia News, serta akaun Facebook dan Instagram mereka.
Suzuki Cars Malaysia dan CARSOME Jalin Kerjasama Strategik Bagi Perkhidmatan Trade-In
Suzuki Cars Malaysia mengumumkan pelantikan CARSOME Malaysia sebagai rakan trade-in rasmi eksklusifnya, sekali gus...