Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil langkah tegas dengan menggantung semua operasi penerbangan yang melibatkan pesawat model Blackshape, iaitu BS 115, BK 160, BK 60-200, dan BK 160TR, di ruang udara Malaysia.
Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta selepas penerbitan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pada Isnin lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, menyatakan bahawa tindakan penggantungan ini selaras dengan EAD yang dikeluarkan oleh EASA sebagai respons terhadap kemalangan tragis yang melibatkan pesawat Blackshape baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan penerbangan adalah keutamaan utama, dan CAAM akan mengambil segala langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan di Malaysia.
Kredit Foto: Selangor Journal
Kemalangan yang berlaku pada 13 Februari yang melibatkan pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR telah menimbulkan kebimbangan yang serius terhadap tahap keselamatan penerbangan.
Ads
Pesawat tersebut, yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd dari Singapura, mengalami kemalangan di kawasan Kapar, Selangor, yang mengakibatkan kematian kedua-dua individu yang berada di dalamnya.
Menurut laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan, kecuaian dalam penyelenggaraan dan pelepasan had berat adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Ads
Kredit Foto: Must Share News
Turut dinyatakan dalam laporan itu bahawa pesawat terbabit tidak mempunyai perakam data penerbangan yang memadai. Tindakan penggantungan operasi penerbangan pesawat Blackshape ini merupakan langkah proaktif yang diambil untuk memastikan keselamatan penerbangan yang lebih baik di Malaysia.
CAAM menekankan bahawa mereka akan terus memantau perkembangan situasi dan mengambil langkah-langkah selanjutnya yang diperlukan demi kepentingan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam industri penerbangan negara.
Mulai 1 Januari 2025, semua motosikal baharu yang mempunyai kapasiti enjin 150cc ke atas diwajibkan untuk memasang Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Keputusan ini diumumkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebagai langkah untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya.
Langkah ini adalah hasil daripada kajian selama dua tahun yang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan bagi menangani peningkatan jumlah kematian yang melibatkan motosikal. Pengerusi MIROS, Dr Wong Shaw Voon, menyatakan bahawa ABS mampu mengurangkan kemalangan dan kematian membabitkan penunggang motosikal sebanyak 30%. ABS membantu mengelakkan roda terkunci apabila brek ditekan sepenuhnya, sekali gus mengurangkan risiko terbabas dan kehilangan kawalan.
Bagi motosikal yang dibeli sebelum 1 Januari 2025, pemasangan ABS adalah bergantung kepada reka bentuk model motosikal tersebut. Dr Wong menyarankan agar pemilik motosikal lama tidak memasang ABS jika ia tidak sesuai atau tidak boleh diselenggara dengan baik.
Sistem brek ABS mengelakkan roda daripada terkunci apabila brek digunakan dengan kuat. ABS menggunakan sensor pada roda untuk mengesan kelajuan roda dan menghalang roda daripada terkunci sehingga 10 kali dalam satu saat. Ini memberikan kestabilan tambahan dan membantu penunggang mengawal motosikal dengan lebih baik, terutamanya dalam situasi kecemasan.
Menurut statistik daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), satu kematian berlaku setiap dua jam akibat kemalangan motosikal di Malaysia. Pada tahun 2022, sebanyak 6,080 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara. Angka ini meningkat kepada 6,443 pada tahun 2023. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 4,000 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berumur antara 16 hingga 35 tahun.
Prof Dr Rozmi Ismail, seorang pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, mengaitkan peningkatan kemalangan motosikal dengan lonjakan jumlah penunggang penghantaran sejak tahun 2020. Kebanyakan mereka adalah golongan muda yang cenderung untuk memecut dan melanggar peraturan jalan raya demi menyiapkan lebih banyak penghantaran dalam sehari.
Dr Rozmi mencadangkan agar penunggang penghantaran diberikan latihan keselamatan jalan raya tambahan, termasuk aspek mental dan emosi, untuk menjadi penunggang yang lebih selamat.
Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, seorang peminat motosikal dari Universiti Kebangsaan Malaysia, menyatakan bahawa ibu bapa perlu bertanggungjawab sekiranya anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram.
Beliau juga menyarankan agar bengkel yang menjual alat ganti motosikal haram dikenakan penalti.
Selain itu, Dr Sharifa turut menekankan keperluan untuk menangani isu jalan berlubang, kekurangan papan tanda amaran, dan pencahayaan yang tidak mencukupi sebagai langkah keselamatan tambahan.
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD, terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi peluasan rangkaian jualan dan selepas jualan yang semakin agresif.
Melalui pengedar rasmi tempatan, BYD Sime Motors, jenama ini kini mempunyai lebih 40 bilik pameran di seluruh negara, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia mengakses teknologi mobiliti EV yang semakin mendapat perhatian.
Pada masa sama, BYD turut mempertingkatkan sokongan selepas jualan dengan sasaran menyediakan 34 pusat servis menjelang 2026, termasuk sembilan kemudahan servis baharu yang yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Strategi pembukaan rangkaian BYD tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama, sebaliknya turut menembusi bandar sekunder bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada pelanggan.
Di wilayah selatan, BYD telah membuka bilik pameran baharu di Muar dan Kluang, sekali gus mengukuhkan kehadiran jenama tersebut di Johor.
Di Pantai Timur pula, pembukaan BYD Kuala Terengganu melengkapkan rangkaian sedia ada seperti BYD Kuantan dan BYD Kota Bharu, sejajar dengan peningkatan minat terhadap EV di kawasan tersebut.
Bahagian utara semenanjung Malaysia juga turut menyaksikan perkembangan ketara menerusi pembukaan BYD Sungai Petani, BYD Juru, serta pusat 3S baharu di BYD Ipoh.
Kemudahan di Ipoh ini menjadi lebih signifikan apabila ia turut menempatkan hab pengecas EV pertama di bandar tersebut.
Hab ini dilengkapi pengecas pantas DC berkuasa 240 kW dan 180 kW, membolehkan proses pengecasan dilakukan dengan lebih pantas dan efisien, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pemilik EV di kawasan berkenaan.
Di Lembah Klang, BYD turut memperkenalkan Pusat 3S BYD Sri Hartamas yang menempatkan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung. Menariknya, lokasi ini terletak di dalam pusat beli-belah, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelanggan yang ingin menggabungkan urusan servis kenderaan dengan aktiviti harian.
Selain itu, rangkaian BYD juga disokong oleh 12 Pusat Baik Pulih dan Cat Badan, dengan lebih banyak kemudahan serupa dijangka akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memastikan sokongan pemilikan jangka panjang kepada pelanggan.
Pertumbuhan rangkaian ini turut selari dengan prestasi jualan BYD yang semakin memberangsangkan di Malaysia.
Sebagai jenama EV bateri (BEV) nombor satu negara selama tiga tahun berturut-turut, BYD mencatatkan 14,407 unit kenderaan diserahkan pada tahun 2025, meningkat 68% berbanding tahun sebelumnya.
Lebih menarik, jenama ini berjaya memperoleh 10,000 pelanggan pertama dalam tempoh 20 bulan, sebelum menambah 10,000 pelanggan seterusnya hanya dalam masa 13 bulan.
Hasil momentum tersebut, BYD melonjak daripada kedudukan dalam kelompok 10 jenama terlaris pada 2024 kepada jenama keenam terlaris di Malaysia pada 2025, serta jenama bukan nasional keempat terlaris di negara ini.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao, menjelaskan bahawa pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama kukuh antara BYD dan Sime Motors dalam membina ekosistem EV yang komprehensif di Malaysia.
Menurut beliau, peluasan rangkaian ini membolehkan BYD menyediakan sokongan yang lebih mantap sepanjang kitaran pemilikan kenderaan, selain meningkatkan keyakinan pelanggan dari segi servis serta nilai jualan semula.
Syarikat itu kini berada di landasan kukuh untuk mencapai 30,000 pelanggan di Malaysia menjelang April 2026, menandakan pertumbuhan pesat penerimaan EV dalam kalangan pengguna tempatan.
Seiring peluasan rangkaian, BYD Sime Motors turut merancang untuk memperkenalkan konsep bilik pameran baharu dikenali sebagai BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang.
Outlet utama ini bakal menggabungkan elemen budaya tempatan dengan falsafah reka bentuk BYD, sekali gus mewujudkan pengalaman premium yang lebih unik kepada pelanggan.
Konsep tersebut juga dijangka akan diperluaskan secara berperingkat ke bilik pameran lain pada masa akan datang.
Bagi menyokong pertumbuhan pemilikan EV, BYD turut memberi perhatian kepada pembangunan kepakaran teknikal.
Ketika ini, rangkaian selepas jualan BYD disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah yang dilatih di BYD Academy, selain gudang alat ganti berpusat yang memastikan bekalan komponen sentiasa tersedia.
Langkah ini bertujuan mengurangkan tempoh menunggu servis, meningkatkan ketelusan perkhidmatan serta memastikan setiap kenderaan diselenggara oleh tenaga pakar yang terlatih.
Dengan peluasan rangkaian jualan, peningkatan kemudahan pengecasan dan pembangunan kepakaran teknikal, BYD Sime Motors kini sedang membina ekosistem lengkap bagi menyokong fasa seterusnya penggunaan EV di Malaysia.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna terhadap teknologi elektrik, malah membuka jalan kepada peralihan mobiliti yang lebih mampan dalam pasaran automotif tempatan.
Pengguna jalan raya di Kelantan yang memiliki rakaman video kesalahan penunggang motosikal. Kini boleh berkongsi terus dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan segera.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah menyatakan, jabatan itu akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penunggang motosikal berikutan peningkatan kemalangan maut dalam kalangan mereka.
Menurutnya, JPJ kini lebih agresif dalam membendung kesalahan jalan raya. Termasuk aktiviti perlumbaan haram yang kerap melibatkan remaja.
“Jika anda boleh rakam, hantar kepada kami dan risikan akan dilakukan segera.
“Jika kesalahan melibatkan remaja bawah umur, ibu bapa sebagai pemilik kenderaan akan dipanggil dan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang akhbar Ops Lejang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa pada Rabu.
“Kami telah lama bersabar dan melaksanakan advokasi melalui Unit Keselamatan Jalan Raya melalui kempen umum, pendidikan di sekolah dan pameran, namun mereka lebih suka mencabar undang-undang.
“Kami mewajibkan kelas sebelum mereka mengambil lesen kenderaan supaya mereka memahami peraturan jalan raya dan cara memandu dengan selamat,” tambahnya.
Beliau menjelaskan, pemilik kenderaan sebenarnya sudah terdidik dengan peraturan jalan raya tetapi masih enggan mematuhinya.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak yang memiliki motosikal dan mengenali rakan mereka bagi mengelakkan penglibatan dalam aktiviti lumba haram.
JPJ Kelantan akan terus melakukan risikan dan penguatkuasaan secara berkala. Terutama di seluruh kawasan yang dikenalpasti untuk menghalang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Dalam pada itu, Mohd Misuari turut memaklumkan bahawa operasi sempena Hari Raya Aidiladha akan dilaksanakan di tujuh kawasan panas di sekitar Kota Bharu.
“Operasi ini akan menumpukan kepada penunggang motosikal dan mat rempit yang mungkin akan mengambil kesempatan semasa cuti perayaan,” katanya.
Hiplok Perkenal Kunci Anti-Grinder, Teknologi Keselamatan Motosikal Yang Wajar Diberi Perhatian
Isu kecurian motosikal masih menjadi antara kebimbangan utama pemilik jentera dua roda, terutamanya di...